KOTA SAMARAHAN: Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak kali ke-96 menyaksikan seramai 1,151 graduan berjaya menerima sijil penganugerahan ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing.
Pro Canselor UiTM Tan Sri Dato Zarinah Anwar berkata Istiadat penganugerahan ini juga merupakan suatu penghargaan kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban di dalam usaha mendidik anak-anak sehingga mencapai kejayaan ke tahap ini.
“Pada masa sama, penghargaan juga diberikan kepada para pensyarah dan pentadbir Universiti yang telah mencurahkan ilmu serta menyalurkan keprihatinan bagi memastikan kejayaan para graduan,” katanya pada Istiadat Konvokesyen UiTM Cawangan Sarawak kali ke-96 di Dewan Jubli di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebagai institusi Pendidikan tinggi berteraskan kecemerlangan, UiTM sentiasa komited menyambut kementerian untuk melahirkan graduan serta tenaga kerja profesional dan usahawan Bumiputera yang berjaya di samping mampu bersaing, baik dalam mahupun di luar negara.
Jelasnya, UiTM telah mengambil beberapa langkah bagi memperkasakan graduannya dengan pengalaman dan kemahiran yang diperlukan.
Antaranya, perjanjian persefahaman dengan pelbagai agensi kerajaan, pihak industri dan rakan strategik.
“Ini bertujuan mempertingkatkan perkongsian kepakaran dan kualiti pembelajaran serta menyediakan para graduan dengan realiti dunia pekerjaan.
“Para graduan perlu mengenalpasti jurang kemahiran dan melengkapkan diri dengan kompetensi yang diperlukan supaya potensi sebenar seseorang graduan itu dapat direalisasikan,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN