Oleh: Mohd Fadzly Haji Miswan
QAIREENA tersentak dari tidur dengan rasa tidak kurang enak di perutnya. Dia merasakan terpaan bayu dingin yang menerobos melalui jendela yang sedikit terkuak ke dalam kamar kecilnya membuatkan dia merasa sedikit gelisah. Perlahanlahan dia menarik selimut ke dada lalu membaluti tubuhnya. Mata Qaireena terkebil-kebil menandakan sukar untuk kembali lelap. Dadanya pula berombak membuahkan kerisauan jiwa. Qaireena mengerling ke arah jam dinding yang sudah menunjukkan jam 6 pagi. Solat subuh perlu dilunaskan segera sebelum mentari menjelmakan wajah. Qaireena bingkas bangun dari katilnya lalu mengambil wudhu’.
“Ya Allah, kurniakanlah keberkatan dalam hidupku yang semakin jauh darimu.” Sayu benar suara Qaireena melantunkan mutiara doa kepada PenciptaNya, usai solat. Bening kelopak mata menumpahkan titisan jernih ke telapak tangan tanda dia benar-benar memohon pertolongan Yang Maha Esa.
Qaireena sudah terbiasa dengan pola hidup sebegini. Sebagai wanita bekerjaya, bangun di awal pagi, bersiap untuk mendidik anak-anak watan di Sungai Buloh sejak setahun yang lalu banyak membantu untuk melenyapkan segala penderitaan yang dihadapi. Memilih untuk tinggal di sebuah apartmen kecil berdekataan dengan tempat mengajar adalah pilihan tepat untuk dia menyibukkan diri dengan mengadakan kelas-kelas tambahan untuk pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi. Namun, hujung minggu sebegini, memang tiada apa yang hendak dikejarnya. Cuma hari ini, dia ada temujanji dengan Sofia untuk membincangkan perkara serius yang perlu dirungkaikan secara bersemuka. Qaireena mencapai telepon bimbit lalu mendial nombor seseorang. Berkali-kali panggilannya tidak berjawab seraya masuk ke peti simpanan suara. Qaireena merenung lelangit biliknya yang kosong. Dia buntu dengan apa yang harus dilakukan saat ini. Sofia berjanji untuk tiba jam 10 pagi, tapi kini waktu sudah menunjukkan pukul 11, bayang pun tidak nampak.
Qaireena merasa terganggu kerana tidak tahu apa yang sedang berlaku pada Sofia. Dia mundar mandir lalu berjalan ke dapur untuk membancuh secawan kopi. Bancuhan kopi segar membantunya untuk lebih tenang. Dia menghidupkan mesin kopi lalu memasukkan serbuk ke dalamnya. Aroma kopi dari Kluang Station yang dibelinya minggu lepas begitu menusuk dan menyegarkan. Saat dia sedang menunggu bancuhan kopi selesai, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Sofia pada skrin tersebut. Dia cepat-cepat menjawab panggilan tersebut.
“Sofia, kenapa kau tidak datang?” tanya Qaireena dengan suara yang sedikit marah.
“Aku minta maaf, Qaireena. Ada kecemasan. Kita jumpa Isnin nanti.” jawab Sofia dengan suara yang tergesa-gesa. Talian segera dimatikan oleh Sofia.
Mendengus Qaireena seketika. Ada nada sentap di hujungnya nafasnya. Qaireena mampir istirehat di ruang tamu sambil menyedut kopi panas. Nalurinya seakan rasa terpinggir. Gejolak kesepian membicarakan yang dia perlukan seseorang, tapi dia tidak tahu siapa. Getaran telefon bimbitnya membuatkan dia melihat ada mesej simpanan ringkas daripada mantan suaminya, Harriel. Setelah dibaca, dipadamkan sahaja mesej tersebut.
