Oleh: Awang Alfizan
“ADAKAH terasa sakit tatkala sekuntum puspa dipetik dari pohonnya? Sakit yang berdenyut dari pucuk dedaun hingga ke akar tunjang?” Kerap kali aku mempersoalkan perihal itu. Aku tidak pernah merasa sesakit ini. Peritnya umpama mencarik-carik dada. Pedihnya seperti mencucuk-cucuk ubun kepalaku. Sukar untuk menerima realiti sehingga meninggalkan hati yang rawan. Meski berkali-kali aku meraung dan mengadu luka yang kian berdarah, tiada yang mampu mengubatinya. Bahkan doktor yang mempunyai lulusan sarjana ataupun cendekiawan perubatan yang tinggi intelektualnya tidak mampu menjamin kesembuhanku.
Peristiwa awal bulan julai benar-benar mengubah plot kisah hidupku. Ketika itu aku terbangun di sebuah wad hospital. Tubuhku terbaring lemah di atas katil. Dadaku pula ditempelkan dengan wayar-wayar yang bersambung dengan segala mesin rawatan. Di sisiku pula, ada suamiku, Wan. Hatinya yang gundah terus bertukar bahagia sejenak setelah melihat aku kembali sedar.
“Doktor! Doktor! Isteri saya sudah sedar,” jeritnya lalu bergegas mencari doktor ataupun jururawat yang berdekatan.
Kesedaranku masih belum pulih sepenuhnya. Aku cuba menghadam apa yang berlaku terhadap diriku sebenarnya. Sesekali aku memicit dahiku kerana sakit memikirkan sesuatu. Wan pula sedang berbincang dengan doktor di luar kamar wadku. Reaksi wajahnya kelihatan sangat serius dan merisaukan. Namun, aku cuba untuk tidak mempedulikan hal tersebut kerana kepalaku masih berdenyut kesakitan. Setelah beberapa detik memikirkannya, barulah aku teringat bahawa pagi tadi aku sedang sibuk menyediakan cucur ubi keledek kegemaran suamiku untuk juadah sarapan. Tiba-tiba sahaja spatula yang aku pegang terlepas dari genggamanku. Beberapa kali aku menekan dada yang semakin senak rasanya sehinggakan aku rebah tidak sedarkan diri di atas lantai dapur. Hanya itu gambaran terakhir yang aku ingat sebelum aku terbangun di wad hospital ini.
Belum sempat aku mengejutkan suamiku yang terlelap di atas kerusi, sakit dada mendadak menyerangku kembali. Kali ini aku terbatuk-batuk seperti orang kesesakan nafas. Wan pun terjaga lantas menghulurkan sehelai sapu tangan kepadaku. Alangkah terkejutnya kami berdua setelah melihat darah yang banyak melekat pada sapu tangan putih itu. Jelas lagi nyata bahawa darah itu berasal dari mulutku. Buktinya sahaja terdapat kesan darah pada hujung bibirku. Suamiku pun menghilangkan kesan darah itu menggunakan hujung lengan bajunya. Matanya berkaca menahan pilu. Aku terpinga-pinga melihat tingkahnya yang penuh emosi. Dia kemudian memeluk erat tubuh kecilku ini.
“Kita ikhtiar sama-sama, ya. Abang tahu Puspa kuat,” katanya sambil menangis teresak-esak. Setitis demi setitis air matanya membasahi pundakku.
Sejujurnya aku masih tidak mengerti dengan kata-katanya sehingga pandanganku teralih ke arah laporan kesihatanku yang tergantung di tepi katil. Kebenaran yang membuatkan aku tergamam seketika. Pahit untuk dihadam. Tiada kata yang mampu mengungkap betapa besarnya rasa takut dalam diriku pada waktu itu. ‘Ya, aku penghidap kanser paru-paru tahap dua. Dan inilah pengakhirannya,’ luahan hatiku yang seperti sudah pasrah dengan segalanya. Aku masih tidak percaya bahawa aku berfikir selama ini aku hanya mengalami batuk biasa sahaja. Maklumlah, umurku sudah memasuki fasa angka enam puluh sudah tentu penyakit batuk biasa itu wajar dengan usiaku. Orang kata, penyakitku ini disebabkan tabiat merokok. Selama aku hidup di muka bumi, sebatang rokok pun tidak pernah terbakar di bibirku. Bahkan suamiku sendiri tidak pernah menghisap benda merbahaya itu. Apakah dosaku sehingga Tuhan mengujiku seperti ini?
