KUCHING: Majlis Kraf Sarawak (MKS) akan dijadikan satu entiti untuk menjadi pihak berkuasa dalam negeri bagi pengawalseliaan dan pembangunan kraf di negeri ini.
Bagi tujuan itu, Rang Undang-Undang Majlis Kraftangan Sarawak dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penubuhan MKS itu penting kerana industri kraf telah berkembang.
“Ia sangat penting untuk jadikan MKS sebagai organisasi peneraju yang bertanggungjawab untuk kejayaan pembangunan industri kraf Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Majlis Kraftangan Sarawak bagi bacaan kali kedua pada sidang DUN hari ini.
Majlis Kraftangan Sarawak atau MKS ditubuhkan pada 1996 oleh Kerajaan Pusat di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi tujuan mempromosi hasil kraf.
Abdul Karim berkata pada 1997, MKS telah merekodkan bahawa terdapat kurang daripada 300 pengeluar hasil kraf berdaftar di seluruh negeri dengan rangkaian produk yang kecil dan kualiti rendah.
“Berikutan itu, pada 2016, terdapat peningkatan kepada 800 pengeluar sepenuh masa dengan jumlah jualan seluruh negeri sebanyak RM26 juta, meningkat kepada RM32 juta pada 2019 dengan 950 pengeluar berdaftar.” katanya.
Beliau berkata, di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, sasaran jualan hasil kraf pada 2030 ialah RM183.6 juta melibatkan 1,800 pengeluar dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 14 peratus.
Katanya, pasaran kraftangan global dianggarkan berjumlah AS$752.2 bilion pada 2022 dan dijangka mencecah AS$1,296 bilion pada 2028 dengan pertumbuhan tahunan 9.5 peratus.
Abdul Karim berkata industri kraf telah berkembang sejak pembentukan MKS.
“Jangkaan dan keperluan industri, pihak berkepentingan, orang ramai dan kerajaan menyebabkan keperluan untuk menjadikan MKS sebuah badan kawal selia.
“Kami percaya MKS akan menjadi pemangkin merealisasikan potensi penuh industri kraf Sarawak dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri.
“Disebabkan peranannya yang unik dan saling melengkapi kepada Kraftangan Malaysia, MKS hanya akan memberi tumpuan khusus kepada keperluan dan aspirasi industri kraf Sarawak,”katanya.
Sementara itu, beliau juga berkata bahawa kerajaan Sarawak telah meluluskan RM65 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk pembinaan Pusat Kesenian dan Kraftangan Negeri di Kuching.
Katanya, projek itu kini dalam peringkat perancangan awal dan penempatan yang dijangka siap pada 2026.
Oleh Azreen Keria