KUCHING: Hanyut dbuai cinta palsu oleh kenalan yang baharu dikenali di laman sosial Facebook, seorang kerani di sini kerugian RM1.06 juta selepas diperdaya sindiket Love Scam.
Penipuan bermula pada pertengahan 2022 apabila mangsa, seorang wanita dalam lingkungan umur 50-an dari Sibu, bekerja di sebuah syarikat berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Thomas Yeng Leong dan sering kali berhubung dengan mangsa melalui nombor WhatsApp di talian 0173695070.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, suspek mendakwa diri sebagai seorang jurutera yang menetap di London dan meminta mangsa untuk membantunya membeli bahan kimia untuk kerjanya.
“Mangsa melakukan 25 transaksi berjumlah RM395,000 kepada lima akaun berbeza sejak Ogos hingga September tahun lalu.
“Pada September, suspek pula berjanji hendak datang ke Malaysia.
“Akan tetapi, beberapa hari kemudian, mangsa telah menerima panggilan mengatakan suspek telah ditangkap di Thailand akibat membawa terlalu banyak wang tunai dan mangsa perlu membayar penalti untuk membebaskannya
“Susulan panggilan diterima, mangsa bertindak untuk menghantar RM255,000 ke dalam tiga akaun bermula penghujung September hingga awal Oktober lalu,” katanya.
Ujarnya lagi, mangsa juga membuat 36 lagi transaksi berjumlah RM414,000 kepada16 akaun bank berbeza sekitar Mei hingga Julai tahun ini untuk kesalahan pengubahan wang haram yang disyaki.
Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati suspek masih meminta wang daripadanya atas alasan berbeza walaupun belum bertemu dengannya lagi.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
Sehubungan itu, Mancha menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan wanita cantik atau lelaki kacak dalam media sosial terutamanya mereka yang tidak dikenali.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai terutama wanita atau sesiapa sahaja yang menggunakan sosial media, elakkan menulis maklumat peribadi di profil akaun mereka kerana ia tersangat bahaya.
Katanya, terutamanya wanita, perlu bijak dalam menggunakan platform itu, meskipun ia antara boleh membantu untuk mendapatkan pasangan, namun perlu lebih berhati-hati.
Selain itu, beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan janji palsu sindiket penipuan pelaburan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan supaya jangan mengemaskinikan status kesunyian di media social, elak jadi mangsa Love Scam.
Oleh Connie Chieng