Semenjak aku menjadi seorang ‘pesakit’, anak-anak, menantu dan cucu-cucuku sering kali menjengukku di teratak tua ini. Suamiku yang dulu selalu keluar rumah kerana urusan pekerjaan sebagai petani moden di ladang jagung, kini lebih banyak meluangkan masa merawatku di rumah. Suasana yang janggal bagiku. Selama ini jarang sekali semua ahli keluargaku dapat berkumpul bersama-sama di rumah. Kalau ada pun hanya sekali setahun. Itu pun setibanya hari lebaran. Maklumlah, anak-anakku semuanya mempunyai tanggungjawab dan kerjaya di luar. Aku sentiasa memahami mereka asalkan mereka bahagia dan berjaya. Kebiasaannya, rutinku dari fajar hingga terlena sungguh padat sekali. Awal-awal pagi lagi aku akan mencuci pakaian kotor setelah selesai menyediakan sarapan. Selepas itu, aku jemur pakaian itu di atas ampaian. Panas matahari yang bahang itu aku manfaati juga dengan menjemur nasi lebihan semalam sehingga kering lalu akan aku jual kepada penternak ayam. Tugasku selepas makan tengah hari pula, aku akan mengasuh cucu-cucuku yang baru pulang dari sekolah. Sebenarnya, boleh sahaja anak-anakku mengupah pengasuh luar untuk merawat anak mereka. Namun, selagi kudratku masih tersisa dalam jasad, aku ingin menjaga cucu-cucuku dengan tanganku sendiri kerana mereka ialah permata hatiku. Semua kerja ini aku lakukan dengan senang hati. Bukan kerana suamiku tidak mampu membayar orang gaji tetapi aku lebih suka menguruskan mahligai keluargaku ini.
Namun, semuanya berubah tanpaku duga. Perubahan yang merubah total kehidupanku. Aku seakan-akan kembali menjadi seorang bayi kecil. Diberi perhatian sepenuhnya daripada setiap insan yang aku cintai. Dihargai selagi masih ada. Segala makan, minum dan tidurku dipedulikan oleh anak-anakku. Terimbau memori saat aku membesarkan mereka ketika masih kecil dalam pangkuanku. Entah mengapa kadang-kadang perhatian yang anak-anak dan suamiku berikan membuatkanku rasa bersalah. Perasaan yang membuatkan aku dihantui gundah. Melihat anak-anakku yang penat pulang bekerja dari siang hari terus mengurusku di sini. Aku dapat menatap gumpalan kepenatan yang dipendam dalam pandangan mata mereka. Namun, mereka tetap menafikan kelelahan itu demi merawatku. Ya Allah, kau lindungilah anak-anakku ini. Jika suatu hari nanti aku dijemput pergi, izinkan aku berkumpul kembali bersama anak-anakku. Anak yang pernah terlahir dari rahimku ini. Berkatilah hidup mereka kerana telah menjadi anak yang soleh dan solehah.
“Maafkan ibu, nak. Ibu tahu anak-anak ibu lelah. Ibu banyak menyusahkan kalian. Terima kasih kerana menjaga ibu.”
“Maafkan aku,” kataku saat salah seorang puteriku sedang menghulurkan beberapa pil ubat kepadaku.
“Tangan ini pernah berbakti kepada sembilan orang anak. Mulut ini tidak pernah mengeluh bahkan merungut. Semuanya tulus dilaksanakan melalui hati dan amanah. Tiada salahnya jika sembilan orang anak ini ingin membalas jasa ibunya yang tidak ternilai,” balas puteri ketigaku itu sambil menggenggam erat tanganku.
Aku terus mendakap erat tubuh puteriku itu tatkala melihat matanya yang bergenangan tangis. Seperti sudah lama dia memendam sedih itu sendiri agar bisa berpura-pura kuat di hadapanku. Kasihan anak ibu.
