PARIS: Bintang bola sepak Argentina Lionel Messi semalam berkata akan menyertai kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami, lapor Xinhua.
Bekas kelab Messi, Paris Saint-Germain (PSG) pada minggu lalu mengumumkan Messi akan meninggalkan kelab itu selepas perlawanan terakhir Ligue 1. Selepas meninggalkan Barcelona pada 2021, penyerang Argentina berkenaan menghabiskan dua musim di PSG.
Messi yang berusia 36 tahun Jun ini dikaitkan dengan perpindahan untuk kembali ke Barcelona, kelab beliau menghabiskan sebahagian besar kariernya.
“Saya membuat keputusan bahawa saya akan ke Miami, perjanjian belum sempurna 100 peratus, tetapi kami memutuskan untuk meneruskan karier di sana,” kata Messi dipetik akhbar Sepanyol, Diario Sport dan Mundo Deportivo sebagai berkata.
Inter Miami yang dimiliki bersama oleh bekas pemain antarabangsa England, David Beckham dan diasaskan pada 2018 turut mengesahkan berita itu di media sosial.
Messi, pemenang Ballon d’Or tujuh kali, memenangi Piala Dunia dengan Argentina sebagai kapten pada Disember 2022 di Qatar buat kali pertama dalam kariernya. -Bernama-Xinhua