KUCHING: Seorang menteri hari ini memberi amaran supaya tiada parti politik campur tangan dalam pelantikan pemimpin bawahan seperti tuai rumah dan ketua kampung.
Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Sri Tiong King Sing yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata perkara ini perlu diserahkan kepada rakyat sendiri untuk menentukan.
“Kewibawaan dan keistimewaan itu harus diserahkan kepada penduduk rumah panjang dan kampung masing-masing untuk memilih pemimpin mereka sendiri, tanpa campur tangan orang luar.
“Semua ahli majlis dan ahli politik daerah dan perbandaran harus mengelak daripada mencampuri pelantikan ‘tuai rumah’ dan ketua kampung atau menghadapi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu dan ADUN Dudong berkata beliau menerima pelbagai laporan dan aduan daripada penduduk rumah panjang dan kampung berhubung individu tertentu yang secara berniat jahat terlibat dalam cubaan rahsia untuk memanipulasi pilihan raya ini, yang merupakan hak penduduk sendiri.
“Biar ini amaran terakhir. Hentikan perancangan dan penipuan untuk menguji kesabaran kita. Semua pihak mesti mematuhi mekanisme pemilihan sedia ada.
“Jika ada yang terus menyalahgunakan kuasa dalam perkara ini, jangan merungut jika perkara itu dibawa kepada pihak SPRM.
“Saya tidak akan membenarkan sebarang penyalahgunaan kuasa. Jika keadaan terus meruncing, saya tidak menolak mengambil tindakan perlu termasuk meminta SPRM menyiasat,” katanya.
Tiong berkata sesetengah pihak mungkin beranggapan beliau terputus hubungan dengan situasi kepemimpinan di peringkat bawahan di Sibu berikutan tugas rasminya.
“Disebabkan ini, mereka mungkin cuba mencetuskan masalah. Saya ingin menegaskan kepada mereka dan mengingatkan ‘pemanca’ tertentu supaya tidak menggunakan kuasa dan kedudukan anda untuk menyekat atau memveto secara berniat jahat keputusan pilihan raya komuniti/pelantikan calon-calon yang bukan ahli parti politik anda,” katanya.
Katanya, beliau telah pun melaporkan dan menjelaskan perkara ini kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
“Kami sebulat suara bersetuju supaya tiada parti politik campur tangan dalam pelantikan pemimpin seperti tuai rumah dan ketua kampung,” katanya.
Oleh itu, Tiong menggesa sekeras-kerasnya pejabat daerah untuk menangani perkara ini dengan teliti dan menyelesaikannya dalam tempoh seminggu.
Disebabkan cubaan memanipulasi pelantikan dan kelewatan yang disengajakan, beliau berkata pembaharuan watikah pelantikan 83 ketua rumah panjang dan kampung masih belum selesai, dan watikah pelantikan tiga pemimpin yang baru dilantik belum dikeluarkan.
Beliau berkata ini perlu diteruskan bagi memastikan kesemua 86 individu itu dapat terus berkhidmat kepada rakyat dan menyelesaikan masalah dengan lancar.
“Perlu diingatkan bahawa banyak dokumen memerlukan tandatangan ketua rumah panjang dan kampung, dan mereka juga memerlukan elaun untuk menjalankan tugas mereka.
“Justeru, saya tidak mahu timbul sebarang isu dalam proses pelantikan menyebabkan rakyat tidak dapat menyelesaikan masalah dan terjerumus dalam kesukaran.
“Jika tidak, orang yang tidak bersalah akhirnya akan menderita di bawah perebutan kuasa politik,” katanya.
Tiong berkata, beliau juga sedar di Dudong ada individu tertentu yang mahu melakukan aktiviti curang dalam pemilihan ketua rumah panjang dan ketua kampung, tidak menghormati sistem pemilihan sedia ada.
Tanpa mengira latar belakang mereka, Tiong berkata sesiapa yang boleh berkhidmat akan mendapat sokongan penduduk dan dilantik.
“Tiada mana-mana pihak harus menganggap ini sebagai cip tawar-menawar untuk muslihat politik mereka atau memaksa seseorang untuk menyertai parti mereka atau mengikuti barisan parti untuk dilantik,” katanya.
Oleh Nur Ain Otsman