Oleh Nabillah Bolhassan
I
MAWAR memandang sepi rumah kayu yang semakin usang tidak jauh dari rumah datuk dan neneknya. Hanya berselang lima buah rumah. Di rumah itulah dia mula mengenal huruf alif, ba, ta. Di rumah itu jugalah dia mula belajar membaca iqra’ dan seterusnya lancar membaca Al-Quran. Tahu hukum tajwid dan sebutan huruf dengan makhraj yang betul. Serta merta rindu pada guru mengaji yang dipanggil Guru Hasnah memenuhi ruang dada. Sudah hampir 10 tahun Guru Hasnah berpulang ke negeri abadi. Terlalu besar jasa Guru Hasnah buat diri Mawar. Mawar masih ingat ketika kali pertama ayah membawanya ke rumah itu. Biar sudah belajar mengaji di sekolah yang termasuk dalam sukatan pelajaran Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, ayah tetap mahu dia belajar mengaji bersama Guru Hasnah kerana ayah juga pernah menjadi anak didiknya.
“Belajar dari orang yang sudah banyak umur seperti Guru Hasnah, insya-Allah ada berkatnya.” Kata ayah yakin.
Maka, rutin harian Mawar ketika di bangku sekolah, pada waktu petang hari biasa akan belajar ilmu agama di sekolah, hujung minggunya pula akan belajar mengaji bersama Guru Hasnah. Mawar gembira belajar mengaji bersama Guru Hasnah walaupun wanita yang hampir sebaya neneknya itu agak tegas, tetapi masih dapat dirasa kasih sayang dan keikhlasannya mengajar bacaan dalam Al-Quran.
Ketika ayah menyatakan hasrat meminta agar Guru Hasnah mengajar Mawar mengaji, ayah ada bertanya kepada Guru Hasnah tentang bayaran yang perlu dibayar. Pada waktu ayah belajar dengan Guru Hasnah dahulu, ayah kata dia belajar tanpa bayaran. Nenek dan datuk tidak mampu membayar dengan wang ringgit, tetapi sekali sekala menghantar lauk dan hasil kebun ke rumah Guru Hasnah sebagai tanda terima kasih. Guru Hasnah tidak pernah meminta, apa yang diberi itu yang dia terima. Namun apabila Mawar yang dihantar mengaji dan ayah juga mampu untuk membayar, Guru Hasnah masih tidak menetapkan sebarang jumlah bayaran.
“Seikhlas hati.” Ringkas dan pendek jawapan Guru Hasnah.
Cukup bulan, ayah akan memberikan not RM100 di dalam sampul untuk Guru Hasnah. Pada awalnya, Guru Hasnah menolak kerana dirasanya jumlah itu terlalu banyak. Dia minta pada ayah untuk dikurangkan jumlah tersebut. Kata Guru Hasnah, “Aku takut disoal di akhirat kelak Saiful, kerana mengambil upah yang banyak mengajar ilmu Al-Quran. Biarlah jumlah itu sekadar cukup untuk aku menampung makan minum aku dan anak-anak. Ibu tunggal seperti aku ada terima bantuan. Rashidah dan Rashid juga dapat biasiswa di universiti. Banyak sangat jumlah ni.”
“Tak apa. Anggap saja saya berkongsi rezeki dengan Guru. Tanpa Guru, entah sampai ke sudah saya tidak tahu membaca Al-Quran barangkali. Mak dan ayah pula buta huruf, tidak ada kemampuan untuk mengajar. Mawar ni saya tinggalkan untuk bersekolah di kampung bagi memenuhi permintaan mak dan ayah yang mahu cucu kesayangan mereka ini tinggal bersama. Walaupun saya tinggalkan dia di kampung tetap menjadi tanggungjawab saya Guru, hidupnya terisi dengan ilmu dunia dan akhirat.” Panjang lebar ayah memujuk Guru Hasnah untuk menerima wang tersebut.
