Oleh: Muhammad Hazanan Razali
SUARA yang kicau bilau kedengaran di dalam kelas 5 Fatanah. Suasana yang bukan seperti di dalam kelas, namun seperti dalam kesibukan pasar tamu.
“Raziq! tolong jangan buat bising kalau tak nak belajar dalam kelas saya. Mengganggu pelajar lain yang nak belajar saja awak ni!” kata Cikgu Azizah kepada Raziq dengan nada yang marah.
“Ala! apalah cikgu ni kecoh sangat dari tadi, ajar saja lah budak budak yang lain tu, sibuk betullah!” jawab Raziq dengan suara yang lantang kepada Cikgu Azizah.
Cikgu Azizah menjeling Raziq dengan jelingan yang tajam. Cikgu Azizah merupakan guru Bahasa Melayu di sekolah tersebut dan beliau mengajar di dalam kelas Raziq, Tingkatan 5 Fatanah. Raziq, seorang pelajar yang tinggi lampai dan berkulit agak gelap ini merupakan anak kedua daripada dua orang adik beradik. Raziq amat terkenal dengan sifatnya yang nakal ketika di sekolah menengah. Dia selalu menimbulkan masalah di sekolah sehingga guru-guru selalu memarahinya dek perangainya yang nakal. Selalu ponteng kelas, bergaduh dengan pelajar lain, tidak menyiapkan kerja sekolah, memang sudah sinonim dengan dirinya. Sebut sahaja nama Raziq, seluruh warga sekolah kenal siapa. Menjadi tanda tanya kenapa dia berperangai sebegitu kerana keluarganya mempunyai jiwa kekeluargaan yang erat.
Selepas menegur Raziq atas kelakuannya yang melampau itu tadi, Cikgu Azizah terus membawa Raziq ke bilik guru untuk berjumpa dengan guru disiplin kerana terlalu geram dengan perangainya yang semakin keterlaluan. Raziq sambil mengunyah gula-gula getah mengikut Cikgu Azizah ke bilik guru disiplin dengan kelakuan seperti tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Haa, memang tak ada orang lain lagi ke yang nak jumpa saya ni? Asyik muka awak saja. Dah naik bosan saya” kata Cikgu Syukri sambil merenung tajam ke arah Raziq.
“Cikgu Azizah, apa lagi masalah “anak kesayangan” kita kali ini?” tanya Cikgu Syukri kepada Cikgu Azizah.
“Ni ha! Raziq ni semakin hari semakin melampau. Kurang ajar sangat dengan gurunya yang sedang mengajar dalam kelas. Dahlah kerja rumah tak pernah nak buat, menjawab pulak tu. Tindakan apa lagi yang kita nak buat ni, Cikgu Syukri? Beberapa kali dah kita panggil ibubapa dia ke sekolah tapi sampai sekarang masih tak berubah. Naik darah dibuatnya!” Raziq hanya mendiamkan diri sambil memandang ke tempat lain. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Begitulah respon dia setiap kali ditegur oleh guru-gurunya.
“Raziq, awak ni ada masalah peribadi ke? Kalau ada, cuba bagitahu kami, kalau kami dapat tolong, kami akan cuba tolong. Tahun ni awak akan menduduki peperiksaan SPM, beberapa bulan saja lagi tau. Peperiksaan yang menentu masa depan awak. Tak risau ke kalau keputusan teruk nanti? Menangis air mata darah pun takkan dapat ubah keputusan awak tu nanti”. Cikgu Syukri merupakan Guru Disiplin di sekolah tersebut. Walaupun jawatannya adalah Guru Disiplin, Cikgu Syukri sangat baik hati, namun tegas orangnya. Beliau tidak kasar seperti Guru Disiplin yang kebiasaannya seorang yang garang. Tutur kata pun lemah lembut dan berbudi bahasa walaupun terpaksa berdepan dengan ramai pelajar yang bermasalah di sekolah itu. Cara tegurannya pun halus namun menusuk kalbu.
“Alaa, tak ada apa-apalah cikgu, saya okay saja. Bosanlah nak bangun awal hari-hari, dengar cikgu membebel hari-hari. Benda sama saja yang cikgu ulang. Cikgu tak bosan ke?,” sambil matanya meliar ke tempat lain.
