Oleh: Roslan Jomel
DALAM akbar Sinar Harian, Mana Sikana telah memperkenalkan serba ringkas tentang beberapa aliran penulisan, di bawah tajuk “Realisme Citra Perjuangan Sosial”, bertarikh 28 Februari 2021. Sebelum memasuki jauh dalam perbincangan dan pengenalan tentang takrifan aliran-aliran penulisan karya kreatif, Mana Sikana memetik terlebih dahulu apa yang telah dikemukakan oleh Plato, dalam Republic, buku teori sastera pertama dunia. Tokoh falsafah itu menyatakan bahawa sastera adalah sebuah mimesis, iaitu hasil peniruan atau gambaran daripada kenyataan. Namun, seiring dengan kemajuan tamadun, sebuah karya sastera terhasil, dalam pelbagai genre, adalah refleksi fikiran, emosi, gagasan dan kritikan pengarang yang hidup dalam masyarakat. Karya sastera, setelah berlaku evolusi, yang dihasilkan tidak lagi semata-mata meniru. Buktinya, kita telah menemui pengalaman yang semakin canggih, unik, luar biasa dalam karya sastera terkini tulisan pengarang-pengarang hebat.
Mana Sikana menekankan, sejak zaman awal perkembangan sastera moden 1920-an, ia dimulai dengan realisme, dan hatta terkini pun masih diguna pakai. Meskipun berbagai corak dan gaya yang berkembang dalam aliran penulisan, kaedah penulisan realisme masih utuh dan tetap dominan. Aliran sebenarnya adalah pegangan dan kepercayaan dalam berkarya. Juga memperlihat kecenderungan, trend, fesyen dan stail, yang menentukan corak, struktur dan falsafah pengkaryaan. Perkembangannya mengikut takdir sejarah sastera, bermula dengan klasisisme, romantisisme, realisme, absurdisme, surealisme, eksistensialisme dan realisme magis.
Walaupun muncul pelbagai aliran dan bentuk penulisan kontemporari, gaya penulisan realisme, sebagaimana ditulis oleh Mana Sikana dalam esei itu, dengan menjelmakan dunia sebenar dan jujur, realisme lebih menarik minat sebahagian besar masyarakat moden. Realisme masih unggul sehingga sekarang. Bak kata George Lukacs, bahawa sastera adalah cermin masyarakat. Bahkan Mana Sikana menambah lagi aliran penulisan realisme, perlu disedari juga, realisme memiliki fialsafah dan hakikat alirannya. Pertama, tidak hanya sebagai cermin, tetapi seharusnya karya yang menggambarkan citra yang terbenam. Maksudnya, dalam kenyataan luarannya, masyarakatnya adalah tenang, damai dan rukun; tetapi dalamannya penuh dengan kegelapan dan mungkar, terlindung atau terhijab. Justeru itu aliran ini (realisme), menghasratkan pengarang (untuk) membongkar segala rahsia itu.
Sebelum menutup eseinya, Mana Sikana beramanat, pengarang realis perlu mendewasakan dirinya, dan mematangkannya bagi menghasilkan realisme yang lebih komprehensif dan sofistikated.Apa yang dipesan oleh tokoh teori sastera Malaysia itu, bertujuan untuk mencabar seseorang pengarang agar jangan terlalu memudahkan penulisan mereka dan menggambarkan seadanya sahaja dengan paparan realisme yang tidak mencabar atau mendalamkan renungan pembaca. Walaupun kononnya, menulis dengan aliran realisme itu dianggap kurang menarik, kurang canggih, terkebelakang, namun sebenarnya, untuk menulis dengan aliran realisme yang meyakinkan, ia bukan tugas mudah dan semberono. Seseorang pengarang perlu memiliki ilmu pengetahuan pelbagai bidang dan daya renungan yang melangkaui batasan realisme. Pembaca generasi baharu tidak mungkin terpukau dengan penulisan realisme yang biasa, selapis dan tidak menggugah pemikiran kritis mereka.