“Puan Puspa boleh masuk bilik tiga di depan sana untuk berjumpa dengan doktor.” Salah seorang jururawat mengarahkan aku sambil menundingkan jarinya ke lorong yang berhampiran.
Wan kemudian menolak kerusi rodaku secara berhati-hati. Aku pula duduk dalam keadaan lemah akibat sakit yang kian menguasai tubuh. Badanku menjadi sering kedinginan dan terasa sehingga ke tulang. Beginilah rutinku pada setiap hujung minggu. Disebabkan rumahku terletak di kawasan perkampungan, kami terpaksa kerap ke pekan untuk bertemu dengan doktor pakar. Anak-anak dan menantuku turut bergilir membawaku. Sehingga sampai satu tahap, aku merasakan hospital ini sudah umpama rumah kedua bagiku. Para jururawat dan doktor sudah aku anggap seperti jiran tetangga.
Pada hari itu, aku memerhati seorang nenek yang seusiaku sedang beratur mengambil ubat bersama cucunya di kaunter farmasi. Wanita itu cuba menenangkan cucunya yang ingin pulang dengan segera. Dia pun memberikan sebiji gula-gula kepadanya. Fenomena ini mengingatkan aku kembali dengan cucu-cucuku. Anak-anak kecil yang menjadi penyeri teratakku. Gelak dan tawa mereka tidak pernah habis kecuali ketika mereka sudah terlena. Itu pun aku yang memaksa mereka untuk tidur dan berehat. Jika tidak, pasti cucu-cucuku ini seperti beruk yang terlepas di hutan. Paling mereka takuti ialah suamiku. Sekali datuk garang mereka mula bersuara, terus semuanya terdiam dan menjadi budak baik. Aku tergelak kecil mengingat semua memorabilia itu.
Paling aku rindui ialah setiap pagi hujung minggu. Cucu-cucuku akan menemaniku menyiram pokok bunga di halaman. Bermacam-macam permainan yang mereka main. Sehinggakan ada yang sengaja berdiri berhampiran pohon bunga agar terkena siraman air. Jika ibubapa mereka tahu anaknya sedang bermain air, pasti mereka akan dimarahi. Namun, aku layankan sahaja karenah budak-budak ceria dan aktif ini. Biarlah memori kanak-kanak mereka dipenuhi dengan kesenangan. Menatap senyuman mereka yang paling indah sudah cukup membuatku bahagia. Bahagia yang tidak mampu terulang biarpun untuk sekali lagi. Tiba-tiba sahaja rasa rindu terhadap salah seorang cucuku yang sedang melanjutkan pengajian di perantauan datang bertandang dalam ingatanku. Entah mengapa rindu itu kian meruap dalam hati sehingga aku kerap kali memikirkannya.
“Kalau nenek diberi hajat di dunia ini, apa yang nenek minta?” Suara Ahmad semasa kecil terngiang-ngiang dalam rongga telingaku.
Waktu itu, dia masih lagi berusia lima tahun. Bantal busuk berbungkus kain batik sentiasa berada dalam pelukannya. Hingus juga sering berjuntaian dari lubang hidungnya. Kelihatan polos seperti usianya namun mempunyai akal yang sangat geliga. Petah berbicara pula. Pertanyaan Ahmad itu menjentik jiwaku. Membuatkan mindaku tidak berhenti berfikir. Sentiasa memikirkan hajat yang benar-benar aku inginkan. Mungkin kerana aku yang semakin dimamah usia, aku sudah tidak mahu menginginkan hal lain. Cukuplah keluargaku bahagia, berjaya dunia dan akhirat.
“Tumor yang ada dalam paru-paru Puan Puspa sudah merebak ke dalam otak. Pihak puan ada dua pilihan. Pertama, kita akan memberikan rawatan radioterapi ataupun kedua, menjalankan pembedahan otak untuk membuang tumor.”
Penjelasan doktor benar-benar merentap jiwaku. Merenggut dari setiap saraf yang berhubung hingga ke pangkal organ. Tubuhku yang beransur lemah sudah tidak terdaya menanggung sakit ini lagi.