Guru Hasnah tidak pernah berkira. Setiap kali selesai kelas mengaji, kami akan dihidangkan dengan masakan dari air tangannya. Sudah pasti, ikan rebus goreng dan ayam kicap menjadi kegemaran Mawar dan rakan-rakan mengaji yang lain. Makan beramai-ramai dan bergelak ketawa sungguh meninggalkan memori yang manis pada kehidupan Mawar ketika itu.
“Guru sunyi makan sorang-sorang bila Rashidah dan Rashid balik ke kampus. Mujur ada kamu semua temankan Guru.” Ujar Guru Hasnah sambil tersenyum, lantas menampakkan kedut di wajahnya yang sudah semakin banyak tanda dimamah usia.
II
Mawar akui, momen belajar mengaji bersama dengan Guru Hasnah tidak akan dia dapat di mana-mana. Tidak hairanlah kenapa ayah bersungguh-sungguh mahu dia belajar bersama Guru Hasnah. Guru Hasnah masih berpegang dengan adat tradisi lama, namun tidaklah amalan tersebut membelakangkan hukum agama. Mawar masih ingat, setiap kali sebelum kelas mengaji bermula, Mawar dan rakan yang lain akan duduk bersama Al-Quran dan rehal masing-masing menanti Guru Hasnah mengambil wudhuk dan mengerjakan solat sunat. Kemudian, dia akan keluar dari biliknya bersama rotan yang panjang bewarna coklat gelap. Walau bagaimanapun, rotan tersebut tidak pernah sekali pun menyentuh kulit anak didik Guru Hasnah. Dia sekadar memukul lantai tanda amaran jika ada antara kami bergurau senda dan bermain-main semasa membaca Al-Quran.
“Adab dengan Al-Quran perlu dijaga.” Nasihat Guru Hasnah.
Mendengar pukulan di lantai sahaja sudah menyebabkan kami gerun, maka Guru Hasnah tidak perlu menjengilkan mata mahupun mengeluarkan sepatah kata pun untuk menegur tingkah laku kami.
Sesi mengaji kami akan dimulakan dengan Guru Hasnah memberikan segelas setiap seorang air penerang hati. Kata Guru Hasnah, dia akan membuka penutup botol air tersebut ketika membaca Surah Yassin setiap waktu malam bersama beberapa ayat Al-Quran yang lain. Perkara ini turut dia amalkan untuk dua anaknya. Tidak hairanlah kedua-dua anaknya bukan sekadar terang hati mengamalkan ilmu Al-Quran sehingga pernah memenangi beberapa pertandingan hafazan dan tilawah di sekolah, tetapi juga berjaya dalam bidang masing-masing di menara gading. Kak Rashidah ketika itu menuntut dalam jurusan Syariah dan Undang-undang. Manakala Abang Rashid pula dalan jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa. Guru Hasnah mahu kami juga terang hati dalam menuntut ilmu dunia dan akhirat serta berjaya menjejak kaki ke menara gading seperti dua anaknya. Selain itu setiap kali kami bertukar juzuk bacaan, Guru Hasnah akan meminta kami untuk memberikan kepadanya sebatang lilin.
“Sebagai simbolik supaya hati kita akan terang dan tidak jemu membaca kitab suci ini.” Kata Guru Hasnah.
Kami akan berlipat kali ganda seronok untuk pergi mengaji jika ada antara kami yang tamat bacaan 30 juzuk Al-Quran kerana dapat merasa pulut kuning dan telur rebus. Sekali dengan pulut kuning dan telur rebus, akan disertakan bersama bendera bercorak yang dililit lidi ditepinya. Bendera kecil tersebut dihasilkan daripada kertas warna dan akan dicucuk di atas pulut kuning sebelum diberi kepada rakan atau jiran. Tradisi ini merupakan sebagai salah satu tanda kesyukuran setelah tamat bacaan 30 juzuk serta sebagai tanda keakraban kerana pulut kuning itu bukan sahaja dijamah beramai-ramai bersama rakan mengaji tetapi turut dihantar ke rumah jiran tetangga.
