KUCHING: Sarawak Energy dengan sukacitanya mengumum dan mengucapkan tahniah kepada 250 pelanggan yang telah dipilih sebagai pemenang cabutan bertuah bil elektronik (e-Bill) Sarawak Energy suku pertama bagi tahun ini.
Setiap penerima akan menerima rebat tunai bil elektrik RM50, yang akan dikreditkan ke bil seterusnya dalam akaun kontrak elektrik berdaftar mereka.
Kesemua 250 pemenang akan dimaklumkan melalui alamat e-mel berdaftar langganan bil elektronik mereka.
Sarawak Energy dalam satu kenyataan memberitahu, senarai pemenang juga boleh didapati di laman web Sarawak Energy di https://www.sarawakenergy.com/media-info/announcements publications/announcements-lucky-draw-winners-announcement.
“Cabutan bertuah diadakan setiap suku tahun sebagai menghargai pelanggan bil elektronik Sarawak Energy yang menyokong Kempen Bil Elektronik Tanpa Kertas yang dilancarkan pada 2021 sebagai sebahagian daripada komitmen Kumpulan terhadap kelestarian alam sekitar dan matlamatnya untuk menjadi utiliti digital menjelang 2025,” katanya.
Dengan pengebilan elektronik, pelanggan juga akan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dengan menghapuskan keperluan untuk bil kertas dan menikmati kemudahan mengakses, membayar dan menyimpan bil elektrik mereka tanpa kertas demi persekitaran yang lebih baik.
“ Sehingga kini, lebih 185,000 pelanggan telah melanggan perkhidmatan bil elektronik. Pelanggan juga akan menikmati rebat RM2 ke atas bil elektrik bulanan mereka untuk tempoh 12 bulan selepas pendaftaran berjaya
“ Semua pelanggan secara automatik termasuk dalam cabutan bertuah suku tahunan, dengan 250 pemenang menerima rebat tunai bil elektrik RM50 setiap suku tahun. Pemenang cabutan bertuah sebelum ini masih boleh mengambil bahagian dalam pusingan berikutnya, dengan syarat mereka kekal melanggan perkhidmatan bil elektronik dan memenuhi semua syarat kelayakan lain,” katanya.
Untuk melanggan perkhidmatan bil elektronik Sarawak Energy, pelanggan boleh melakukan pendaftaran sendiri melalui aplikasi mudah alih ‘SEB cares’ (tersedia di App Store dan Google Play) atau mengisi borang pendaftaran melalui www.sarawakenergy.com.
Mereka juga boleh menghubungi 1-300-88-3111, e-mel customercare@sarawakenergy.com, atau menghubungi kaunter perkhidmatan pelanggan SEB terdekat dengan memberikan nama, nombor akaun kontrak elektrik, alamat e-mel dan nombor telefon mudah alih mereka.
Selepas pendaftaran berjaya, pelanggan akan menerima bil elektrik bulanan mereka melalui alamat e-mel berdaftar mereka dengan rebat RM2 selama 12 bulan dan tidak akan menerima bil fizikal lagi.