“Cukup! Puspa sudah tak sanggup, bang. Cukup!” Aku menangis semahu-mahunya di atas riba suamiku. Melepaskan segala kesakitan yang menyiksa diriku. Dadaku sudah tidak mampu menyimpan derita yang kian membuak ini.
Wan yang bersimpati melihat kondisiku hanya mampu menepuk lembut bahu kananku. Matanya yang menzahirkan manik-manik duka ditahan agar tidak mengalir. Semenjak aku diuji dengan penyakit ini, jarang sekali aku bisa menatap senyuman di wajah tampannya. Tidak seperti masa-masa lalu. Kuntuman senyuman yang diukir waktu zaman percintaan bersama bait-bait lagu klasik yang sering didendangkannya dahulu untukku. Aku rindu nostalgia yang tinggal kenangan itu.
Seperti apa yang sudah dibincangkan bersama kerabat keluarga, aku tampil menjalani radioterapi di Pusat Jantung Sarawak. Satu persatu sesi rawatan aku terima. Rambutku yang panjang mengurai paras pusat terpaksa dipotong pendek sehingga pangkal leher. Kata doktor pakar, supaya memudahkan proses radioterapi. Aku akur meski setiap helaian rambutku umpama helaian mahkotaku yang berguguran. Kemudian, aku dimasukkan ke dalam sebuah mesin selama setengah jam. Dalam tempoh masa itu juga aku dilarang untuk melakukan sebarang pergerakan. Sebuah sinaran mula memancar memasuki otakku. Hatiku tidak henti-henti berzikir pada ketika itu. Hanya Allah yang mengetahui kegusaran jiwaku.
“Nek, Ahmad pulang.”
“Ahmad, cu… cucu nenek pu… pulang.” Tangan berkedutku yang kian longlai menyentuh wajah yang aku rindui itu.
Setelah aku menerima rawatan radioterapi tempoh hari, perlahan-lahan tubuhku melemah. Pada awalnya, kakiku tidak terdaya menampung badanku lagi sehingga menyukarkan langkah pergerakanku. Diikuti dengan kedua-dua belah tanganku. Bahkan aku sudah tidak mempunyai kudrat untuk menyuap sesudu nasi ke dalam mulut sendiri. Kini, aku hanya terbaring seperti boneka hidup di atas ranjang. Lumpuh total. Belum lagi rasa bahang yang seolah-olah membakar dalamanku akibat kesan sampingan radioterapi. Diiringi pula dengan batuk yang tidak henti menyerang dadaku.
“Ya Allah, besarkah dosa yang hambamu ini buat di masa lalu? Seberat ini dugaan yang diberikan kepadaku. Hambamu reda, namun ada ketika hati ini remuk tidak tertahan. Aku lemah.” Curahan dukaku dalam sebak yang menebal.
“Ahmad tolong nenek bangun, ya.” Tangan cucuku itu cuba memapahku.
Belum sempat aku berdiri, dadaku terasa amat sakit apabila tubuhku terhempap pada dada Ahmad. Cepat-cepat dia memegang lenganku dengan kuat agar aku tidak terjatuh.
“Aduh, sakitnya!” Aku terbaring semula di atas katil. Dada yang pedih aku tekan sekuatnya. Wajahku yang kesakitan dilihat langsung oleh Ahmad.
“Maaf nek, Ahmad tak sengaja nak sakitkan nenek. Semua ini salah Ahmad. Ahmad lelaki yang lemah, nek.” Muka cucuku yang berkulit sawo matang itu mula kemerahan menahan tangis. Matanya bergenangan dengan mutiara rintihan.
Belum sempat aku menenangkan cucuku itu, dia sudah keluar dari kamarku. Dia tidak sanggup menatap diriku yang tersakiti kerananya.
“Ahmad tak salah. Cuma nenek yang tidak kuat lagi.” Suaraku yang hilang dalam tiupan udara sepi.
Hari-hariku berjalan dengan pantas. Umpama detakan jantungku yang sudah tidak biasa degupannya. Dua orang puteriku mula mengurut kaki dan tanganku secara perlahan-lahan. Maklumlah, anggota tubuhku sering terasa kebas akibat lumpuh yang merebahkan ragaku. Sengalnya menusuk hingga ke sendi-sendi.
