KUCHING: Pelaksanaan bengkel penambahbaikan pengurusan sisa pepejal menjadi pendekatan terbaik kepada ekonomi sirkular sebagai asas menambah baik pengurusan sisa pepejal perbandaran.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, inisiatif tersebut sejajar dengan saranan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar usahawan Bumiputera di negeri ini melibatkan diri dalam ekonomi baharu iaitu ekonomi sirkular.
“Ekonomi ini banyak memberi kesan positif dalam pembangunan ekonomi. Contohnya menghasilkan makanan haiwan ternakan seperti ayam dan ikan daripada sisa kelapa sawit.
”Melalui ekonomi ini, kita dapat memberikan tumpuan yang lebih kepada kelestarian alam sekitar serta pada masa yang sama dapat mengurangkan pembaziran dan meningkatkan usaha sistem kitar semula di kalangan warga kota,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian bengkel penambahbaikan pengurusan sisa pepejal mewakili Timbalan Premier, Dato Sri Dr Sim Kui Hian di sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga berharap kerjasama dan sifat komunikasi antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd dapat digiatkan dan ditingkatkan agar lebih bersistematik.
Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, ia penting bagi memastikan kualiti pengurusan sisa pepejal di Bandar Raya Kuching sentiasa terjamin.
”Walaupun segala proses yang melibatkan pengurusan sisa pepejal di bandar raya Kuching adalah tanggungjawab Syarikat Trienekens, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga haruslah memainkan peranan dalam merancang dan menganjurkan pelbagai aktiviti dan program kebersihan.
”Contohnya adalah seperti gotong-royong, kempen kesedaran, 3R kempen beli semula dan lain-lain di peringkat komuniti dengan harapan agar semua inisiatif, usaha dan tindakan yang dilakukan ini dapat memberikan impak yang besar kepada kita semua,” tambahnya.
Bengkel yang dilaksanakan selama dua hari anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Trienekens Sarawak tersebut bertujuan untuk memperkenalkan strategi yang dapat memberikan panduan khusus kepada semua pihak mengenai pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan, efektif, lestari, cekap dan sistematik.
Hadir sama, Datuk Bandar Kuching Utara Datu Junaidi Reduan, Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng, Walikota Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato Peter Minos, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Tan Kai, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens Sarawak Stephen Chin dan Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang.