LOS ANGELES: Gabungan penerbit muzik termasuk Universal Music Publishing Group, Warner Chappell Music dan Sony Music Publishing menyaman Twitter berhubung “pelanggaran hak cipta besar-besaran” yang melibatkan katalog muzik syarikat masing-masing, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Seramai 17 penerbit muzik yang memegang hak muzik daripada artis termasuk Drake, Taylor Swift dan Adele, memfailkan tuntutan mahkamah bersama di mahkamah persekutuan Tennessee. Mereka menuntut lebih daripada AS$250 juta sebagai ganti rugi.
Mereka ialah ABKCO Music, Anthem Entertainment, Big Machine Music, BMG Rights Management, Concord, Hipgnosis, Kobalt, Mayimba, Peer, Reservoir Media Management, Sony Music Publishing, Spirit Music Group, the Royalty Network, Ultra Music Publishing, Universal Music Group Publishing, Warner Chappell dan Wixen.
X Corp milik Elon Musk yang memiliki Twitter merupakan defendan tunggal.
“Twitter berdiri sendiri sebagai platform media sosial terbesar yang enggan melesenkan jutaan lagu untuk perkhidmatannya.
“Twitter mengetahui sepenuhnya bahawa muzik itu dibocorkan, dilancarkan dan distrim oleh berbilion-bilion orang setiap hari di platformnya. Ia tidak lagi boleh berselindung di sebalik (Akta Hak Cipta Milenium Digital) dan enggan membayar penulis lagu dan penerbit muzik,” kata ketua eksekutif Persatuan Penerbit Muzik Kebangsaan David Israelite dalam satu kenyataan.
Sebagai reaksi kepada soalan mengenai tuntutan mahkamah itu, jabatan media Twitter memberikan emoji “najis” (poop) pada ruangan ‘auto-reply’.
Menurut The New York Times, Twitter baru-baru ini mempertimbangkan melesenkan muzik daripada tiga label utama, namun rundingan itu gagal selepas Musk mengambil alih syarikat itu. – Bernama-dpa