SESEORANG yang memulakan kerjaya sebagai wartawan pada zaman 1980-an dan 1990-an, adalah golongan yang ‘kurang bernasib baik’ apatah lagi pada era sebelum itu dengan pelbagai kekangan terutama dari segi peralatan bagi menjalankan tugas di lapangan serta masalah perhubungan.
Itulah zaman yang tiada komputer, tiada bantuan ‘google’ untuk membuat penyelidikan, sebaliknya bergantung kepada buku ilmiah atau kamus Dewan Bahasa dan Pustaka untuk rujukan penggunaan bahasa yang betul. Malah, menulis berita akan kedengaran satu pejabat dengan ketukan jari pada mesin taip (typewriter). Bunyi tap tap tap sretttt tap tap tap sretttt bagai irama dan lagu, sukar untuk dipisahkan, menyebabkan bilik berita tidak pernah sunyi.
Jika silap taip (tulis), kertas yang ditaip kena buang dan ulang semula, jika tidak guna ‘liquid paper’ (pemadam cecair) bagi memastikan salinannya bersih, untuk mengelak ‘sumpah seranah’ editor. Salinan bersih sahaja tidak mencukupi, kerana berita yang ditulis mesti ada ‘ummph’ jika tidak ‘dibakulsampahkan’ oleh editor.
Jika membuat liputan di luar daerah hatta di luar negara sekalipun, berita lazimnya dihantar menerusi panggilan telefon dengan membuat panggilan ‘reverse call’ ke pejabat. Istilah ‘reverse call’ ialah wartawan tidak perlu membayar membuat panggilan dari jauh melalui operator, sebaliknya kos itu nanti dicajkan ke pejabat oleh Telekom.
Berapa lama kena hantar berita melalui telefon? Itu terpulang kepada kelajuan penerima panggilan di pejabat menaip berita, juga kalangan wartawan. Kalau ‘dateline’nya Kyrgyzstan, mahu diulang banyak kali bagi memastikan ejaannya betul.
Tetapi kaedah menghantar berita melalui telefon ini perlu lebih berhati-hati terutama di kawasan terbuka orang ramai atau di kawasan berisiko keselamatan. Pernah berlaku di Eropah, seorang wartawan ditahan polis buat seketika di lobi hotel ketika membuat liputan lawatan seorang presiden, apabila didengar menyebut ‘OK I shoot now’, sekali gus mengundang terkaman pantas pasukan keselamatan berbaju preman. Istilah ‘shoot’ kerap digunakan wartawan yang bermaksud ‘I shoot (tembak) now’ (Saya hantar berita sekarang).
Seorang wartawan veteran pernah menceritakan kisah lucu wartawan negara jiran menghantar berita pada zaman itu, ketika membuat liputan persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di luar negara. Dengan suara tinggi yang mungkin disebabkan talian telefon kurang elok, wartawan itu membaca laporan beritanya dan kedengaran dengan jelas dia memberitahu editornya berbunyi: ‘Bapak, berita ini eksklusif ya’, sekali gus memeranjatkan wartawan lain di bilik media, yang terfikir sudah kena ‘scoop’.
TELEFON BIMBIT BELUM ADA
Satu lagi kaedah menghantar berita pada zaman 1980-an hingga akhir 1990-an ialah melalui faks setelah dikarang menggunakan mesin taip.
Malah pada 1990-an, peralatan komunikasi dikenali sebagai ‘pager’ masih digunakan. Pager ini dengan saiz lebih kecil daripada kotak rokok akan mengeluarkan bunyi ‘beep’ bermaksud ada panggilan telefon masuk dan tertera nombor telefon tetap (waktu itu belum ada telefon mudah alih) pemanggil pada skrin pager. Wartawan akan mencari booth telefon talian tetap Telekom (sekarang sudah tiada) untuk menghubungi semula nombor itu, yang lazimnya bos atau editor memberi arahan tugasan terkini.
Sekarang ini sudah ada aplikasi What’sApp, SMS, chat untuk sebarang arahan tugas, malah untuk perbualan biasa.
Di jabatan editorial daripada penggunaan mesin taip beralih kepada mesin taip elektrik, teleprinter dan kini komputer atau tablet, ipad selain telefon bimbit digunakan secara meluas untuk menulis berita dan merekodkan suara.
Penulis teringat seorang wartawan tempatan meletakkan tape recorder (pita perakam) atas meja ketika sidang media seorang menteri persekutuan. Disebabkan sidang media agak panjang, ‘tape recorder’ itu sudah kehabisan pita rakaman menyebabkannya berbunyi ‘tet tot tet tot’ banyak kali. Tuan punya perakam itu pula selamba, tidak sedar yang berbunyi itu pita rakaman miliknya. Menteri terpaksa menghentikan seketika sidang media. ‘Tape (recorder) ini buatan China atau apa,’ katanya, menyebabkan semua yang hadir tergelak.
Malah pejabat media massa pada zaman itu juga menggunakan teleprinter (mesin teletaip) untuk hantar berita dari pejabat cawangan yang ketika itu dianggap teknologi paling laju. Paling mencabar terutama bagi media nasional yang ada cawangan di Sabah atau Sarawak ialah menghantar gambar. Teringat seorang jurugambar menghantar gambar dalam sampul surat menerusi seorang artis yang balik ke Kuala Lumpur dari Kuching pada penerbangan awal pagi.