Jika ada majlis kahwin di kampung, anak didik Guru Hasnah akan dijemput untuk bacaan khatam dan tahtim Al-Quran. Guru Hasnah akan menyiapkan pakaian kami, anak didik lelaki akan berbaju Melayu digayakan bersama samping warna jingga. Manakala anak didik perempuan pula akan berbaju kurung putih beserta kain senada warna dengan samping anak didik lelaki. Guru Hasnah akan tersenyum bangga apabila tuan empunya majlis memuji bacaan anak didiknya. Sejujurnya, momen seperti ini Mawar tidak akan dapat jika dia menetap dan belajar mengaji di bandar. Kenangan itu tidak akan dapat dibeli dengan wang ringgit serta diputar kembali, namun Mawar akan ingat sampai bila-bila.
III
Mawar masih ingat satu kejadian yang menyebabkan kali pertama dia melihat Guru Hasnah mengalirkan air mata. Pada waktu itu, rakan-rakan yang lain sudah pulang ke rumah masing-masing. Namun, Mawar masih berada di rumah Guru Hasnah kerana tiada sesiapa di rumah. Datuk dan neneknya keluar sebentar ke pekan membeli barang keperluan. Mawar yang sedang duduk di dapur menjamah nasi goreng dihidang oleh Guru Hasnah, terkejut apabila terdengar suara jeritan dari luar rumah.
“Tak payah nak berlagak baik Hasnah. Kami tahu kau dapat wang bantuan daripada YB kawasan kita ni. Lepas tu dapat juga bantuan ibu tunggal daripada ketua kampung.” Mawar kenal benar dengan suara itu. Siapa lagi kalau bukan Mak Lijah yang terkenal dengan jolokan ‘mulut tanpa insuran’ daripada orang kampung.
“Dah dapat upah mengajar anak orang kampung ni, buat apa nak terima lagi duit bantuan tu semua? Nampak saja baik, tapi tamak rupanya!” Mawar menjenguk di balik pintu rumah Guru Hasnah untuk mengetahui empunya suara itu. Mak Minah rupanya, kawan baik kepada Mak Lijah. Seisi kampung tahu mereka berdua bersahabat rapat umpama belangkas. Ke hulu ke hilir selalu bersama.
“Aku tak pernah meminta diberi bantuan. Apa yang diberi aku terima. Berkenaan dengan upah mengajar mengaji pun aku tidak pernah tetapkan apa-apa. Ibu bapa budak-budak tu memberi seikhlas hati jumlahnya.” Lembut suara Guru Hasnah menangkis dakwaan daripada dua wanita di hadapannya.
“Memanglah tak pernah meminta, tapi kalau dah dapat upah hasil mengajar mengaji tu, tak ke dah ada pendapatan kiranya? Tapi masih mahu menerima duit bantuan, tak tamak ke maksudnya tu?” Mak Lijah tidak mahu mengalah, masih dengan rasa tidak puas hati terhadap Guru Hasnah.
Mak Minah terus menyampuk umpama mencurah minyak ke dalam api yang membara, menghangatkan lagi suasana. “Kau ada apa-apa hubungan ke dengan YB kawasan kita ni? Atau nak jadi isteri nombor dua ketua kampung? Sebab itulah senang-senang saja dapat bantuan.”
“Astaghfirullah, Minah! Besar sangat tuduhan kau tu…” Guru Hasnah sudah hilang kata-kata.
Mawar ketika itu sudah tidak dapat menahan diri daripada hanya membisu di balik pintu. Dia melangkah keluar dan memaut lengan guru kesayangannya itu.
