KUCHING: Seorang lelaki dari Kampung Bumbok, Jalan Batu Kitang merupakan mangsa terbaharu wabak rabies di Sarawak.
Mangsa, Jackery Jero, 50, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 3.30 petang, semalam.
Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai, mangsa digigit anjing pada 3 April lalu menyebabkan kecederaan di bahagian tangan kiri mangsa.
“Ahli keluarga segera menghantar mangsa mendapatkan rawatan di klinik dan menerima suntikan vaksin rabies pada keesokan harinya di HUS.
“Mangsa mendapatkan suntikan penuh vaksinasi,” katanya ketika meluangkan masa melawat keluarga mangsa hari ini.
“Bagaimanapun, pada 25 hingga 27 April lalu, mangsa mengalami demam panas dan pada 28 April lalu, mangsa tidak dapat menelan air dan diserang demam panas.
“Melihat kepada situasi, keluarga mangsa kemudiannya menghantarnya ke salah sebuah hospital swasta pada 30 April lalu namun keadaan mangsa pada ketika itu dikatakan lemah sehingga tidak mampu untuk berjalan lagi menyebabkan mangsa dirujuk dengan keadaan segera ke HUS pada 1 Mei lalu.
Pada keesokan harinya, satu pemeriksaan radiologi telah dilakukan dan menunjukkan terdapat jangkitan pada otak sementara badan mangsa masih dalam keadaan baik. Ujian rabies juga tidak menunjukkan virus,” dedahnya.
Jangkitan merebak bermula 8 Mei lalu itu bertambah teruk beberapa hari berikutnya mangsa turut mengalami demam panas.
Simptom telah merebak ke seluruh paru-paru dan otak mangsa.
Tan Kai berkata, doktor memaklumkan ia adalah simptom rabies dan semalam (10 Mei), mangsa disahkan telah meninggal dunia.
Mendiang akan dibawa pulang dan akan dikebumikan, esok.
Pada masa sama, terdapat juga tiga kematian dikaitkan dengan rabies di kawasan berhampiran.
Tiga kematian tersebut membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dari kampung Tematu, seorang lelaki dari Taman Boulder Built dan terbaharu Jackery dari Kampung Bumbok.
Justeru, Tan Kai menggesa orang ramai supaya segera mendapatkan bantuan daripada pihak hospital sekiranya terkena gigitan anjing.
Pihak majlis, Katanya lagi, menekankan kepada orang ramai, mengambil serius mengenai perkara ini, akan pergiatkan lagi usaha untuk menghapuskan anjing liar bagi membendung penularan wabak rabies.
Oleh Connie Chieng