“Tengoklah, mana awak letak adab awak ni Raziq? Cubalah belajar hormat semua orang tak kira umur, bangsa dan agama. Dengan guru pun awak bercakap macam ni, sedih tahu tak?” jawab Cikgu Azizah dengan nada yang kecewa. Semua guru yang pernah mengajar Raziq di sekolah memang sudah lali dengan perangai Raziq sehingga mereka menganggap dia tidak wujud semasa mengajar anak murid yang lain dalam kelas. Cikgu Syukri dan Cikgu Azizah bersepakat untuk memberi surat amaran kepada Raziq. Sekiranya dia masih lagi berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu ketenteraman di dalam kelas dan sekolah, Raziq mungkin akan digantung sekolah sehingga boleh dikecualikan untuk menduduki SPM pada tahun ini.
Hari Jumaat adalah hari yang dinanti-nantikan oleh Raziq setiap minggu kerana dia akan keluar malam bersama dengan rakan-rakannya. Biasanya dia akan melepak sehingga ke Subuh. Bukan sahaja melepak, dia juga suka berlumba motosikal sehingga membuatkan jiran-jiran di kawasan kediaman mereka marah dan naik bengang dengan kelakuannya yang sering mencabar kesabaran. Tempat kediamannya didiami oleh pelbagai bangsa, seperti Cina dan India. Jatuh air muka ibu dan bapa Raziq kerana dipandang sinis oleh jiran lain yang tinggal di sana. Walaupun perangai Raziq sebegitu, semangat kejiranan kedua orang tua Raziq sangat disenangi oleh jiran-jiran mereka kerana mereka sangat ramah dengan jiran-jiran mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Keluarganya di rumah sudah puas menegur Raziq, namun teguran itu ibarat mencurah air ke daun keladi. Kedua orang tuanya sentiasa menyebut namanya dalam doa supaya dia akan berlembut hati pada suatu hari nanti dan diberikan kesedaran supaya dia akan berubah dan meninggalkan perangainya yang suka menyusahkan semua orang. Tidak pernah putus doa dari mulut kedua orang tuanya untuk anaknya itu agar anaknya berubah. Doa orang tua itu selalunya mustajab.
“Mama risaulah, Mia”
“Itulah mama, papa, manjakan sangat si Raziq tu. Apa yang dia nak, semua mama dan papa turut, tak pernah membantah pula tu” ujar Mia kepada ibu dan bapanya.
“Mama bukan memanjakan Raziq, tapi mama dan papa tahu Raziq mana ada duit nak beli apa yang dia nak. Jadi mama belikan apa yang Raziq nak” jawab Puan Nelydia, ibu kepada Raziq sambil memandang suaminya, Encik Raziman.
“Mama tengoklah macam mana perangai Raziq sekarang, memalukan keluarga kita. Satu kawasan kejiranan ni dah tau Raziq anak kesayangan mama dan papa tu mengacau ketenteraman awam. Merempit sana sini. Mia malu jiran asyik tanya pasal Raziq. Tak tahu dah nak cakap apa, ma. Raziq tu betul-betul dah naik kepala dan makin kurang ajar.” Mia mengeluh.
Pada pandangan Mia, adiknya tidak dapat dibentuk dan menerima teguran lagi kerana terlalu degil dan keras kepala. Ibu kepada Raziq, Puan Nelydia merupakan seorang doktor yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur dan Encik Raziman adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Kehidupan mereka agak mewah tetapi agak tertekan kerana mengenangkan kelakuan anak lelaki mereka yang sering menimbulkan masalah kepada mereka. Walaupun solat lima waktu tidak pernah tinggal, sentiasa bersedekah, tetapi dikurniakan anak yang bermasalah adalah cabaran terbesar buat mereka. Semua ini adalah ujian daripada yang esa, ingin sedang menguji kekuatan hambaNya menjalani liku-liku kehidupan yang penuh pancaroba. Raziq merupakan seorang yang sentiasa mementingkan kawan-kawannya daripada keluarga dan pelajarannya. Dia sering menghabiskan masanya melepak tanpa mengira waktu dan tidak mengendahkan peperiksaan SPM yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi. Ibu bapanya semakin risau akan masa depan anaknya.