“Tak habis-habis nak menyusahkan aku.” getus Qaireena sendirian. Perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka sepuluh tahun yang lalu berakhir dengan perpisahan. Baginya, perpisahan itu suatu rahmat ibarat mati hidup semula. Penceraian tersebut disebabkan perbalahan kerana kegagalan mereka mendapatkan zuriat. Setelah mengetahui bahawa dia tidak bisa memiliki anak, mantan suaminya merasakan bahawa dia tidak bisa lagi memberikan sesuatu yang berharga dalam perkahwinan. Lalu, mereka mengambil keputusan untuk berpisah. Namun, Harriel masih sering berhubungan lewat pesanan ringkasnya sejak kebelakangan ini.
“Gila talak agaknya.” Sindir Qaireena sendirian mengenang sikap bekas suaminya itu. Harriel kerap bertanyakan khabar walaupun Qaireena sering bersikap dingin atau langsung tidak ambil peduli. Kesedihan dalam kerinduan saat bahagia mereka masih menghantui Qaireena. Dia akur sudah tiada lagi sinar harapan untuk mereka kembali bersatu. Suatu malam, Qaireena mendapat pesanan ringkas daripada Harriel yang beria-ria ingin bersuanya. Entah bagaimana, diturut jua kehendak tersebut lalu pertemuan dirancang di sebuah restoran terkemuka di Sungai Buloh. Mantan suaminya terlihat berbeda. Dia tampak lebih tenang dan matang tatkala memohon maaf atas kesalahannya yang melukakan perasaan Qaireena. Pada akhirnya, dia menyatakan perasaan yang sebenarnya.
“Abang masih mencintaimu dan ingin kita bersatu semula. Abang tahu kita tidak bisa memiliki anak, tapi bukankah cinta lebih daripada itu?” Harriel menjelaskan maksud hatinya.
Qaireena terkejut dan bingung. Dia masih merasakan darah luka hati yang berparut daripada perceraian mereka dahulu. “Kau rasa semudah itu, Harriel.” ringkas Qaireena membalas.
Lamunan terhenti saat nada dering telefon Qaireena kembali memecah sunyi. Kali ini, panggilan masuk daripada ibunya yang tinggal di Beranang, Hulu Langat bersama adik lelakinya, Qudsy.
“Qai, dah sarapan ke sayang?” lembut Mek Wan menyapa anaknya.
“Belum, Bu.” jawabnya ringkas.
“Apa kamu merasa baik-baik saja?” nada ibunya sedikit gusar.
“Ya, bu. Qai baik-baik saja.” jawabnya dengan senyuman bersulam lesung pipit di pipi kanan. Dia tidak mahu membuatkan ibu terlalu risau pada perjalanan kehidupannya. Cukup baginya, ibu sentiasa di sisi saat dia kesusahan. Padahal jiwa galau sentiasa meruntun perasaan Qai. Mengelim konflik batin yang cukup besar. Sebahagian hatinya ingin memeluk bahagia, maka sebahagian lainnya melarang keras. Dia merenung jauh lakaran hidup yang dahulu menjadikan dia mesti berupaya memperbaiki keadaannya sekarang. Dalam kepayahan mencari erti pengorbanan, dia kecundang dalam gejolak yang melanda diri. Qaireena sedang berjuang untuk mencari makna daripada sebuah kepayahan. Pelbagai ikhtiar untuk menemukan jawapan yang dicari, tetap dia tetap merasa kabur atas keperitan luka lama. Fikiran kecamuknya asyik menghasut Qaireena. Menuduh dia adalah sebatang lilin yang berkorban untuk orang lain, tetapi tidak dihargai. Bisikan hati memperlekeh usahanya itu hanya sia-sia.
“Qai… Qai dengar tak ibu tanya apa?” soal Mek Wan kehairanan saat soalannya tidak berbalas.
“Err… maaf bu. Qai tak dengar.” Lemah sahaja jawapannya.
“Qai, ibu kenal benar tona suara kamu kalau kamu dalam kesusahan.” tebak Mek Wan.