“Kalau Mak Limah dan Mak Minah nak tahu, Guru tak pernah minta satu sen pun daripada mak ayah kami. Tapi, mak ayah kami yang seikhlas hati mahu memberi upah kepada Guru sebab Guru tak pernah berkira dengan kami. Malah setiap hari bekongsi rezeki dengan kami, dihidangnya pelbagai jenis makanan untuk menjamu kami selepas mengaji. Kalaulah tuduhan Mak Limah dan Mak Minah tadi benar, rasanya Guru tak duduk dah kot rumah kayu macam ni. Dah ditukarnya jadi rumah batu hasil duit bantuan yang diterima.”
Dapat dilihat perubahan wajah dua wanita tersebut. Terkejut agaknya ada orang lain yang mendengar kata makian mereka terhadap Guru Hasnah. Tanpa berkata apa-apa, mereka terus melangkah keluar dari perkarangan rumah Guru Hasnah.
“Selalu ke mereka datang marah-marah macam tu?” Mawar bertanya kepada Guru Hasnah yang mengelap sisa air mata dengan hujung lengan bajunya.
Guru Hasnah menghadiahkan senyum buat Mawar, “Mawar jangan cerita pada sesiapa ya, apa yang berlaku tadi. Biarlah mereka nak kata apa sekalipun, yang pasti semua tu tak benar. Cukuplah hanya Allah yang tahu. Guru tak nak besar-besarkan hal ini. Kita doakan sahaja agar Allah lembutkan hati mereka dan hilangkan rasa dengki dalam diri mereka.”
Terkesima Mawar dengan jawapan daripada Guru Hasnah. Bagaimana wanita di hadapannya ini boleh bersabar sebegitu sekali. Kalau orang lain yang dilemparkan kata-kata seperti tadi, agaknya sudah ada adegan bertarik rambut. Begitulah sifat Guru Hasnah, tidak mahu menambah musuh dan bersabar dengan setiap dugaan. Sampai sekarang, Mawar tidak pernah menceritakan perkara tersebut kepada sesiapun demi menghormati permintaan Guru Hasnah.
IV
Walau telah lama tamat 30 juzuk Al-Quran, Mawar tetap belajar mengaji bersama Guru Hasnah demi membetulkan bacaan tajwidnya. Sehinggalah ketika menuntut di tingkatan 4, Mawar telah mendapat tawaran untuk masuk ke sekolah berprestasi tinggi kerana memperoleh keputusan PMR yang cemerlang. Maka, Mawar perlu berpindah semula ke bandar dan berhenti belajar mengaji bersama Guru Hasnah.
Selepas berpindah semula ke bandar, Mawar sudah jarang berjumpa Guru Hasnah. Jika giliran berhari raya ke kampung ayahnya, barulah dapat Mawar menziarahi Guru Hasnah.
10 tahun lalu, kebetulan pada tahun tersebut Mawar dan keluarga menyambut hari raya di kampung ayahnya. Dapatlah dia menjenguk Guru Hasnah. Namun, keadaan Guru Hasnah ketika itu kurang baik. Menurut Kak Rashidah sudah seminggu emaknya tidak sihat.
Mawar tunduk mencium tangan Guru Hasnah.
“Selamat Hari Raya, Guru. Rindu sungguh saya dengan Guru. Maafkan saya, jarang-jarang sekali dapat menjenguk Guru.”
Guru Hasnah menarik Mawar dalam pelukan.
“Tak apa, Guru faham. Mawar sibuk dengan pelajaran. Setiap kali balik raya ke kampung ni Mawar tidak pernah lupa menjenguk Guru, itu sudah lebih dari cukup.”
Lama Mawar bersembang dengan Guru Hasnah ketika itu. Entah kenapa berat sungguh hati mawar untuk balik ke rumah datuk dan neneknya. Seolah-olah selepas ini tiada kesempatan untuk menjenguk dan berbual dengan Guru Hasnah lagi.
