ZARINA ABDULLAH
MIRI: Institut Pendidikan Guru (IPG) Miri kini sedang dalam fasa akhir persiapan untuk dijadikan sebagai sebuah lagi pusat kuarantin baharu disini dan dijangka siap selewat-lewatnya Jumaat ini.
Perkara ini telah dimaklumkan Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri di Pejabat Residen Bahagian Miri semalam.
Menurutnya, IPG Miri itu bukan untuk pesakit Covid-19, sebaliknya untuk mereka yang berisiko dan ditempatkan di sini sepanjang tempoh 14 hari untuk memantau sekiranya ada gejala timbul dan akan dihantar ke Hospital Miri, namun sekiranya tiada gejala, maka individu tersebut akan dibenarkan pulang.
Pusat kuarantin yang pertama dibuka bagi Bahagian Miri ialah di Kampung Sukan Petronas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu dalam perkembangan berlainan menyeru penduduk Miri khususnya untuk tidak melakukan pembelian panik dan tidak berasa khuatir kerana bekalan makanan adalah terkawal dan mencukupi.
“Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Cawangan, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri bahawa stok bekalan barang kawalan adalah mencukupi bagi keseluruhan Bahagian Miri maksimum sehingga tiga bulan.
“Manakala beberapa Pasar Tamu di Miri bawah seliaan Majlis Bandaraya Miri akan kembali beroperasi untuk aktiviti jualan dengan masa beroperasi dari jam 7 pagi hingga 2 petang sahaja.
“Antara pasar tamu yang telah dibuka semula ialah Tamu Muhibbah, Tamu Khas, Tamu Kadayan, Tamu Dato Hj Ahmad Lai Luak, Tamu Morsjaya, Tamu Taman Tunku dan Tamu Pujut Corner,” jelasnya.
Mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Cina mengenai seorang penumpang dari Kota Kinabalu yang datang ke Miri tidak memberitahu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) cawangan Miri mengenai keperluan kuarantin selama 14 hari di Lapangan Terbang Miri.
Lee berkata beliau telah meminta JIM dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Miri untuk melakukan siasatan terperinci ke atas laporan berita dari akhbar tersebut.
“Siasatan terperinci perlu dilakukan kerana mana-mana individu yang datang dari luar Sarawak perlu melalui proses kuarantin sendiri selama 14 hari.
“Sesiapa yang memasuki Miri perlu mengisi dua borang yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia iaitu ‘Health Declaration Form’ dan ‘Stay Home Notice Form’,” tegasnya.
Selesai mesyuarat, Lee telah menyampaikan sumbangan pelindung muka sebanyak 500 unit kepada Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong.
Beliau yang mewakili Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan atas inisiatif membantu menyiapkan pelindung muka bagi kegunaan pasukan perubatan Hospital Miri.
Setakat ini 1,000 unit pelindung muka seumpama itu telah dihasilkan dan telah diserahkan kepada pasukan barisan hadapan di Bahagian Miri.