MALAYSIA pernah mengadakan pilihan raya tempatan, kali terakhir pada 1963 sebelum digantung hingga kini. Baru-baru ini Pengerusi DAP Kuala Lumpur mencadangkan agar pilihan raya tempatan diadakan semula.
Berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan tempatan merupakan majlis bandaraya, majlis perbandaran dan majlis daerah. Lazimnya diketuai Datuk Bandar atau Yang Dipertua majlis.
Terdapat juga penubuhan perbadanan seperti Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya., tetapi tetap melaksanakan semua fungsi kerajaan tempatan di kawasan masing-masing.
Lazimnya kerajaaan tempatan seperti Majlis Bamdaraya Kuching Utara dan Majlis Bamdaraya Kuching Selatan yang ada mempunyai tanggungjawab yang memberikan kesan langsung kepada penduduk tempatan, termasuk pembersihan longkang, lampu jalan, lampu isyarat, penyelenggaraan pokok, bunga dan tumbuhan di kawasan awam, perkhidmatan pengambilan sampah, sehinggalah pemberian lessen perniagaan, pembayaran kawasan parkir, perancangan bandar dan pelbagai lagi fungsi.
Kuasa menambah struktur rumah atau bangunan baharu, kelulusan projek pembangunan juga di bawah kerajaan tempatan.
Majlis Tempatan
Di Majlis Bandaraya Kuching Selatan misalnya diketuai oleh Datuk Bandar dan dibantu oleh timbalan dan 25 ahli majlis yang dilantik oleh kerajaan negeri untuk tempoh dua tahun yang lazimnya terdiri daripada wakil-wakil komponen parti politik Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak bagi menggubal dasar memberi nasihat dan maklum balas.
Setakat ini tidak ada pilihan raya tempatan. Kerajaan Pulau Pinang misanya pernah cuba mengembalikan semula pilihan raya tempatan pada 2012 tetapi ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Pada mulanya Sarawak pernah mengadakan pengundian bebas bagi majlis tempatan pada 1956 atas galakan Gabenor Sarawak ketika itu. Maka berlaku pemillihan apabila 598 calon menawarkan diri menjadi calon bagi memenangi 27 kerusi dan sembilan wakil bagi Majlis Perbandaran Kuching dan mula berkhidmat pada 1 Disember 1956.
Namun, disebabkan faktor politik maka sistem pengundian bebas hanya berlangsung beberapa tahun sahaja, malah pelantikan mereka terdahulu dipanjangkan oleh kerajaan negeri, kemudiannya dalam tempoh yang lama.
Seterusnya terdapat enakmen untuk Ordinan Majlis Perbandaran Kuching (Pindaan No. 2) 1977 pada 15 Disember 1977 bagi menggantikan sistem pilihan raya bagi wakil majlis dengan sistem pelantikan.
Perkara ini membawa perubahan yang besar. Perkara ini membawa perubahan yang besar kepada sistem pentadbiran dan pengelolaan khususnya dari segi keanggotaan yang sebelum ini dilakukan secara sistem pilihan raya.
Kelebihan Pilihan Raya Tempatan
Terdapat kesan positif pilihan raya tempatan dalam memperkukuh penyertaan demokratik adalah nyata. Dengan ada pilihan raya tempatan ia membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk secara langsung terlibat dalam proses demokratik. Aspek ini membuka jalan kepada peningkatan kadar penyertaan rakyat dalam proses membuat keputusan dan memberikan mandat kepada wakil-wakil mereka.
Kelebihan ini lebih jelas dengan ada mekanisme pemilihan tempatan yang memastikan perwakilan yang lebih baik. Masyarakat setempat dapat memilih wakil-wakil mereka yang lebih memahami isu-isu tempatan, memberi peluang untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik yang mempengaruhi kehidupan harian mereka secara positif.
