ANKARA: Amerika Syarikat (AS) akan menjadi tuan rumah Kejuaraan Piala Kelab Dunia FIFA dengan 32 pasukan bersaing buat pertama kalinya pada 2025 bagi pra-perlawanan Piala Dunia FIFA lelaki 2026, lapor Agensi Anadolu.
“Majlis FIFA sebulat suara menamakan AS sebagai tuan rumah Kejuaraan Kelab Dunia FIFA yang baharu dalam mesyuaratnya yang diadakan secara atas talian dari Home of FIFA.
“Keputusan ini diambil berdasarkan kedudukan Amerika Syarikat sebagai pelopor utama dalam menganjurkan acara global dan kerana ia akan membolehkan FIFA memaksimumkan sinergi bagi Piala Dunia FIFA 2026 dan manfaat kepada kedua-dua kejohanan dan pembangunan bola sepak di rantau Amerika Utara,” menurut badan induk bola sepak dunia dalam kenyataan malam tadi.
Kanada, Mexico dan AS akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026 dan disifatkan pertandingan bola sepak antarabangsa yang terbesar di Amerika Utara.
“Kejuaraan Kelab Dunia FIFA 2025 akan menjadi kemuncak bola sepak kelab lelaki profesional elit, dan dengan kemudahan infrastruktur serta sokongan peminat tempatan yang jitu, Amerika Syarikat adalah tuan rumah yang ideal untuk memulakan kejohanan global ini,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Eropah mempunyai 12 slot untuk Piala Dunia Kelab FIFA 2025 yang diperluaskan, manakala negara tuan rumah akan mempunyai satu tempat.
Ditubuhkan pada 2000, Kejuaraan Kelab Dunia sebelum ini dimenangi oleh Real Madrid pada 2022.
Kejuaraan Kelab Dunia FIFA yang akan datang, iaitu edisi ke-20, akan berlangsung di Arab Saudi pada Disember 2023 dan menjadi penutup bagi Kejuaraan Kelab Dunia yang melibatkan tujuh pasukan. – Bernama-Anadolu