Projek Infaq Susu, prihatin kanak-kanak

Facebook
WhatsApp
SUKARELAWAN Infaq Susu COVID-19.

Sofie Sofian

Di saat pelbagai kesukaran dihadapi masyarakat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung wabak COVID-19, sekumpulan sukarelawan daripada HIKMAH Cawangan Miri mengambil inisiatif bagi membantu golongan kurang berkemampuan di sekitar Bahagian Miri.

Pasukan yang menggelar diri mereka Team Avengers HIKMAH Miri memulakan Projek Infaq Susu dengan objektif mengagihkan bantuan pek susu percuma kepada kanak-kanak berusia satu sehingga enam tahun yang terjejas atau terputus bekalan susu semasa PKP dan PKPB.

Projek ini telah dimulakan oleh Raihan Usop yang merupakan Setiausaha Perhubungan HIKMAH Sarawak dan sahabat beliau Syarifah Syasyila Aidid yang ingin menyumbang infaq bagi pihak ibu beliau yang sedang terlantar sakit.

“Sebelum ini, saya telah bersama-sama pihak Tabung Baitulmal Sarawak, Jabatan Agama Islam dan HIKMAH untuk pelaksanaan Jalinan Kerjasama Agihan Bantuan Kecemasan COVID-19 untuk golongan asnaf. Projek tersebut telah melihat hampir 1,000 orang penerima bantuan makanan dan keperluan asas harian,” kata Raihan yang merupakan seorang peguam syarie dan juga penceramah bebas.

“Semasa menyertai program berkenaan, kami mendapati ramai yang terkesan dengan PKP dan PKPB yang diakibatkan oleh COVID-19 sehingga kehilangan kerja dan punca pendapatan,” jelas beliau lagi, “kanak-kanak tidak terkecuali terkesan dengan situasi ini sehingga mereka terputus bekalan susu dan disebabkan kesedaran inilah, kami memulakan projek Infaq Susu COVID-19.”

Penerima-penerima pek susu adalah mereka yang dikenalpasti dari keluarga fakir, miskin, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang hilang sumber pendapatan.

Menurut Raihan, setakat 19 Mei 2020, seramai 300 orang kanak-kanak telah menerima pek susu berkenaan. Bantuan tersebut telah diagihkan oleh lima orang sukarelawan dari HIKMAH Cawangan Miri ke kawasan sekitar Bandaraya Miri sehingga ke kawasan pinggiran bandar termasuk Kuala Baram dan Subis.

“Syukur Alhamdulillah pelaksanaan projek ini telah menarik perhatian syarikat Dutch Lady Malaysia dan mereka telah bersetuju untuk menyumbang sebanyak 100 pek susu sebagai tanda sokongan dan solidariti syarikat berkenaan dalam meringankan beban mereka yang terkesan sepanjang PKP dan PKPB,” ujar beliau lagi.

Bagi mereka yang ingin menyumbang atau menghulurkan bantuan serupa boleh menghubungi Raihan atau suami beliau Jemain Kassim yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi HIKMAH Sarawak.

Belajar bersabar, jangan rasa tercabar

BELAJAR bersabar, jangan rasa tercabar adalah satu nasihat yang sangat mendalam. Jika diteliti dengan terperinci, sabar adalah kekuatan dalaman dan

Islam mengangkat martabat pekerja

DALAM Islam, pekerjaan bukan sekadar cara untuk memperoleh rezeki, malah ia merupakan satu bentuk ibadah yang mulia jika dilakukan dengan

Amaran gelombang haba di Seoul

SEOUL: Agensi cuaca negeri mengeluarkan amaran gelombang haba bagi kebanyakan kawasan di Seoul pada Rabu, iaitu amaran kedua bagi ibu negara