KUALA LUMPUR: Indeks harga seunit besi meningkat di antara 0.1 peratus hingga 2.0 peratus bagi kebanyakan kawasan pada November 2023 berbanding bulan lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan indeks harga besi adalah seiring dengan perubahan harga bijih besi dan besi yang berlaku di peringkat global.
Beliau berkata, indeks harga seunit bagi keratan keluli dan logam pula kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-0.2 peratus), Terengganu dan Kelantan (-0.3 peratus) dan Kota Kinabalu (-0.3 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai Indeks Kos Bahan Binaan November 2023 yang dikeluarkan DOSM hari ini.
Beliau berkata, indeks harga seunit besi pula mencatatkan peningkatan di antara 0.2 peratus hingga 4.2 peratus bagi November 2023 berbanding bulan yang sama tahun lepas namun begitu, terdapat penurunan indeks harga seunit besi dicatatkan di Miri (-6.1 peratus), Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-4.4 peratus) serta Tawau (-3.1 peratus).
Mohd Uzir berkata, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bar adalah RM3,621.02 satu tan, dengan peningkatan kecil iaitu 0.9 peratus berbanding bulan sebelumnya (Oktober 2023: RM3,590.40 satu tan).
Purata harga simen Ordinary Portland pula kekal tidak berubah berbanding bulan sebelumnya dengan purata harga RM22.94 per 50 kilogram sekarung, katanya.
Beliau berkata, perbandingan bulanan pada November 2023 turut mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga bahan bagi beberapa kawasan iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.2 peratus) dan Johor (1.0 peratus), katanya.
Dalam tempoh yang sama, terdapat sedikit penurunan indeks bagi kawasan Terengganu dan Kelantan (-1.6 peratus), katanya.
Ketua Perangkawan berkata perbandingan tahunan untuk tempoh November 2022 dan November 2023 menunjukkan indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan di antara 2.8 peratus dengan 22.7 peratus bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit simen telah dicatatkan bagi kawasan Terengganu dan Kelantan (22.7 peratus), diikuti oleh Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (21.1 peratus), katanya.
Ketua Perangkawan berkata purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bar adalah RM3,621.02 satu tan, peningkatan 0.9 peratus berbanding bulan sebelumnya (Oktober 2023: RM3,590.40 satu tan).
Manakala, purata harga simen Ordinary Portland pula kekal tidak berubah berbanding bulan sebelumnya dengan purata harga RM22.94 per 50 kilogram sekarung, katanya.
Beliau berkata selain daripada itu, perbandingan bulanan indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) (termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan pada November 2023 mencatatkan peningkatan di antara 0.2 peratus hingga 1.2 peratus bagi dua kawasan Semenanjung Malaysia khususnya di Perak dan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
“Namun begitu, terdapat sedikit penurunan bagi IKB (termasuk bar keluli) di antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.5 peratus dicatatkan di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan, serta Terengganu dan Kelantan,” katanya.
Mohd Uzir berkata IKB (termasuk bar keluli) di Sabah pula menunjukkan peningkatan di antara 0.2 peratus hingga 0.6 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu dan Sandakan pada November 2023 berbanding bulan sebelumnya.
Indeks bagi hampir semua kategori bangunan di Tawau pula mencatatkan penurunan sebanyak negatif 0.1 peratus hingga negatif 2.2 peratus, kecuali cerucuk kayu, katanya.
Perbandingan bulanan IKB (termasuk bar keluli) di Sarawak pada November 2023 menunjukkan peningkatan kecil dalam indeks iaitu 0.1 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu.
Indeks bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching pula mencatatkan penurunan indeks antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.2 peratus bagi semua kategori bangunan pada November 2023 berbanding Oktober 2023, katanya. – Bernama