Naskhah “Martha Hati”, tulisan Aileen Clare, secara tekniknya, mengunakan aliran penulisan realisme sebagaimana yang diperkatakan oleh Mana Sikana. Tiada permainan plot jungkar-balik, dan alunan ceritanya melurus ke akhir sehingga mudah pula diterka kesudahannya. Penulisan semudah itu, kelazimannya digunakan oleh pengarang-pengarang muda atau yang belum jauh pembacaan ke atas karya-karya beraliran realisme lain yang lebih kuat dan runcing persoalannya. Sejajar dengan corak cerita yang berlaku dalam sebuah keluarga dengan krisis domestiknya. Tiada konflik yang di luar daripada jangkaan kebiasaan. Pembaca tidak sukar untuk mengikuti benang cerita dari mula hingga akhir dalam kisah melodramatik itu. Maka, kesannya sebagai karya sastera, masih sederhana dan belum menganjakkan karya itu melepasi ukuran aliran realisme yang dimahukan oleh Mana Sikana.
Naskhah “Martha Hati”, bercerita tentang tentang naik turun perjalanan hidup Martha, watak utama dalam sebuah keluarga yang mengambilnya sebagai anak angkat. Permulaan cerita, Martha sedang mengelamun di bawah pohon rendang dan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa bagai menenangkan kedukaannya. Perasaannya, sebagai anak angkat, gundah-gulana, kerana dianggap sebagai pembawa sial. Serba tidak kena Martha di mata ayah angkatnya. Martha melarikan diri di situ, mendamaikan jiwa dan cuba menyingkirkan insiden dipukul oleh ayah angkatnya pada waktu siang tadi. Martha disebat dengan rotan atas kesalahan adik angkatnya, Melissa. Bahkan ayah angkat yang panas baran, juga lebih berpihak kepada Melissa, iaitu anak kandungnya dalam rumah itu. Kulit lengannya berbirat, luka dan kesan sakit benar-benar memedihkan fizikal dan mentalnya sebagai manusia.
Bagaimana Martha berada dalam rumah keluarga angkatnya? Apa yang berlaku pada keluarga kandungnya sendiri? Rupa-rupanya Mak Jenah yang memutuskan untuk mengambil Martha sebagai anak angkat. Mak Jenah mengatakan kepada Martha, ibu kandungnya (ibu kandung Martha), iaitu sahabat baik kepada Mak Jenah, tidak sanggup untuk membesarkannya. Ayah Martha sudah pun meninggal dunia. Barangkali, atas faktor kewangan, ibu Martha menyerahkannya kepada keluarga angkat. Dengan alasan, agar kehidupannya lebih terjamin. Pak Damil, ayah angkat Martha, menolak dengan keras keputusan yang diambil isterinya itu. Pak Damil tidak mengiktiraf kehadiran Martha dalam keluarga itu. Dengan nada cemuhan, Pak Damil menolak Martha sebagai anak dari darah daging keturunannya. Malahan mencela kewujudan Martha dalam rumahnya sebagai pembawa malang. Bertentangan dengan sikap Pak Damil yang perengus dan kasar, Mak Jenah, sebaliknya bersifat keibuan, mencurah kasih sayang tanpa berbelah bahagi kepada Martha.
Babak hidup Martha dalam keluarga angkatnya menjadi lebih menyedihkan, sebaik sahaja Mak Jenah, disahkan hamil. Bagi Martha, ia berita yang menggembirakan. Martha sudah tentu ingin untuk bermain-main dengan adik yang bakal lahir itu. Namun di pihak Pak Damil, Martha dilarang keras untuk mendekati Mak Jenah yang berada dalam keadaan berbadan dua. Mak Jenah melahirkan Melissa. Adik angkat Martha itu, malangnya, lebih terikut-ikut dengan karakter Pak Damil. Sementelah itu, Pak Damil menyayangi Melissa, bagai menatang minyak yang penuh. Apa-apa sahaja kemahuan Melissa, akan diturutkan oleh Pak Damil. Mak Jenah menegur sikap suaminya itu yang terlalu memanjakan segala keinginan Melissa. Melissa berasa bahawa dirinya bagaikan ratu dalam rumah itu. Dengan kelebihan itu juga, Melissa sering mengeksploitasi keberadaan Martha dalam rumah itu sebagai mangsa atas semua kesalahan yang dilakukannya. Martha benar-benar tiada pilihan lain, terpaksa bertahan dalam rumah keluarga angkatnya, walau apa pun terjadi.
