KUCHING: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan usul untuk memberi kuasa kepada pencetak kerajaan mencetak semula 10,000 naskhah Perlembagaan Negeri Sarawak.
Usul itu dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan.
Beliau berkata, cetakan terakhir Perlembagaan Sarawak adalah pada 2004 dan pindaan penting telah dibuat sejak itu, yang memerlukan kemas kini.
“Lebih-lebih lagi, dilaporkan semua salinan perlembagaan yang dicetak telah habis dijual.
“Oleh itu, adalah masa yang sesuai untuk membenarkan pencetakan lebih banyak salinan Perlembagaan Negeri bagi memenuhi permintaan pentadbir, pegawai kehakiman dan undang-undang, profesional perundangan, dan orang ramai di dalam dan luar negeri, serta komuniti akademik di negara ini,” katanya ketika membentangkan usul itu.
Sementara itu, Wilson Nyabong Ijang (GPS-Pelagus) ketika berbahas menyokong usul itu mencadangkan agar kerajaan Sarawak mencetak semula 20,000 naskhah dan bukannya 10,000 naskhah sahaja.
“Dengan kuantiti itu, ia boleh diagihkan ke sekolah, kolej, universiti, malah ke rumah panjang dan kampung.
“Kerajaan juga boleh mengeluarkan buku penerangan ringkas mengenai perlembagaan yang dicetak dalam semua bahasa utama di Sarawak supaya ia mudah difahami oleh masyarakat umum,” katanya.
Menjawab Wilson, Uggah dalam ucapan penggulungannya berkata cadangan itu akan diambil kira nanti.
Oleh NUR AIN OTSMAN