LIMBANG: Kompeni C Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Limbang menerima sumbangan seekor kerbau sempena sambutan ibadah korban pada Aidiladha tahun ini daripada Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Kompeni Komander Kompeni C, Batalion12, PGA Limbang ASP Azhar Mohammad berkata, pihaknya berpeluang melakukan ibadah korban yang disambut secara sederhana namun meriah di pekarangan Surau Darul Ibadah PGA.
“Kita juga melakukan agihan daging korban kepada asnaf bahagian Limbang, anggota serta kakitangan awam yang bertugas di formasi ini.
“Diharap sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada penerima, selain dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama menerusi aktiviti gotong royong yang dijalankan,” katanya kepada media, hari ini.
Azhar yang Penaung Surau Darul Ibadah PGA Limbang, menjelaskan ibadah korban merupakan tuntutan agama dan hikmah pengorbanan daripada ibadah ini dapat dilihat dari sudut berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
Oleh Adeng Edrus