PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen semalam berkata, kira-kira 333 pemerhati dan orang kenamaan asing dari 65 negara dan institusi antarabangsa akan melawat negara itu untuk memantau Pilihan Raya Umum (PRU) ketujuh negara itu Ahad ini, lapor Xinhua.
Antaranya ialah Speaker Dewan Rakyat Malaysia, Tan Sri Johari Abdul dan Perdana Menteri Guinea-Bissau Nuno Gomes Nabiam, serta 11 bekas ketua negara, kerajaan dan parlimen, tulisnya di Twitter.
Hun Sen berkata, Kemboja mengalu-alukan kehadiran mereka untuk menyaksikan proses demokrasi di negara Asia Tenggara itu.
Sebanyak 18 parti politik akan bertanding untuk 125 kerusi Dewan Rakyat dan lebih 9.7 juta orang layak mengundi.
Pada PRU lima tahun lepas, Parti Rakyat Kemboja pimpinan Hun Sen menyapu bersih kesemua 125 kerusi Dewan Rakyat. – Bernama – Xinhua