KUCHING: Golongan bujang berusia 18 tahun ke atas berpendapatan rendah kini layak memohon Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS).
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan Dato Sim Kiang Chiok berkata, skim berkenaan dapat membantu golongan tersebut dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup masa kini.
“Perkara ini dapat membantu golongan bujang menyewa di tempat yang sesuai.
“Ini juga akan membantu mengurangkan rumah setinggan haram apabila pekerja luar kawasan ini tidak mampu menyewa penginapan yang sewajarnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini telah memperluaskan skim bantuan ini kepada individu bujang berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan.
“Bantuan ini diluaskan kepada kumpulan yang lebih besar, yang mana mereka yang lebih muda ini memerlukan bantuan lebih-lebih lagi apabila mereka baru masuk dalam dunia pekerjaan, katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, skim bantuan ini perlu diperluaskan kepada kepada majikan utama di Sarawak malah, semua media berita memainkan peranan penting dalam membantu menyebarkan maklumat ini tentang cara memohon dan siapa yang perlu dan layak memohon.
Menerusi skim itu, subsidi sebanyak RM200 sebulan sehingga tiga tahun ditawarkan kepada pemohon sementara jawatankuasa skim setakat ini telah meluluskan sebanyak 1,786 permohonan melibatkan RM10 juta dana dan sebanyak RM48 juta diperuntukkan untuk skim tersebut.