Qaireena diam seketika. Dia cuba mengumpul kekuatan untuk berbicara hal yang sebenarnya kepada Mek Wan. Ibunya seorang yang lemah lembut tetapi tegas dalam membuat keputusan setelah ayahnya meninggal tiga bulan yang lepas akibat kanser usus tahap 4.
“Harriel selalu mesej saya, bu. Tadi dia ada telefon saya lagi.” ringkas sahaja Qaireena menuturkan apa yang sedang galau di hatinya.
“Hah.” Suara Mek Wan agak sedikit terkejut.
Ketukan keras di muka pintu mengejutkan Qaireena yang sedang asyik menonton televisyen di ruang tamu. Berkali-kali ketukan di pintu bagai nak runtuh dibuatnya. Qaireena cepat-cepat bangun menuju membuka pintu. Dia melihat Mek Wan dan Qudsy sudah terpacak tepat di hadapan. Ekspresi wajah Qai terkejut namun dipelawa sopan ibu dan adiknya untuk masuk ke dalam apartmen tersebut.
“Masya Allah, Qai. Kenapa jadi macam ni. Patutlah ibu rasa tak sedap hati.” bebel Mek Wan tatkala melihat keadaan rumah Qaireena yang tidak tersusun dan berselerakan.
Qaireena hanya senyum sumbing sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Tadi Sofia datang sekejap. Kami bertengkar.”
Mek Wan dan Qudsy saling berpandangan. Kemudian mereka mengeleng tanda tidak berkenan dengan apa yang sedang berlaku pada Qaireena. Mek Wan membongkok mengutip buku-buku yang bergelimpangan di atas lantai lalu disusun kembali ke raknya. Qudsy mencapai penyapu lalu membersihkan sepahan makanan dan serpihan kaca pasu di lantai.
“Ibu ajak duduk dengan ibu kamu tak mahu. Apa yang Sofia cakap dengan kamu sampai jadi seperti ini.” soal Mek Wan.
“Sofia ugut saya jangan ganggu Harriel.” balas Qaireena.
Mek Wan hanya terdiam. Membiarkan Qaireena tertunduk diam menelan segala gundah gulananya. Qudsy masih sibuk mengemas ruang dapur. Sesekali dia menjeling pada ibunya. Jari telunjuk menuding ke arah lambakan pinggan mangkuk yang terbiar tidak berbasuh.
“Qaireena, ibu tahu kamu mengalami masa yang sulit. Tapi ibu yakin kamu dapat melewatinya dengan baik. Apakah kamu mampu berjuang dan meraih apa yang kamu inginkan?”
Qaireena menatap Mek Wan dengan penuh harap, “Apakah ibu yakin dengan saya?”
Mek Wan tersenyum. “Sangat yakin. Kamu punya semangat yang kuat. Jangan biarkan dirimu terpuruk oleh keadaan.” ujarnya lagi.
“Malam ni, ibu dan adik temankan kamu. Esok kita pergi bersama-sama pergi jumpa Dr Mariah, ya nak?”
Qaireena kembali mendiamkan diri. Seolah-olah ada sesuatu yang menghantui fikirannya. “Ibu, boleh tak biarkan saya bersendirian berbincang dengan Dr Mariah? Saya boleh menguruskan diri sendiri,” kata Qaireena lembut kerana merasakan bahawa dia memerlukan ruang untuk mencari jawapan sendiri sebelum berkongsi dengan orang lain.
“Kenapa? Qaireena tidak percayakan ibu ke nak?” kata Mek Wan seakan merajuk. Qaireena tergumam dengan kata-kata Mek Wan.
“Bukan begitu bu, cuma biarlah Qaireena selesaikan masalah dengan Sofia dan Harriel dulu.” Ada nada tegas pada bicaranya.