“Raziq, sudah sudah lah melepak, minggu depan dah nak menduduki SPM, tak risau ke? Bila nak mula ulang kaji ni?” tanya Puan Nelydia kepada Raziq. “Ala mama rileks lah, Raziq tahulah apa yang Raziq buat” jawab Raziq dengan raut wajahnya yang kelat mendengar bebelan ibunya. Ibunya hanya mampu menggelengkan kepala.
“Raziq tahu tak, suatu hari nanti Raziq akan menjadi pemimpin keluarga. Raziq kena bagi contoh yang baik kepada keluarga Raziq nanti. Kena tunjukkan sifat penyayang dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain” ujar Puan Nelydia dengan nada lembut.
“Ibu bekerja untuk mencari rezeki untuk keluarga kita. Ibu berkhidmat di hospital kerana ibu ingin menyelamatkan sebanyak nyawa dan menyembuhkan pesakit tidak kira agama dan bangsa. Selain keluarga sendiri, kita kena saling hormat-menghormati bangsa lain. Raziq kena sedar di Malaysia ni bukan bangsa Melayu saja yang ada. Kita hidup berbilang kaum dalam keharmonian dan kemakmuran” lembut sahaja suara Puan Nelydia menegur anaknya.
“Ala mama ni macam buka kelas lah pulak nak ceramah Raziq” jawab Raziq sinis. Puan Nelydia jarang berada di rumah kerana bekerja shif, di Hospital Kuala Lumpur. Selalunya sampai saja di rumah selepas balik bertugas, semua sudah tidur di bilik masing-masing kerana masa bekerja Puan Nelydia tidak menentu. Kadang-kadang turun awal pagi seawal 3 pagi, dia tidak sempat bertemu dengan keluarganya. Raziq memang jarang mendapat perhatian daripada ibunya, apatah lagi bapanya yang sering bekerja di luar daerah berjumpa dengan klien-kliennya. Mungkin sebab itu Raziq sangat bebas bergaul, kerana kurang perhatian dan kasih sayang tambahan pula apa yang diinginkan semua dituruti tanpa sebarang bantahan. Puan Nelydia dan Encik Raziman inginkan yang terbaik buat anak-anak mereka sebab itulah mereka sangat memanjakan anak-anak mereka, bagai menatang minyak yang penuh.
“Selamat menduduki peperiksaan dan Cikgu sentiasa mendoakan kamu semua dapat menjawab soalan dengan lancar dengan hati yang tenang” ucap Cikgu Azizah kepada anak muridnya yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada hari ini, sambil menjeling Raziq yang asyik menguap sebaik saja masuk di dalam dewan peperiksaan. Ibu bapa termasuk guru-guru Raziq sangat risau dengannya. Entah apa yang akan Raziq jawab dalam kertas soalan itu nanti. Tiada lain yang diharapkan dan didoakan oleh mereka, semuanya yang baik baik saja untuk Raziq.
Hari terakhir pelajar menduduki peperiksaan SPM telah tiba.
“Alhamdulillah semua dah selesai menjawab kertas peperiksaan, Cikgu doakan yang terbaik dan semoga semua akan mendapat keputusan yang membanggakan” ucap Cikgu Amzar. Selesai kertas SPM yang terakhir, Raziq meninggalkan dewan peperiksaan dengan mukanya yang tiada perasaan. Lagaknya seperti akan mendapat semua keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran.