“Nek, Ahmad pergi universiti dulu. Cuti tahun depan Ahmad balik lawat nenek lagi. Tunggu Ahmad pulang, nek.” Cucuku ini lantas memegang erat tanganku. Disalamnya lalu dikucupnya dahiku.
Aku mengetapkan bibir. Tergamam sejenak. Entah mengapa terlalu berat hatiku melepaskan Ahmad pergi.
Beberapa hari berlalu. Kondisiku semakin merosot. Kata doktor, tumor sudah memenuhi paru-paru dan otakku. Bermaharajalela menguasai tubuhku. Selera makanku juga sudah putus. Dibawa ke hospital, doktor sarankan aku untuk berehat sahaja di rumah. Meski saranan doktor itu kurang jelas, kami memahami maksud beliau. Penjelasan yang terlalu perit untuk difahami. Sanak saudara semua berkumpul di teratakku. Masing-masing memohon maaf dan meluangkan masa bersamaku. Saudara dari Brunei Darussalam, daerah selatan Sarawak dan ada yang dari tanah Semenanjung turut datang menjengukku. Untuk pertama kalinya aku merasakan keluarga besarku berteduh di bawah satu bumbung bersamaku.
“Ibu datang Puspa, anak ibu.” Seorang wanita berusia 80 tahun lebih datang mendekatiku dengan kerusi rodanya. Dia ialah ibuku. Dia datang bersama adik lelakiku.
Riak wajah ibu yang tidak sanggup menatap diriku menderita jelas terpancar. Tangannya yang sudahku kurus dan berkedut cuba mengelus rambut hingga ke wajahku. Air matanya berjatuhan di atas cadar.
“Kalau nenek diberi hajat di dunia ini, apa yang nenek minta?” Soalan Ahmad dahulu kala terngiang-ngiang dalam pentas ingatanku.
“Izinkan ibu memeluk Puspa untuk terakhir kali. Itu hajatku,” ujarku kepada suami yang setia membaca Surah Yassin di sampingku. Suaraku yang semakin serak dan menghilang, aku cuba lafazkan.
Setelah mereka yang berada di sana berbincang, adik lelaki bongsuku lantas mengendong tubuh jerging ibu kami lalu dibaringkan di sisiku di atas katil. Fenomena itu membuat mereka yang melihat merasa sebak dan berderaian air mata. Dalam seketika aku merasa nyaman dalam dakapan ibu kandungku. Terasa seperti bayi kecil bersama ibu. Tangan ibu yang bergetar tidak henti-henti membelai lenganku. Rintihannya diiringi dengan seruan namaku. Usai itu, aku menyuarakan hajat keduaku. Muka kakak sulungku mendekat ke arahku. Mendengar setiap bisikan permintaan.
“Sudah lama Puspa teringin nak makan bersama adik-beradik kita.” Hajatku ini benar-benar membuat kakakku luluh hatinya. Matanya kemerahan dan berkaca.
Sebutir demi sebutir nasi yang direndamkan dengan air masak disuapkan ke dalam mulutku yang kaku. Bermula dari abang dan kakak sulungku, kemudian diikuti oleh dua orang adikku. Setiap butiran nasi yang aku jamah membawa rasa syukur dalam diriku. Diberi kesempatan oleh Ilahi untuk makan bersama saudara kandung yang aku cintai. Besar sungguh nikmat Sang Pencipta. Aku memanggil puteri ketigaku, mak kepada Ahmad. Ahmad tidak dapat pulang menjengukku pada waktu itu kerana urusan pengajiannya.
“Pesan kepada Ahmad, nenek pergi dulu. Maaf, tak dapat tunggu Ahmad pulang. Nenek sudah menyatakan segala hajat yang ditanyanya dahulu. Hajat Puspa Paru.”
Usai aku menghabiskan kata-kata terakhirku, nafasku mula tercungap-cungap. Dadaku berombak. Bebola mataku memandang ke atas. Wan kemudian menghampiri kupingku lalu mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Diiringi tangisannya dan orang-orang yang aku cintai di sana.
“Asyhadu an laa ilaaha illaallahu, wa asyhaduanna muhammadar rasuulullah…” Sebutir mutiara mata terakhir mengalir dari mataku.