“Itulah masalahnya Qaireena. Sebab Sofia dan Harriellah, ibu nak bawa Qai jumpa Dr. Mariah. Ibu perlu tahu masalah anak ibu ni.” Kali ini Mek Wan berkeras menidakkan keputusan Qaireena untuk bertemu dengan Dr. Mariah sendirian. “Sedar tak kamu Qaireena apa yang berlaku dengan kamu setahun yang lalu?” Tona suara Mek Wan sedikit meninggi kali ini.
Qudsy cuba mengusap belakang ibunya supaya tidak meluap rasa amarah. Dia tahu ibunya tidak berniat untuk memarahi kakaknya. Mek Wan mengucap panjang. Dia menghempas punggung di sofa lalu menarik tangan Qaireena untuk duduk di sebelahnya. Qudsy pun duduk bersebelahan kakaknya lalu memeluk bahu Qaireena erat-erat. Qudsy menarik album milik Qaireena di bawah meja kopi di hadapannya. Perlahan-lahan Qudsy menyelak satu demi satu gambar milik Qaireena dan Harriel. Qudsy ternyata sebak melihat kemesraan kakaknya dan Harriel dalam foto-foto tersebut. Namun, Qudsy juga merasa sedih kerana merasa tidak bisa membuat kakaknya bahagia pada saat ini sepertimana Harriel pernah lakukan dulu.
“Akak, Harriel dah tak ada kak. Dah enam bulan dia meninggal dalam kemalangan jalan raya bersama Sofia, kak.” Begitu berat dia meluahkan kata-katanya.
Qaireena memandang ibunya yang menitiskan air mata kesedihan. Namun riak wajah Qaireena seakan polos. Tidak mempercayai kata-kata adiknya. “Bohong! Pagi tadi akak baru dapat panggilan daripadanya. Sofia pun ada datang tadi.” Bentak Qaireena lalu menghempas album foto itu jauh-jauh.
“Dia orang dah mati, kak. Percayalah, terima kenyataan!”
Qaireena hanya mengongoi kesayuan. Dia tidak dapat menerima perkhabaran tersebut. Akalnya belum dapat menghadam kesahihan cerita daripada Qudsy.
“Qai, kalau Qai lupa, ibu boleh ceritakan semula. Mungkin boleh mengembalikan ingatan kau, nak.” Lembut Mek Wan memujuk Qaireena yang kelihatan bingung. Mek Wan menarik nafas dalam-dalam sebelum menceritakan perkara yang sebenar kepada Qaireena.
Pada malam kejadian, Qaireena dan Harriel bergaduh besar. Qaireena dapat membongkar perselingkuhan Harriel dan Sofia. Ketika itu, Sofia datang sekali dengan Harriel. Dia memohon izin untuk menjadi isteri kedua kepada Harriel, namun ditentang keras oleh Qaireena. Alasan Harriel ingin memperisterikan Sofia kerana perkahwinan mereka gagal untuk mendapatkan zuriat. Mereka saling menyalahi satu sama lain. Sofia hanya terdiam diri. Qaireena tidak dapat mengawal perasaannya. Apa yang dicapainya dilemparkan pada Harriel dan Sofia. Berselerakan rumah mereka ketika itu. Qaireena beranggapan dia banyak berkorban untuk Harriel dari segala segi. Namun pengorbanannya dianggap sia-sia. Baginya Harriel adalah insan pertama yang membuka hatinya mengenal erti percintaan yang akhirnya dikhianati dengan kehadiran orang ketiga. Qaireena sebenarnya masih sayang pada Harriel walaupun mulutnya menyeranah membenci Harriel. Harriel dan Sofia lantas meninggalkan Qaireena dalam amukannya setelah dia melafazkan talak. Semasa perjalanan untuk menuju ke rumah ibu bapa Harriel, mereka ditimpa kecelakaan. Mereka berdua meninggal di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan yang parah di kepala dan dada.