Setibanya Raziq di rumah, Raziq merasa pelik kerana pagar rumahnya terbuka luas tetapi tiada sesiapa berada di rumah. Dia tergamam dan terkaku sebentar kerana melihat rumahnya seperti telah di pecah masuk. Rumahnya sangat berselerak dan ketika itu tiada siapa berada di rumah. Raziq sangat panik dan tidak tahu apa yang harus dia lakukan. “Mama! Papa! Mia!” teriak Raziq cemas. Namun tiada jawapan. Puan Nelydia masih lagi bekerja dan Encik Raziman sekarang berada di Johor atas urusan kerja rasmi. Kakaknya Mia tidak dapat dihubungi. Raziq berjaya menghubungi ibunya dan menceritakan semua yang dia nampak kepada ibunya. Puan Nelydia bergegas balik ke rumah setelah dihubungi oleh anaknya. Setibanya Puan Nelydia di rumah, Puan Nelydia terus menelefon pihak polis untuk membuat siasatan yang terperinci. Hasil siasatan pihak berkuasa, kes disahkan sebagai satu rompakan dan ada unsur dendam. Puan Nelydia berasa sangat risau dan sedih kerana sangat tertekan atas kejadian yang sedang menimpa keluarga mereka. Jiwanya menjadi kosong. Perasaannya seakan sudah lumpuh. Orang mana pula yang berdendam dengan keluarga mereka. Keesokan harinya Encik Raziman tiba di kediaman mereka dan terpaksa membatalkan temu janji dengan klien-klien nya di Johor kerana terlalu bimbang dengan kejadian yang berlaku. Entah siapa yang menjadi dalang dalam perbuatan jenayah yang terkutuk ini. Barang kemas Puan Nelydia dan anaknya Mia semua sudah diambil oleh perompak tersebut. Barang-barang mahal yang lain seperti televisyen, telefon bimbit, jam tangan berharga dan juga telah dibawa sekali oleh perompak tersebut.
“Saya sangat risau dengan apa yang terjadi, abang” kata Puan Nelydia kepada suaminya sambil menangis. “Abang syak orang terdekat yang buat perkara terkutuk ni” jawab Encik Raziman sambil termenung ke luar tingkap. “Tak baik menuduh sebarangan kerana tak ada bukti yang kukuh, abang” jawab Puan Nelydia kegelisahan. Kerana terlalu penat dan pening kepala memikirkan masalah yang menimpa, mereka berdua tertidur di sofa ruang tamu sehingga keesokan harinya.
“Mama! Papa! Raziq minta maaf!”
“Eh, kenapa ni Raziq?!,” tanya Encik Raziman dengan nada yang tinggi kerana terkejut dengan kelakuan Raziq.
“Raziq terlalu banyak dosa dengan mama dan papa, Raziq seorang yang kurang ajar dan derhaka kepada orang tua, Raziq nak tebus kesalahan yang pernah Raziq buat. Raziq sangat menyesal! Raziq nak bagitahu sesuatu dengan mama dan papa” jawab Raziq.
“Ada apa yang Raziq nak bagitahu ni? bagitahu cepat” jawab Puan Nelydia keresahan. Terbukti kes rompakan tersebut ialah perbuatan daripada kawan Raziq sendiri. Kawan Raziq cemburu akan kehidupan Raziq yang mewah dan Raziq sentiasa mendapat apa yang dimahukan. Raziq mendapat maklumat mengenai kes pecah masuk rumah itu daripada kawan sama sekolahnya. Raziq kini menyedari tidak semua kawannya boleh dipercayai kerana mereka sanggup berniat jahat terhadap dirinya sendiri serta keluarganya. Harapkan pagar, pagar makan padi. Tragedi ini telah membuka mata Raziq dan dia telah insaf atas perbuatannya selama ini. Dia sangat bersyukur kerana keluarganya tidak diapa-apakan. Beberapa hari kemudian, selepas mereka selesai membuat laporan polis, kawannya yang telah membuat perkara terkutuk itu telah ditangkap untuk siasatan.
Beberapa bulan kemudian, keputusan SPM telah diumumkan. Raziq bersama sama ibu dan bapanya telah datang ke sekolah untuk mendapatkan keputusan peperiksaan SPM. Jelas diraut wajah Raziq, dia sangat bersedih dan kesal atas keputusan yang diperolehinya. Remuk hatinya mengenangkan keputusannya dan raut wajah kedua orang tuanya kerana anaknya tidak dapat memberikan keputusan yang cemerlang seperti pelajar-pelajar yang lain. Raziq terus mendakap kedua orang tuanya sambil menangis kesal. Tiada apa yang dapat diungkapkan selain tangisan penyesalan. Raziq sangat menyesal kerana mensia-siakan zaman persekolahannya dan bersikap acuh tak acuh dengan pelajarannya dan segala teguran ibu bapa dan gurunya. Nasi sudah menjadi bubur, itulah ungkapan yang sesuai untuk Raziq. Raziq sempat menjumpai Cikgu Azizah, Cikgu Syukri dan cikgu-cikgunya yang lain lalu meminta maaf kepada mereka. Raziq memang sering membuat mereka marah dan menimbulkan masalah disekolah.
