KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji penggunaan kamera keselamatan jalan raya baharu yang menggunakan ciri e–Plate sebagai langkah penambahbaikan dan mengurangkan risiko kemalangan di negara ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, ciri baharu yang terdapat di kamera itu dijangka berupaya mengesan pemandu, lesen kenderaan dan menangkap tahap kelajuan kenderaan, sekali gus memudahkan penguatkuasaan.
“Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang meneliti dan menimbang hala tuju baharu berhubung kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS)…mungkin akan ditambah kamera ini, tetapi bukan dalam bentuk yang ada sekarang (AWAS), di tempat-tempat yang baharu.
“Namun ia masih dalam kajian. Kajian kini untuk melihat siapa pengguna jalan raya yang langgar peraturan dan lesen kenderaan memandu, jadi masa hadapan akan ditambah lagi ciri lain untuk dapat menangkap (merakam) tentang kelajuan, itu kamera baharu yang akan dipasang dan ditambah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) yang ingin tahu perancangan kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.
Bagi menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai kos terlibat, Hasbi berkata perkara itu masih dalam peringkat penyelidikan dan kos sebenar akan diumum jika penggunaannya mendapat kelulusan pada masa akan datang.
Menjawab soalan asal Suhaimi mengenai keberkesanan kamera AWAS, Hasbi berkata kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati tahap pematuhan pengguna jalan raya di lokasi pemasangan kamera itu mencecah 99 peratus. – Bernama