NEW YORK: Pembuat pesawat Amerika Syarikat (AS) Boeing pada Rabu mengenal pasti kecacatan baharu pada jet 787 Dreamliner keluarannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Boeing sedang menyiasat beberapa pesawat yang masih belum diserahkan kepada pelanggan dan mungkin memerlukan baik pulih sebelum penghantaran, menurut syarikat itu pada Rabu.
“Kami sedang memeriksa pesawat 787 dalam inventori kami untuk keadaan tidak mematuhi piawaian berkaitan dengan pemasangan pada penstabil mendatar. Pesawat yang didapati bermasalah akan diperbaiki semula sebelum dijual dan penghantaran.
“Masalah itu bukan isu keselamatan segera bagi penerbangan dan pesawat dalam perkhidmatan boleh terus beroperasi dan isu berkenaan berkemungkinan tidak akan mengubah sasaran penghantarannya untuk tahun itu,” menurut Boeing dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, saham Boeing jatuh sebanyak dua peratus.
Dreamliner – satu daripada model pesawat Boeing yang paling penting – berulang kali menimbulkan masalah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Disebabkan oleh pelbagai kecacatan pengeluaran, pesawat itu tidak dibenarkan dihantar kepada pelanggan dari Mei 2021 hingga Ogos 2022. – Bernama-dpa