KUALA LUMPUR: SkyWorld Development Bhd (SkyWorld), pemaju hartanah bandar yang terlibat terutamanya dalam pegangan pelaburan, telah menerima persetujuan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Pengasas dan Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, kelulusan itu menandakan kejayaan penting bagi syarikat itu serta keyakinan kukuh dalam trajektori pertumbuhannya.
“Sementara perjalanan ke arah penyenaraian masih berjalan, kami tetap fokus pada perniagaan dan pada masa yang sama berusaha untuk menyampaikan perkembangan berterusan kami menuju standard yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tawaran awam permulaan (IPO) SkyWorld melibatkan terbitan awam sebanyak 208 juta saham baharu, mewakili kira-kira 20.8 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan selepas penyenaraiannya.
Daripada 208 juta saham baharu ini, 50 juta saham akan disediakan untuk permohonan rakyat Malaysia manakala 25 juta saham diperuntukkan bagi permohonan oleh pengarah yang layak, pengurusan kanan utama, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Baki 133 juta saham baharu akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan terpilih.
IPO itu turut menyaksikan tawaran untuk penjualan 192 juta saham sedia ada, bersamaan dengan kira-kira 19.2 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan kumpulan.
Sementara itu, 150 juta saham sedia ada akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, manakala baki 42 juta saham sedia ada telah diperuntukkan untuk institusi dan pelabur terpilih.
Kenanga Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. – Bernama