PINEHURST (Amerika Syarikat): Tiger Woods akan menjadikan kejohanan Terbuka British (The Open) di Royal Troon bulan depan sebagai acara terakhirnya musim ini selepas gagal melepasi ‘cut’ dalam Terbuka AS, lapor PA Media/dpa.
Pemain berusia 48 tahun itu mengakui kelmarin bahawa dia terperangkap antara berlatih lebih banyak untuk mendapatkan ketajaman kompetitif dan bimbang akan mengalami satu lagi kecederaan yang akan menyebabkan dia tidak dapat beraksi.
Ditanya sama ada dia akan cuba bermain lebih banyak acara, Woods berkata: “Saya hanya ada satu lagi kejohanan musim ini.
“Saya tidak fikir walaupun saya memenangi Terbuka British, saya akan berada dalam aksi play-off (Piala FedEx). Hanya satu lagi acara dan kemudian saya akan kembali bila-bila masa saya kembali.”
Pemenang 15 kali kejohanan utama itu juga ditanya sama ada ini mungkin penampilan terakhirnya dalam Terbuka AS selepas memerlukan pengecualian khas dari USGA untuk bersaing di Pinehurst.
“Baiklah, ia adalah salah satu perkara di mana untuk memenangi kejohanan golf, anda perlu melepasi cut,” kata Woods.
“Saya tidak boleh memenangi kejohanan dari kedudukan saya sekarang, jadi ia sememangnya mengecewakan. Saya fikir saya bermain dengan cukup baik untuk bersaing. Ia tidak berjaya.
“Sebagai penampilan terakhir saya dalam kejohanan Terbuka atau Kejohanan Terbuka AS, saya tidak tahu bila itu. Ia mungkin atau mungkin tidak.” – Bernama – PA Media/dpa