“Maafkan Raziq, Cikgu. Raziq banyak dosa terhadap cikgu dan mungkin itu salah satu sebab ilmu Raziq tidak mendapat keberkatan dan mendapat keputusan yang teruk macam ini.” Kata Raziq dengan nada yang penuh penyesalan.
“Cikgu maafkan dan halalkan ilmu yang cikgu curahkan selama ini kepada Raziq. Cikgu masih ingat lagi cikgu selalu berpesan dan menasihati Raziq untuk belajar di dalam kelas dan sentiasa menghormati guru-guru yang lain tetapi Raziq tidak mengendahkan apa yang kami pesan. Raziq kena ingat, belajar itu jambatan ilmu. Di mana mana saja kita berada, kita perlu sematkan ilmu di dada, jawab Cikgu Azizah. “Sekarang baru Raziq faham, cikgu. Sudah terlalu terlambat untuk Raziq menyesali perbuatan lampau. Halalkan ilmu yang cikgu dah curahkan kepada Raziq, ya.”
“Baiklah, Raziq. Selamat maju jaya dan selamat menempuh cabaran seterusnya dalam kehidupan Raziq. Rezeki tak akan salah alamat. Raziq kena cari jalan untuk berjaya dalam hidup dan mulakan hidup baru” sambung Cikgu Azizah seakan memahami keresahan di hati Raziq. Raziq terlalu muda untuk memahami apa yang berlaku dalam kehidupannya. Semenjak itu, Raziq telah berubah menjadi seorang yang taat dan hormat kepada kedua orang tuannya dan orang di sekelilingnya. Raziq sedar, dengan keputusan peperiksaannya yang kurang memberangsangkan itu, dia tidak dapat melanjutkan pelajaran ke mana-mana Universiti dan membuat ibu bapanya bangga.
Dua bulan selepas mendapat keputusan SPM, Raziq bertekad untuk mengambil kursus kemahiran kerana dengan cara itu sahaja dia dapat memperolehi ilmu dan mengasah kemahirannya selain melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma ataupun STPM. Raziq bertekad untuk mengubah nasib dirinya kerana berasa sangat menyesal dengan perbuatannya sebelum ini. Puan Nelydia dan Encik Raziman sangat terharu atas perubahan anaknya. Akhirnya Allah SWT memakbulkan doa mereka setelah bertahun-tahun mereka diberi pelbagai ujian daripada anak bongsunya. Raziq kini telah berjaya menghabiskan Kursus Kemahiran Pengendali Perancah. Selepas beberapa bulan, dia berjaya mendapat pekerjaan di Pengerang, Johor, sesuai dengan kursus kemahiran yang diambil oleh Raziq. Raziq kini bekerja di bawah syarikat minyak dan gas yang terkemuka di Malaysia sebagai Pengendali Perancah. Puan Nelydia dan Encik Raziman sangat berbangga dengan pencapaian dan kesungguhan anaknya.
“Raziq akan buktikan yang Raziq akan berjaya dan akan buat mama dan papa bangga. Raziq ingin menebuskan dosa dengan membahagiakan mama, papa dan orang sekeliling. Raziq menyesal tak belajar betul-betul semasa di sekolah dulu”
“Anakku, usia mama dan papa semakin meningkat. Entah bila akan dipanggil untuk menghadap Allah buat selamanya. Mama nak pesan satu saja. Bahagiakanlah dan hormatilah orang di sekeliling sementara mereka masih ada. Kena ingat juga, ilmu harus sentiasa ditimba supaya penuh di dada.” Puan Nelydia dan Encik Raziman terus memeluk Raziq sambil menangis terharu melihat perubahan anaknya. Terpancar senyuman di raut wajah ibu bapanya melihat anaknya berjaya. Doa yang sering dititipkan akhirnya termakbul.