KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengisytiharkan pengagihan pendapatan berjumlah RM368.15 juta untuk dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun lalu.
PNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengagihan pendapatan tersebut adalah bersamaan 5.00 sen seunit untuk 312,476 pemegang unit yang kini memiliki 7.36 bilion unit.
“Pengagihan pendapatan ASB 3 Didik mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 2.76 peratus sebanyak 224 mata asas,” katanya.
Setakat 26 Jun lalu, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM346.41 juta.
Pendapatan dana ini diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa
Ekuiti domestik dan antarabangsa merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan masing-masing sebanyak 41.46 peratus dan 29.75 peratus daripada keseluruhan portfolio, katanya.
“Prestasi dan keupayaan dana untuk menjana pendapatan adalah hasil strategi pelaburan yang berkesan, kepelbagaian portfolio dan pemantauan berwaspada terhadap arah aliran pasaran dan keadaan ekonomi
“Dengan menguruskan risiko dan memastikan pulangan yang mampan, dana ini telah dapat menyediakan pertumbuhan jangka panjang untuk pemegang unitnya. Pemantauan prestasi berkala, ditambah dengan pengurusan risiko yang proaktif telah membolehkan ASB 3 Didik memberikan pulangan kompetitif secara konsisten,” kata kenyataan itu.
PNB berkata urus niaga ASB 3 Didik di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platfom digital dan perbankan internet telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 27 hingga 30 Jun lalu bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.
Pemegang unit boleh melakukan urus niaga semula di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB mulai esok atau di mana-mana cawangan/ejen ASNB di seluruh negara pada 3 Julai depan. – Bernama