TRAGEDI 13 Mei 1969 di Semenanjung Malaysia merupakan sejarah hitam yang memberi kesan kepada negara. Peristiwa itu tercetus ketika keputusan pilihan raya 1969 diumumkan. Insiden ini bermula apabila berlaku perarakan di Kuala Lumpur selepas pilihan raya umum tersebut. Perarakan ini telah mencetus permusuhan kaum dan akhirnya membawa peristiwa rusuhan di Kuala Lumpur.
Berikutan masalah ini, maka darurat telah diisytiharkan di seluruh negara dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan dibawah pimpinan Tun Abdul Razak Hussein untuk mengembalikan keamanan selepas insiden ngeri itu.
KETENANGAN
Walaupun berlaku kekacauan di Kuala Lumpur, keadaan di Sarawak dan Sabah tidak terkesan. Kehidupan masyarakat pelbagai kaum di kedua-dua negeri ini berjalan seperti biasa.
Walaupun sebelum itu berlaku krisis kerajaan negeri pada 1966 tetapi isu tersebut tidak menjadi isu perkauman. Ini merupakan satu kerukunan yang wujud bagi Sarawak walaupun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum.
Hal ini disahkan oleh Menteri Perlombongan ketika itu, Abdul Rahman Ya’akub yang menyatakan keadaan di Sarawak adalah tenang. Beliau yakin bahawa perbalahan di Kuala Lumpur tidak akan berlaku di Sarawak. Ketua Menteri Sarawak, Dato Penghulu Tawi Sli (ketika itu) memandang serius mengenai kesan peristiwa ini agar tidak menjalar ke negeri ini. Beliau menegaskan bahawa hubungan baik antara kaum di Sarawak harus dipelihara dan sebarang usaha untuk memburukkannya harus disekat.
Kehidupan normal di Sarawak ini dipaparkan dengan beberapa acara sukan bagi merapatkan hubungan masyarakat. Antaranya adalah sukan hoki antara bahagian di Sarawak yang diadakan dari 16 hingga 21 Ogos 1969 di Miri. Dalam kejohanan yang pertama kali dianjurkan itu, Angkatan Tentera Malaysia telah menjadi juara. Awal daripada itu , pada Jun 1969 pertandingan golf diadakan di Kelab Sarawak. Pertandingan ini berjalan LANCAR TANPA SEBARANG MASALAH.
KOMUNIS
Hanya satu kerisauan ketika itu adalah ancaman komunis. Ini kerana dikhuatiri pihak komunis akan menggunakan peluang itu untuk menganggu keharmonian kaum di Sarawak. Namun ternyata hal ini tidak berlaku di Sarawak.
Walaupun komunis tidak mengambil kesempatan dalam isu ini tetapi Pengarah MAGERAN, Tun Abdul Razak menyatakan kebimbangan beliau bahawa pihak komunis mula menyelinap ke sekolah-sekolah persendirian di Sarawak. Menurut Tun Abdul Razak, keadaan ini terkawal tetapi akan terus memantau hal ini dari terus membawa kesan kepada keselamatan negara.
Akibat ancaman komunis ini, maka beberapa tempat di Bahagian Kedua, Sarawak diadakan perintah berkurung. Secara khususnya Daerah Engkilili dan Simanggang adalah kawasan yang dikenakan perintah berkurung.
Mengenai masalah perkauman di Sarawak, Tun Abdul Razak melahirkan rasa gembiranya bahawa isu itu tidak timbul di Sarawak. Dalam hal ini Tun Abdul Razak menyatakan bahawa semua pemimpin di Sarawak harus mengekalkan keharmonian dan persefahaman antara pelbagai kaum agar keamanan dan hubungan baik akan dapat diperkukuhkan.
Sehubungan insiden ini, Tun Razak menambah bahawa pembangunan bukan setakat dalam memberi pekerjaan kepada penduduk tetapi juga perlunya projek ke arah perpaduan antara anggota masyarakat.
DIGANTUNG
Salah satu kesan politik ketara timbul selepas tragedi 13 Mei ini ialah pilihan raya bagi Sarawak dan Sabah untuk parlimen dan negeri telah digantung. Pengantungan tersebut dibuat pada 15 Mei 1969. Dalam hal ini, Penyelia Pilihan Raya Sarawak, Augustine Chong menyatakan bahawa kakitangan yang mengurus pilihan raya tersebut diarahkan untuk menghentikan tugas mereka dan kembali ke ibu kota.
Abdul Rahman Ya’akub memaklumkan bahawa pengantungan itu perlu kerana Kerajaan Pusat memerlukan kakitangan dalam kalangan polis dan anggota kerajaan lain untuk diarah bagi kerja-kerja lain di peringkat pusat. Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam hal ini menyatakan antara sebab mengapa pilihan raya tersebut digantung kerana ada pihak tertentu cuba menganggu ketenteraman awam di kedua-dua negeri ini.
SOKONGAN
Pada masa sama, kerajaan negeri Sarawak menyatakan sokongan kepada usaha dibuat oleh pihak Kerajaan Pusat. Dalam hal ini Dato Penghulu Tawi Sli menyatakan bahawa rakyat Sarawak memberi sokongan kepada kepimpinan Tuanku Abdul Rahman. Menurut beliau, Tuanku Abdul Rahman telah membuktikan sebagai seorang pemimpin yang berkebolehan dan mendapat kepercayaan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Tawi Sli juga menyokong keputusan Kerajaan Pusat dalam mengenakan undang-undang darurat di Malaysia. Sokongan kerajaan Sarawak ini bukan setakat aspek moral tetapi juga aspek kewangan. Hal ini dilihat dengan Tawi Sli menyampaikan derma sebanyak $50,000 kepada Tun Abdul Razak untuk Tabung Bantuan Darurat Negara.
Bantuan kewangan juga datang daripada Datuk James Wong apabila beliau menderma $20,000 untuk tabung yang sama. Seorang lagi pemimpin Sarawak iaitu Temenggong Jugah anak Barieng menyatakan bahawa darurat dan pengantungan pilihan raya Sarawak (dan Sabah) adalah perlu kerana telah berlaku kekacauan di Kuala Lumpur. Temenggong Jugah juga mendapat kepercayaan Tun Abdul Razak apabila dilantik sebagai penasihat khas dalam Jawatankuasa Gerakan Negeri Sarawak.
Dewan Perniagaan Cina Sarawak juga mengutuskan surat sokongan kepada Tuanku Abdul Rahman dalam memimpin negara. Mereka juga menyatakan sokongan kepada Tun Abdul Razak untuk memulih keamanan dan keharmonian di Malaysia.
Perkembangan yang berlaku di Sarawak selepas insiden 13 Mei ini menunjukkan bahawa keharmonian dan keamanannya tidak tergugat. Penduduk pelbagai kaum di Sarawak terus hidup rukun dan damai. Hanya pemantauan dilakukan oleh kerajaan agar situasi di Kuala Lumpur tidak merebak ke Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).