Awal pagi keesokannya, pintu bilik Mawar diketuk dengan kuat. Sangka Mawar ayah mahu membangunkannya untuk solat subuh. Tetapi apabila menilik jam pada telefon pintarnya menunjukkan pukul empat pagi. Masih terlalu awal untuk mengerjakan solat subuh.
Dalam keadaan mamai dan menggosok mata, Mawar membuka pintu bilik. Terpampang wajah cemas ayahnya di muka pintu.
“Kenapa ayah?”
“Cepat siap, kita ke rumah Guru Hasnah. Rashid telefon tadi, katanya Guru Hasnah meninggal dunia dalam tidur.”
Kaki Mawar terpaku di hadapan pintu biliknya. Perasaannya kosong. Seolah-olah tidak percaya dengan berita yang disampaikan ayah sebentar tadi. Baru semalam di menjenguk dan bersembang mesra dengan Guru Hasnah.
Ya, memang keadaan Guru Hasnah tidak sihat. Tetapi, tidaklah terfikir sehingga jadi begini. Tanpa sedar ada air jernih yang mengalir di pipinya. Rentak jantungnya laju dan dadanya sakit menahan sebak. Seluruh badannya menggeletar menerima berita yang mengejutkan ini.
“Cepat Mawar. Kita bantu apa yang patut di sana. Kasihan Rashid dan Rashidah. Dengan keadaan Rashidah yang sarat mengandung tu, mereka perlukan bantuan kita.” Kata-kata ayah mengejutkan lamunan Mawar lantas menggerakkan kakinya untuk menyalin pakaian.
Mawar dapat lihat dengan matanya sendiri, Wajah Guru Hasnah sebelum dikafankan. Bersih dan sangat tenang. Segala pengurusan jenazah dan pengebumiannya juga sangat mudah. Ramai yang datang menziarahi Guru Hasnah buat kali terakhir memberi bukti bahawa dia sangat disenangi oleh orang kampung.
Beriringan pulang ke rumah bersama ayahnya selepas selesai urusan jenazah Guru Hasnah, Mawar meluahkan rasa sedih.
“Baru semalam Mawar jumpa Guru Hasnah, ayah. Tak sangka itu rupanya kali terakhir kami berjumpa.” Mawar mengesat air mata. Tidak mampu lagi menyembunyikan rasa sedihnya.
“Takdir Allah, Mawar. Tidak akan cepat atau lambat walau sesaat. Bila tiba masanya nanti, kita juga akan turut serta bersama Guru Hasnah, berpulang ke negeri abadi.” Encik Saiful memujuk anaknya.
“Beruntungnya Guru Hasnah kan ayah, Diambil Allah pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Urusannya juga sangat mudah. Pasti di sana nanti Guru Hasnah ditempatkan bersama dengan orang yang soleh dan solehah. Apatah lagi tiga amalan yang berterusan selepas anak adam meninggal dunia, Guru Hasnah sudah lakukan. Dia selalu bersedekah. Kalau kebetulan terserempak dengan Guru Hasnah ketika solat tarawikh di masjid dulu, Mawar selalu tengok Guru Hasnah masukkan duit dalam tabung masjid. Itu yang kita nampak, yang kita tak nampak mesti banyak lagi Guru Hasnah bersedekah walaupun dia bukanlah orang senang. Masa mengaji di rumah dia pun, Guru Hasnah tidak pernah kedekut menghidangkan kami dengan pelbagai jenis juadah. Kemudian, doa daripada anak yang soleh. Tengoklah anak-anaknya, hebat-hebat belaka. Terakhir, ilmu yang bermanfaat. Selagi anak didik yang pernah diajarnya mengenal huruf Al-Quran dan mengaji, selagi itulah Guru Hasnah mendapat manfaatnya.”
Encik Saiful mengangguk setuju dengan butir kata anaknya.
“Ya, semoga kita juga dapat menjadi seperti Guru Hasnah. Tauladan yang sangat baik untuk diikuti.”