AKUN GIMAN
SIBU: Cadangan pembinaan Jalan Utama Kedua (STR) melibatkan angkaran kos RM6 bilion bakal memberi impak besar kepada kemajuan di kawasan Simunjan, Lingga, Sri Aman, Betong, Meludam, Roban, Bahagian Sarikei dan Bahagian Sibu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, cadangan pembinaan STR bakal memberi manfaat kepada sekitar 60 peratus daripada jumlah penduduk di negeri ini.
Menurutnya, STR yang dicadangkan itu akan membuka landskap baharu dalam kemajuan negeri ini untuk tempoh 10 tahun akan datang.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin oleh Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mensasarkan untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju pada tahun 2030. Justeru pembinaan STR itu tepat pada masanya.
“Sarawak perlu mempunyai strategi dan perancangan yang baik dengan menyediakan infrastruktur, bekalan elektrik, bekalan air, ekonomi digital dan sebagainya jika mahu menjadi negeri maju,” jelasnya kepada pemberita di sini semalam.
Katanya, sudah menjadi dasar Kerajaan Sarawak untuk membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan luar bandar dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
“Setelah pembangunan berjalan lancar, ia akan menarik pelabur tempatan dan asing untuk melabur di negeri ini. Ini akan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat dan meningkatkan pendapatan negeri Sarawak,” ujarnya.
Tambahnya, STR juga akan memendekkan masa perjalanan di setiap bandar di Sarawak setelah projek tersebut siap kelak.
“STR ini dapat membuka ekonomi secara berperingkat di kawasan terbabit termasuk pembangunan tanah.
“STR juga untuk mempercepat bekalan elektrik, air terawat, ekonomi digital dan pembangunan lain di kawasan brkenaan,” ujar beliau.
Gira mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan ketika di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana meluluskan peruntukan RM16 bilion untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1000 km, yang sedang dalam pembinaan.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan mantan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tok Nan, atas cadangan STR dan projek tersebut kini diteruskan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” ujarnya.
“Oleh itu, saya menzahirkan rasa sedih apabila beberapa ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) baru-baru ini yang memberi maklumat mengelirukan kepada orang ramai dan memutar belit cadangan pembinaan STR.