KUCHING: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengadakan perbincangan untuk menubuhkan Institusi Pengajian Tinggi Negeri (IPTN), kata Datuk Dr Annuar Rapaee.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu, beliau mewakili kementeriannya mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Zambry Abd Kadir serta semua Exco pendidikan negeri di seluruh Malaysia untuk berbincang mengenai perkara tersebut.
Katanya, IPTN merupakan universiti atau kolej yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri, antaranya ialah Universiti Curtin, Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS dan lain-lain namun masih dianggap sebagai universiti swasta.
“Universiti milik Kerajaan Negeri masih dianggap sebagai swasta dan memberi kesan terhadap sesebuah institusi.
“Salah satu isunya ialah mengenai duit zakat disalurkan kepada universiti untuk kegunaan universiti. Jadi, maksudnya duit zakat itu dicukaikan lagi
“Oleh itu, perkara ini akan dilihat semula dan KPT akan meneliti sama ada universiti milik kerajaan tidak disamakan taraf kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), IPTN akan diwujudkan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pertama mengenai Kokurikulum dan Pengalaman Pembelajaran (ICCLE) 2024 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Annuar turut mendedahkan bahawa universiti yang tergolong dalam status IPTN akan menerima manfaat seperti cukai dan saluran geran daripada Kerajaan Persekutuan.
“Jika universiti milik kerajaan ini berada dalam kategori IPTA atau IPTN, mungkin Kerajaan Persekutuan boleh menyalurkan dana yang diperlukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, mengenai ICCLE, Annuar menegaskan bahawa setiap pelajar perlu mempunyai kemahiran insaniah demi masa depan mereka.
“Kemahiran ini antara yang akan ditanya ketika sesi temuduga apabila hendak mendapatkan sesuatu pekerjaan.
“Selain itu, ia juga penting untuk meningkatkan interaksi terhadap orang ramai,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Kokurikulum Universiti Malaysia (UniCC) Dr. Intan Zaurah Mat Darus, Timbalan Naib Canselor UNIMAS (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Ir. Al-Khalid Othman, dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Ir. Siti Noor Linda Taib.
Oleh Mohd Neenatul Aizal