Namun sebagai manusia biasa, Martha tidak pasti, sampai bilakah dia berdaya untuk kekal bersama-sama dalam rumah keluarga angkat. Sikap Pak Damil dan Melissa terhadap dirinya memang sudah kerterlaluan. Dia juga seorang manusia. Mempunyai harga diri sebagaimana manusia-manusia lain. Tetapi apakan daya. Suara dan kewujudannya dalam keluarga angkat bagaikan tiada nilai. Ke mana dia hendak tinggal? Tambahan pula, Mak Jenah telah meninggal dunia. Rasa rindu Martha kepada ibu kandungnya sungguh mencengkam. Begitu kuat perasaan Martha untuk disatukan kembali dengan ibu kandung buat selama-lamanya. Pembaca sudah tentu berasa simpati dan boleh mengerti gelora batin yang berkecamuk dalam diri Martha. Sungguh pun begitu, Martha tetap ikhlas dan bersyukur kerana membesar dalam rumah Pak Damil. Mengenangkan situasi itu, perasaan Martha semakin bersimpang-siur.
Timbul dilema dalam diri Martha yang perlu dipertimbangkannya. Tentu sahaja kurang wajar andai dia melangkah keluar dari rumah keluarga angkat pada ketika itu. Tidak sanggup dia membiarkan Pak Damil bersendirian mengurus keadaan rumah, memandangkan Melissa belum lagi menunjukkan sikap yang sepatutnya sebagai seorang anak. Kadang-kadang tingkah-laku Melissa yang agak berlebihan, tidak menghormati ayah sendiri, sangat melukakan perasaan Pak Damil. Akhirnya Melissa berkembang menjadi anak remaja yang bebas untuk melakukan apa-apa sahaja. Mungkin itulah hukuman Tuhan atas sikapnya sendiri? Pada detik itulah, Pak Damil berasa kehilangan isterinya, Mak Jenah. Martha tiada tempat untuk berkongsi segala timbunan perasaannya. Tertekan dan terseksa seorang diri. Sebagai seorang anak angkat, dia tetap mempertahankan nama baik keluarga yang telah menjaga dan memberikan tempat perlindungan selama ini.
Insiden Melissa diberkas oleh penduduk kampung kerana menyamun dalam kedai runcit kepunyaan Pak Atan, menyentak emosi Pak Damil. Ternyata anak perempuannya itu sudah melepasi sempadan. Sanggup menipu ayah sendiri, kononnya hendak pergi ke kenduri, padahal sedang merancang untuk memecah masuk ke kedai runcit milik Pak Atan. Jadi, duit yang hilang dahulu, siapa pelakunya? Pak Damil yang begitu terkejut mendengar berita kelakuan anak perempuannya, menangis dan rebah lalu dihantar ke hospital. Melissa mengharapkan kepada Martha, yang pertama kali dipanggilnya “kakak” untuk menjadi orang tengah dalam peristiwa itu. Martha segera merayu Tok Kassim, selaku ketua kampung, agar tidak memanjangkan kes itu ke pihak polis. Baik Martha mahupun Melissa, andai kes itu dibawa ke pihak polis, ia pasti menambah tekanan kepada Pak Damil yang berada di hospital. Setelah bersetuju untuk tidak mengheret Melissa ke balai polis, Melissa dikehendaki untuk membayar balik ganti rugi kepada mangsa jenayah mereka, iaitu Pak Atan. Alangkah gembira, usaha Martha untuk berbakti kepada keluarga angkatnya tertunai. Biarpun bukan anak daripada darah daging sendiri, Pak Damil dan Melissa tetap sebahagian daripada keluarganya yang perlu dibela.