Harapannya supaya ibu pejabat di Kuala Lumpur menerima gambar ‘penting’ itu sebelum tengah hari dan bolehlah disiarkan akhbar keesokan harinya. Dia menghantar sampul berisi gambar itu melalui artis bagi memudahkan rakan di Kuala Lumpur mengenali dan mengambilnya di Lapangan Terbang Subang. Nasib tidak menyebelahinya, apabila artis itu terus balik ke rumah dan lupa pasal sampul berisi gambar, manakala rakan jurugambar yang ditugaskan mengambil sampul itu di lapangan terbang pula lewat sampai. Hanya keesokan harinya baru sampul berisi gambar itu sampai di ibu pejabat Kuala Lumpur, menyebabkan editor ‘mengamuk’.
‘BILIK GELAP’
Keadaan kini sudah jauh berubah. Jurugambar daripada menggunakan kamera filem hitam putih kepada filem berwarna dan terkini kamera digital hingga melenyapkan operasi ‘bilik gelap’ iaitu bilik kedap cahaya jurugambar untuk memproses filem negatif sebelum mencetak gambar. Malah menghantar gambar secara online begitu pantas.
Selain itu, surat khabar kompak bertukar kepada saiz tabloid. Pembaca atau pembeli surat khabar juga berkurangan menyebabkan jumlah jualan surat khabar secara keseluruhannya jatuh kesan ledakan teknologi maklumat dan wujudnya peranti pintar mudah alih dan peralatan moden lain seumpamanya.
Surat khabar maya atau diterbit dalam versi digital atau secara dalam talian penyebab utama kejatuhan jumlah cetakan surat khabar fizikal di samping wujudnya pelbagai versi media sosial dan portal di seluruh dunia.
Jika 20 atau 30 tahun lalu, orang ramai bersarapan pagi di kedai kopi atau gerai, lazimnya kelihatan membelek-belek sambil membaca surat khabar. Hari ini, suasana itu amat jarang kelihatan, sebaliknya setiap orang hatta sekeluarga sekalipun ‘senyap sunyi’ kerana masing-masing melekat melihat skrin telefon bimbit. Sebab itu juga berita online sepantas kilat boleh dibaca melalui platform digital. Begitu juga akhbar versi digital menggunakan platform ‘e-paper’ yang boleh diakses seawal 12 tengah malam, iaitu versi hampir sama dengan akhbar cetak yang hanya boleh diakses pada jam 6 atau 7 pagi.
Di Sarawak misalnya, akhbar cetak hanya sampai ke destinasi di luar bandar pada sebelah tengah hari atau petang. Malah ada yang sampai hanya keesokan harinya. Ada lagikah orang baca akhbar versi cetak, tanya seorang rakan yang memberitahu versi itu sekarang mungkin hanya dibaca oleh generasi terdahulu atau warga emas yang tetap taat setia dengan kaedah membaca melalui versi cetak.
Cabaran dunia kewartawan di Sarawak memang hebat kerana luasnya kawasan. Pihak media terpaksa mengambil pemberita sambilan untuk liputan berita di luar bandar dan pedalaman, kerana jika ada apa-apa tragedi besar berlaku seperti kebakaran, helikopter terhempas atau bot ekspres karam (semuanya pernah berlaku), akan lebih mudah berbanding jika wartawan dari pejabat di bandar terpaksa pergi ke lokasi yang agak jauh untuk liputan, sedangkan laporan berita kejadian memerlukan kelajuan untuk pengetahuan umum.
Nasib baik pada zaman dahulu, banyak berita terutama membabitkan lawatan menteri diliputi oleh wartawan dan jurugambar Jabatan Penerangan yang media swasta boleh kongsi kemudian. Walau apapun rintangan, wartawan dan jurugambar ketika itu, tetap berjaya menepati masanya dan mematuhi tarikh akhir berita yang perlu disiarkan.
Kini akhbar sedang diasak dengan begitu hebat oleh perubahan yang dibawa oleh teknologi dan digitalisasi.
Hakikatnya, akhbar bercetak tidak sama dengan versi digital seperti media sosial yang tidak mempunyai ciri algoritma dan hanya memaparkan maklumat yang diminta atau disukai sahaja.
Justeru, industri surat khabar di negara ini perlu mengukuhkan kekuatan kandungan digital untuk menyokong operasi bercetak seperti mana amalan di negara luar dengan memasukkan variasi kandungan yang sentiasa menarik bagi meraih pengiklanan. Namun, di merata dunia, sudah banyak versi cetak dihentikan penerbitannya kerana kos tinggi, sebaliknya memilih berita online. Jika terus beroperasi, ia mungkin muflis kerana harga kertas cetakan semakin mahal, iklan semakin kurang dan ramai beralih kepada berita dalam talian. Hanya masa akan menentukan ‘ajal’ media cetak.
Kepada masyarakat umum, hargailah tugas wartawan. Diharapkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Kuching ini akan mengangkat martabat watawan ke tahap yang sepatutnya.
Oleh KADIR DIKOH
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.