DALAT: Dianggarkan kira-kira 50 peratus daripada seramai 17,482 orang yang disenaraikan sebagai miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih, dijangka dikeluarkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia akan dilakukan setelah melalui proses pengesahan nanti.
“Senarai miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih yang berjumlah seramai 17,482 orang di Sarawak akan melalui proses verifikasi semula.
“Proses ini akan melibatkan jangkaan 50 peratus daripada penama akan dikeluarkan daripada senarai terkini Sarawak.
“Usaha ini akan dilaksanakan secara menyeluruh termasuk di Daerah Dalat yang mencatatkan 303 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar dan 1,202 KIR miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Jangkauan: Santuni Komuniti (POSKIM) dan pelancaran Logo POSKOM Sarawak Peringkat Bahagian Mukah anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah di Dataran Oya di sini, semalam.
Fatimah berkata, program jangkauan itu diharap dapat menyampaikan maklumat yang tepat, cepat dan terbaharu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu berkata proses tersebut akan melibatkan penubuhan pasukan petugas yang terdiri daripada kakitangan serta pelaksanaan program sedia ada dengan strategi lebih komprehensif untuk mencapai sasaran ditetapkan.
Mukah merupakan destinasi ketujuh pelaksanaan program ini di mana POSKOM merupakan program khas yang diperkenalkan oleh JKMS pada tahun ini untuk menyantuni golongan sasar yang berkeperluan dan akan diadakan di semua bahagian.