Naratif yang terakam dalam naskhah “Martha Hati”, bukan perkara baharu dalam aliran penulisan realisme tentang perhubungan dan permasalahan dalam keluarga. Kisah sebegini, akan berulang dan disambung lagi oleh beberapa pengarang muda yang memanipulasi unsur-unsur kesedihan simpati sebagai mata pancing untuk memikat pembaca. Ketara, naskhah “Martha Hati” dihasilkan sebagai suatu wahana yang membawa mesej kekeluargaan. Pengarang ingin menyedarkan bahawa, berlaku adillah dengan sesiapa pun juga, tanpa mengira latar dan kedudukan seseorang itu. Segala sikap kurang wajar dan berniat jahat yang dilakukan kepada Martha, berbalik semula dengan kesudahan yang baik. Pak Damil dan Melissa kemudiannya, mengaku kesilapan dan keterlanjuran mereka selama ini terhadap Martha. Setiap manusia, secara fitrahnya, memang tidak terlepas daripada terjebak dengan kesalahan. Yang membezakan darjat kemanusiaan seseorang ialah, apakah mereka mahu mengaku kesalahan atau terus ego dengan sikap masing-masing.
Martha bolehlah dianggap sebagai watak putih bersih. Jiwa dan fikirannya bergelora dari dalam. Tetapi, Martha tidak menunjukkan secara luaran di depan keluarga angkatnya. Yang terdaya dilakukan oleh Martha, hanyalah menangis, kerana dia tidak mempunyai seseorang untuk dijadikan tempat mengadu. Jalan untuk Martha keluar daripada seksaan dalam rumah itu, terbentang luas. Bila-bila masa sahaja, dia boleh untuk meninggalkan rumah itu dan mencari tempat lain untuk berdikari. Tetapi Martha tetap rela untuk terus berada di dalam rumah itu sebagai bukti kesetiaannya dan keinginan untuk menabur budi. Tidak mustahil watak sedemikian terlindung dalam kehidupan nyata. Juga tidak mustahil watak-watak seperti Melissa dan Pak Damil wujud berkeliaran dalam masyarakat. Watak Martha dalam naskhah karangan Aileen Clare sungguh tabah, sederhana dan terbuka dalam berhadapan dengan pelbagai kerenah orang-orang di sekelilingnya.
Sebagai sebuah karya kreatif, naskhah “Martha Hati”, tidak menganjakkan standard aliran penulisan realisme yang sepatutnya lebih sofistikated dan kompleks penerokaannya. Hal itu wajar diperhatikan oleh mana-mana pengarang yang menulis dengan aliran realisme. Bukan soal teknik dan penceritaannya sahaja perlu diperdalam, bahkan, tema yang hendak diangkat juga harus lebih relevan dengan isu-isu terkini dalam kehidupan kontemporari. Pengakhiran dan pengkisahannya terlalu klise, mudah dan tiada perkara baharu yang diketengahkan untuk memantapkan kandungan naskhah. Perlukisan karakternya juga ringkas, malahan terlalu cetek untuk memperkuat kekelaman emosi dan fikiran watak protagonis. Cerita tentang nasib malang anak angkat, sudah terlalu lusuh ditulis dan kesudahannya juga tidak mendatangkan hal-hal baharu. Hal ini disebabkan keterbatasan pengalaman, bahan pembacaan yang tidak mencabar dan tiadanya kerja rumah khusus untuk memantapkan lagi liku-liku permasalahan dalam naskhah. Kisah seperti “Martha Hati” sepatutnya sudah tidak dikarang lagi dengan jalan kisah yang serupa. Ia tidak mengundang cabaran. Ada pelbagai isu-isu baharu yang seiring dengan kehidupan semasa yang wajar dimasukkan ke dalam karya kreatif. Dan itulah yang saya harapkan daripada Aileen Clare, untuk kerja penulisan naskhah terbaharunya nanti. Teruslah menulis dan teruslah belajar memperdalam dan memperluas skop penceritaan.