“Selepas Qai dapat tahu kematian Harriel, Qai selalu menyalahkan diri. Qai sangat membenci Sofia sebagai penyebab apa yang berlaku.” Mek Wan menerangkan lagi pada Qaireena. “Masa kamu bergaduh, ibu dan Qudsy baru tiba di rumah kamu. Harriel yang telefon ibu. Arwah kata kamu dah seperti orang kena sampuk hantu.”
“Ye, kak. Betul kata ibu. Saya pun rasa marah kat abang Harriel masa itu.” sambung Qudsy untuk membenarkan cerita Mek Wan. “Kami pun bertengkar mulut sebelum mereka beredar, tapi tak sangkalah itu pertemuan terakhir kami dengan abang Harriel.”
Qaireena melongo sebentar. Memandang kosong ke arah Mek Wan dan Qudsy. Seakan mahu penjelasan yang lebih apa yang dilaluinya pagi tadi.
“Akak dah macam orang tak betul. Kami bawa akak jumpa pakar psikiatri untuk merawat akak.Berbulan-bulan lamanya.”
“Dr Mariah kata kamu mengalami kemurungan yang teruk yang menyebabkan kamu berhalusinasi yang Harriel masih lagi hidup. Kamu juga anggap Sofia masih hidup untuk kamu melepaskan dendam kamu pada dia.” jelas Mek Wan.
Qaireena tidak tahu apa yang harus dilakukan. Air matanya terus mengalir deras. Segala kenangan bersama Harriel menjadi kenyataan yang pahit untuk ditelan. Sepahit kopi bancuhannya tadi tanpa gula. Dia merasakan alamnya gelap gelita kerana suatu kehilangan secara tiba-tiba. Mek Wan memeluk Qaireena sekali lagi dan mengusap rambutnya dengan lembut. “Ibu sayang Qai, nak. Kita akan lalui semua ini bersama-sama.walau senang, walau payah pun.” Qudsy turut memeluk kakaknya.
“Qai makin teruk apabila baba pula meninggal sebab kanser tiga bulan selepas kematian Harriel. Ibu akan bawa Qai jumpa pakar psikiatri semula untuk bantu Qai atasi masalah ini, okay?” pujuk Mek Wan. “Qai kena kuat melawan rasa sedih dan pedih kehilangan orang yang tersayang.”
“Sekarang hanya kita bertiga sahaja yang dalam keluarga. Kita kena bersatu menghadapi sebarang masalah dan kedukaan bersama-sama. Boleh, ya kak?” giliran Qudsy pula meniupi semangat kepada Qaireena.
“Buat masa sekarang, Qai duduk dulu di rumah ibu. Apartmen ni banyak meninggalkan kenangan pahit.”
“Bu, adik, tolong akak ya, pulihkan semangat dan jiwa saya yang lama terbang.” Qaireena mula bersuara.
Mek Wan dan Qudsy mengangguk perlahan. Pelukan mereka semakin kejap. Merasakan ada sinar kebahagian di sebalik kehilangan yang sukar untuk diungkapkan. Semoga sinar baharu mampu untuk mewarnai kelam kehidupan Qaireena selama ini. Sebelum meninggalkan apartmen untuk pulang ke rumah ibunya, Qaireena sempat memandang sepi di suatu sudut yang pernah dia bergurau senda dengan Harriel. Sudut itu dihiasi dengan jambangan mawar yang sudah lama layu. Kemas terletak kerusi yang saling bertentangan untuk mereka saling meluahkan rasa cinta mereka. Qaireena melihat bayang Harriel yang muncul tersenyum ke arahnya. Ada ungkapan cuba dituturkan Harriel untuknya.
“Lepaskan aku dalam memorimu. Maafkanku, sayang.” ungkapan sayu itu menyinggahi di cuping Qaireena. Qaireena menarik pintu rumah sebelum mengunci seakan-akan merelakan permintaan bekas suaminya. Azamnya, dia mahu menerbangkan galau hati jauh ke angkasa, biar semilir melenyapkan segala sengsaranya.