JAKARTA: Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) sedang mengatur Pemilihan Umum (Pemilu) susulan atau pengundian tambahan di 668 pusat pengundian (TPS) di empat wilayah berikutan isu seperti banjir, kekurangan kertas undi dan kebimbangan keselamatan.
Dalam sidang media malam semalam, Pengerusi KPU Hasyim Asy’ari mengumumkan bahawa pengundian tambahan itu akan diadakan di Demak, Batam, Jayawijaya, Paniai dan Puncak Jaya.
Beliau berkata Demak, yang terletak di Jawa Tengah, sebagai contoh sedang berdepan banjir yang menjejaskan 108 TPS manakala Batam di Kepulauan Riau mengalami kekurangan kertas undi di lapan TPS.
Menurut beliau, Jayawijaya di Papua Highlands pula berdepan dengan ancaman keselamatan yang menjejaskan empat TPS manakala Paniai dan Puncak Jaya di Papua Tengah masing-masing menghadapi masalah di 92 TPS dan 456 TPS.
Indonesia mengadakan pilihan raya presiden dan legislatif pada Rabu, melibatkan 204.8 juta pengundi dengan 820,161 pusat mengundi dibuka di 38 wilayah.
Calon presiden, Prabowo Subianto dilapor muncul sebagai pendahulu Pemilu 2024 Indonesia berdasarkan kiraan pantas atau quick count dengan memperoleh lebih 50 peratus undi.
Keputusan itu selari dengan ramalan banyak analis bahawa menteri pertahanan dan regunya, Gibran Rakabumi Raka, Datuk Bandar Solo di Jawa Tengah, boleh menang dalam satu pusingan.
Litbang Kompas menunjukkan bahawa Prabowo mendapat 58.73 peratus undi, dengan Anies Baswedan pula 25.10 peratus undi dan Ganjar Pranowo memperoleh 16.17 peratus undi, berdasarkan 88.45 peratus sampel di pusat-pusat pengundian
Menurut Poltracking, Prabowo mendapat 59.35 peratus undi, Anies pada 24.37 peratus sementara Ganjar pada 16.28 peratus, berdasarkan kiraan 95.67 peratus undi contoh.
Keputusan kiraan pantas daripada badan penyelidikan yang berdaftar dengan KPU adalah tidak rasmi tetapi dijangka selari dengan kiraan rasmi KPU yang dijangka dikeluarkan pada 20 Mac.
Prabowo ketika mengulas keputusan kiraan pantas malam tadi menekankan keperluan untuk merendah diri dan menunggu keputusan rasmi dari KPU.
“Sementara kami menghargai petunjuk kemenangan, adalah penting untuk tetap rendah diri. Kemenangan ini harus dilihat sebagai kemenangan untuk semua rakyat Indonesia,” katanya di Istora Senayan.
Sementara itu, Anies dilaporkan berkata: “Proses pengiraan rasmi mengambil masa, ayuh kekal tenang.”
Ganjar pula dilaporkan berkata : “Kami memantau dengan teliti semua keputusan kiraan pantas yang dilaporkan dan semestinya menunggu pengiraan akhir rasmi.” – Bernama