KUCHING: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching, Datuk Lily Yong berpendapat bahawa tidak perlu melayan tindakan seorang penulis menghasilkan dua artikel dalam talian baru-baru ini yang dikatakan memfitnah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tegasnya, mencerminkan Abang Johari sebagai seorang pemimpin yang liberal dan bekerja keras memberi tumpuan untuk meningkatkan sosioekonomi rakyat di Sarawak.
“Masyarakat di Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum, bagaimanapun, mampu hidup bersama mengekalkan keharmonian dan keutuhan perpaduan ini yang patut membuka ‘mata’ sesetengah pihak sebelum memberi pandangan tidak berasas mengenai kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak.
“Kerajaan Persekutuan harus melihat kepada pencapaian Sarawak.
“Jadi pada saya, tidak perlu berurusan dengan orang seperti itu. Kita boleh tunjukkan kepada mereka bahawa kita akan memberi sokongan kepada Premier dalam apa jua yang dilakukan. Tidak perlu memikirkan isu yang tidak perlu. Kita mahu lihat Sarawak berkembang dan makmur,” katanya.
Lily berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis pemasangan papan tanda SUPP Cawangan Kuching di Jalan Sungai Padungan, pagi tadi.
Melihat kepada usaha Abang Johari menerajui kerajaan negeri selain bergelut dengan ketidaktentuan nilai ringgit , ujarnya lagi, kepimpinan Premier Sarawak berada di landasan yang betul membina ekonomi untuk membantu rakyat dalam dasar mesra rakyat.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Lily berkata, sebagai rakyat Malaysia, masyarakat harus memberikan tumpuan ke arah membina sebuah negara yang maju agar memperoleh manfaat lebih baik sekiranya negara berkembang.
Sehubungan itu, mewakili parti Cina, Lily mendorong Ahli SUPP di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mendokong usaha Abang Johari dalam menerajui pembangunan negeri agar dapat menjadi contoh yang baik bukan sahaja untuk SUPP, juga kepada rakyat dalam negeri.
Untuk rekod, kedua-dua artikel yang diterbitkan masing-masing pada 24 Mei dan 10 Jun di platform berita dalam talian itu ditulis oleh Nehru Sathiamoorthy berunsur mencemarkan reputasi dan imej Abang Johari dengan melemparkan tuduhan jahat dan tidak berasas serta memperlekehkan kepimpinannya dan pencapaian pemimpin negeri ini.
Oleh Connie Chieng