KUCHING: Proses tender semula untuk Klinik Long Napir akan dilakukan buat kali kedua selepas mendapat kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee berkata, projek tersebut ditender semula pada Februari 2020, namun proses tender tidak berjaya memandangkan harga tender daripada pihak kontraktor melebihi kos siling yang ditetapkan.
“Proses tender semula diperlukan memandangkan harga tender daripada pihak kontraktor melebihi kos siling yang ditetapkan pada RM7.3 juta.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengemukakan anggaran kos baharu bagi pembinaan Klinik Long Napir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika persidangan hari keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 penggal kedua di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, ini susulan daripada lawatan tapak yang dilakukan pada Mac 2023 selepas penyerahan ‘Preliminaries Detailed Abstract’ (PDA) kepada MOH pada Mac 2022 setelah Lembaga Perolehan Tender Persekutuan menetapkan proses tender dilakukan semula buat kali kedua.
“Projek berkenaan merangkumi pembinaan sebuah klinik kesihatan jenis enam (Type 6) yang mampu menyediakan perkhidmatan buat 50 hingga 100 pesakit sehari selain pembinaan lapan unit kediaman kelas G.
“Klinik tersebut akan menempatkan sejumlah 10 staf yang bakal memberi perkhidmatan kepada sekitar 296 warga tempatan daripada dua rumah panjang,” jelasnya.
Oleh Azreen Keria