KUCHING: Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Pergerakan Singai Sarawak (Redeems) akan mengadakan tiga acara pada tahun ini bagi membantu Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dalam memulihara biodiversiti, seni dan warisan budaya Sarawak.
Presiden Redeems, Datuk Peter Nansian Ngusie berkata, Redeem akan berusaha dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan dalam menyokong sebarang inisiatif yang dijalankan oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.
“Pada tahun ini, kita akan menganjurkan tiga acara iaitu Karnival Gawai Redeems 2023, Redeems Battle of The Bands(BOTB) dan Konsert XPDC. Kesemua acara ini akan diadakan di Kampung Budaya Bidayuh, Redeems.
“Karnival Gawai Redeems 2023 ialah sambutan warisan budaya dan tradisi masyarakat orang asli di Sarawak, khususnya masyarakat Dayak, semasa perayaan Gawai Dayak.
“Acara selama tiga hari itu akan mempamerkan pelbagai aktiviti, persembahan dan pameran di Kampung Budaya Bidayuh, Redeems dengan anggaran seramai 10,000 pengunjung akan hadir.
“Objektif utama Karnival Gawai adalah untuk mempromosi dan memelihara tradisi budaya, ritual, muzik, kraf tarian, dan masakan yang berkaitan dengan perayaan Gawai Dayak. Selain itu, acara ini bertujuan untuk memupuk penghargaan pertukaran budaya, dan persefahaman antara pelbagai masyarakat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Karnival Gawai Redeems, Battle of the Bands Redeems dan Konsert XPDC di Pejabat Borneo Tribal Village di sini semalam.
Tambah Peter Nansian, pertandingan BOTB Redeems pula akan diadakan pada 23 sehingga 25 Ogos ini.
“Penganjuran pertandingan ini adalah untuk menggalakkan pembangunan diri melalui muzik dengan menggalakkan aplikasi tanpa mengira umur, kebolehan dan genre muzik serta mengiktiraf kepelbagaian sepenuhnya peserta bagu mempromosikan kesaksamaan peluang untuk semua orang.
“Kami menyasarkan sebanyak 50 kugiran akan berentap bagi membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 serta berpeluang untuk mempersembahkan aksi pembukaan untuk konsert XPDC nanti.
“Peserta yang ingin menyertai pertandingan ini boleh mula mendaftar esok(13 Jun) dan pendaftaran akan ditutup pada 31 Jun ini. Peserta yang ingin menyertai pertandingan ini perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM300,” katanya.
Dalam pada itu, konsert XPDC akan diadakan pada 26 Ogos ini, sehari selepas berakhirnya pertandingan BOTB.
“Harga tiket masuk bagi BOTB dan Konsert XPDC akan diumumkan nanti, namun saya boleh pastikan bahawa harga tiket ini adalah bawah RM100,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT