KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives berkemungkinan diniagakan lebih rendah minggu depan berikutan pengambilan untung ketika peserta pasaran menunggu petunjuk daripada persidangan minyak sawit antarabangsa.
Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata, pelabur dan peniaga akan menantikan petunjuk dan petanda daripada pakar mengenai pendapat mereka tentang harga minyak sawit dan prospek pasaran.
“Pada masa ini, pasaran berada dalam aktiviti penjualan oleh spekulator kerana harga semakin meningkat.
“Selain itu, terdapat banyak stok di Malaysia dan Indonesia. Kami menjangkakan julat harga untuk minggu depan sekitar RM3,500 satu tan hingga RM3,700 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Peserta pasaran kini menantikan Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik (POC) 2024 ke-35 yang akan diadakan bermula esok hingga 6 Mac ini.
Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata, walaupun pasaran dijangka bergerak lebih rendah minggu depan, kerugian mungkin akan dihadkan oleh prospek pengeluaran yang lebih lemah dan paras stok yang rendah.
“Kami mendapati paras sokongan pada RM3,900 satu tan dan paras rintangan pada RM4,050 satu tan,” kata Ng.
Bagi minggu dagangan baharu berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berikutan bimbang terhadap pengeluaran yang lebih rendah.
Pada asas mingguan, kontrak bulan semerta Mac 2024 meningkat RM55 kepada RM4,024 satu tan, April 2024 naik RM112 kepada RM4,016 satu tan dan Mei 2024 melonjak RM113 kepada RM3,966 satu tan.
Kontrak bagi Jun 2024 bertambah RM102 kepada RM3,896 satu tan, Julai 2024 meningkat RM88 kepada RM3,824 satu tan, dan Ogos 2024 mengukuh RM80 kepada RM3,769 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 295,234 lot daripada 318,995 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 257,308 kontrak daripada 234,976 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan naik RM50 kepada RM4,070 satu tan daripada RM4,020 satu tan pada minggu lepas. – Bernama