JURULATIH Gernot Rohr berkata, dia berkorban dalam kontrak barunya dengan Nigeria dalam usaha untuk mengemudi negara itu memenangi gelaran Piala Negara Afrika keempat.
Rohr, 66, telah melanjutkan kontraknya dengan Nigeria hingga 2022 setelah setuju dengan penotongan gaji dalam mata wang tempatan dan tinggal di negara itu.
Pegawai brekata jurulatih kelahiran Jerman itu akan memperolehi $49,000 sebulan dan bukannya $55,000 yang ditetapkan dalam kontrak sebelumnya dan akan tinggal di Nigeria sekurang-kurangnya 10 bulan setahun.
“Ini adalah pekerjaan yang istimewa kerana ini adalah pasukan saya sekali gus membinanya dengan kakitangan saya,” kata bekas jurulatih Niger dan Gabon itu kelmarin di televisyen tempatan.
“Ini pasukan yang sangat muda, tetapi misinya belum selesai, jadi kami ingin meneruskannya. Kita semua harus berkorban dan saya akan menjadi yang pertama,” jelasnya lagi.
Rohr berkata sasarannya adalah untuk menjadi juara Afrika sekali lagi selepas Super Eagles memenangi Piala Negara-Negara Afrika tiga kali iaitu pada 1980, 1994 dan 2013.
“Mari kita layak ke (Piala Negara-Negara) dan kemudian kita mahu memenanginya,” katanya.
“Kami mempunyai pasukan yang bagus dan sekarang nombor tiga di Afrika. Ketika saya tiba (pada 2016), kami berada di kedudukan ke-13. Kami telah bekerjasama selama empat tahun terakhir dan saya harap kita dapat maju, “ tambahnya.
Rohr membawa Nigeria ke tempat ketiga di Piala Afrika tahun lalu di Mesir selepas tewas 2-1 kepada Algeria yang akhirnya muncul sebagai juara .
Pasukannya mendahului kumpulan kelayakan untuk Piala Negara-Negara 2021 yang dijadualkan brelangsung di Cameroon dengan enam mata setelah memenangi dua perlawanan pertama menentang pasukan tempat kedua Benin dan Lesotho yang berada di kedudukan ketiga.
Sierra Leone adalah pasukan lain dalam kumpulan dan berada di tempat terbawah dengan satu mata.
Dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke pusingan akhir.
Dalam tempoh empat tahun bertugas bersama Super Eagles, Rohr menghadapi kritikan kerana mengabaikan pemain yang berpangkalan di Nigeria untuk mereka yang berada di Eropah.
Majikannya telah memerintahkan untuk memilih pemain daripada liga domestik, tetapi Rohr menegaskan hanya yang terbaik akan membuat skuadnya.
“Saya memilih pemain terbaik dan saya tidak melakukannya sendiri,” katanya.
“Kita harus mengambil pemain terbaik tidak kira dari mana asalnya. Kami mempunyai pemain muda yang sangat baik, jadi sukar bagi pemain tempatan untuk masuk ke dalam pasukan,” tegasnya. – AFP