Akauntabiliti dan Ketelusan
Kemudian, pilihan raya tempatan memainkan peranan penting dalam meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan. Hubungan antara wakil-wakil dan komuniti tempatan diperkuatkan, mendorong mereka untuk mencapai prestasi tinggi dan bertanggungjawab terhadap keputusan-keputusan yang mereka buat.
Ketelusan dalam pilihan raya tempatan turut meningkatkan tahap ketelusan dalam pengurusan dan pembangunan tempatan, dengan menuntut calon-calon untuk menyuarakan platform dan hasrat mereka secara terbuka.
Kemajuan pembangunan tempatan juga mengalami peningkatan progresif.
Dengan pilihan raya tempatan, keputusan pembangunan dapat diambil dengan lebih cepat kerana wakil-wakil tempatan lebih peka terhadap keperluan dan kehendak komuniti mereka. Hal ini memberikan dorongan kepada perancangan pembangunan yang lebih bersepadu dan berfokus kepada keperluan tempatan, mencipta semak dan imbangan yang lebih sihat. Pilihan raya tempatan membawa suara komuniti tempatan ke dalam proses pembuatan keputusan, memastikan keadilan dan keseimbangan dalam setiap langkah pembangunan yang diambil.
Amalan Demokrasi
Pilihan raya tempatan membentuk aspek yang sangat penting dalam pelaksanaan amalan demokrasi. Selain memberi kesan positif terhadap pemulihan ekonomi dan pemeliharaan isu-isu harian, seperti pemeliharaan kemudahan awam, pilihan raya tempatan juga menggambarkan dinamika kewajiban ahli majlis kepada penduduk dan pembayar cukai yang memerlukan tanggungjawab langsung kepada mereka yang memilih dan bukannya kepada ketua politik mereka.
Beberapa kajian menunjukkan bahawa walaupun terdapat pandangan bahawa hanya sebilangan kecil rakyat yang menginginkan pilihan raya tempatan, kepentingannya tidak boleh diabaikan. Pilihan raya tempatan memastikan bahawa ahli majlis adalah bertanggungjawab kepada penduduk dan pembayar cukai dalam membuat keputusan, dan ini memberikan kebebasan kepada mereka untuk beroperasi tanpa terikat kepada agenda politik tertentu.
Keberkesanan
Keberkesanan ahli majlis yang lebih responsif kepada pengundi mereka adalah penting. Aspek ini bukan sahaja membolehkan mereka menguruskan isu-isu tempatan dengan lebih berkesan, tetapi juga memberi ruang kepada Ahli Parlimen dan wakil rakyat untuk fokus pada isu-isu persekutuan dan negeri. Dengan cara ini, terciptanya sistem yang lebih efisien dan berbilang tahap, menjadikan pentadbiran lebih optimal.
Selain itu, perlu dipertimbangkan untuk memastikan representasi minoriti mencukupi di dalam pilihan raya tempatan. Keberagaman dalam majlis tempatan mencerminkan kepelbagaian masyarakat, yang pada gilirannya mempromosikan inklusiviti dan keadilan. Perwakilan untuk kepentingan tertentu seperti perdagangan, budaya, profesion, kesatuan sekerja, dan sukan juga perlu diberikan perhatian, menggariskan kepelbagaian pandangan dan keperluan komuniti tempatan.
Oleh itu, pilihan raya tempatan bukan hanya merupakan suatu tanggungjawab demokratik, tetapi juga merupakan medium yang kuat untuk menjana perubahan positif dalam kehidupan masyarakat. Melalui sistem yang telus dan bertanggungjawab, pilihan raya tempatan mampu membentuk pemerintahan yang lebih efektif dan menjamin keadilan serta kesejahteraan untuk semua lapisan.
Namun, pada minggu hadapan akan dibincangkan aspek kelemahan pilihan raya tempatan dan menyebabkan tidak lagi dijadikan keperluan oleh pihak kerajaan untuk mengadakannya semula.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)