BUNDESLIGA JERMAN
JULIAN Nagelsman mengecam 10 pemain RB Leipzig kerana bertahan seperti ‘pasukan sekolah’ ketika seri 2-2 semalam di tempat sendiri menentang Hertha Berlin tanpa kehadiran penonton yang menyebabkan mereka terlepas peluang untuk melonjak ke tangga kedua dalam Bundesliga Jerman.
Penyerang Hertha, Krzysztof Piatek menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti lewat untuk menyelamatkan penjaga gol Rune Jarstein daripada dimalukan kerana melepaskan gol kedua Leipzig.
Namun, Nagelsmann sangat marah Leipzig melepaskan gol mudah daripada tendangan sudut dengan perlawnaan baru berlangsung sembilan minit apabila pemain tengah Hertha, Marko Grujic, yang dipinjamkan dari Liverpool, menjaringkan gol pertama pasukan pelawat.
“Kami bermula dengan baik, tetapi ketinggalan kerana kami mempertahankan bola mati seperti pasukan sekolah,” kata Nagelsmann.
“Kami tidak melakukan apa-apa, semua orang berdiri di posisi masing-masing, namun dia (Grujic) menjaringkan gol dengan kakinya, di dalam kotak penalti.
“Ini merupakan kali kedua berturut-turut dalam perlawanan di tempat sendiri kami melepaskan gol daripada sepakan percuma,” kata Nagelsmann yang pasukannya seri 1-1 menentang Freiburg dalam perlawanan di tempat sendiri terakhir mereka.
“Untuk itu kami harus menyalahkan diri kami sendiri. Kami gembira kerana kami memperoleh satu lagi mata, tetapi saya sama sekali tidak gembira.”
Piatek, yang menyertai Hertha pada Januari dengan harga sekitar 25 juta euro dari AC Milan, menjaringkan gol keduanya dalam sembilan perlawanan Bundesliga ketika dia menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-82.
Penalti Piatek meraih satu poin, melebarkan rekod tanpa kalah Bruno Labbadia sebagai ketua jurulatih Hertha kepada tiga perlawanan dan menyelamatkan Jarstein daripada dimalukan.
Penjaga gol dari Norway itu merasa malu ketika dia cuba menghalang percubaan penyerang Leipzig, Patrik Schick, tetapi membiarkan bola itu meluncur ke atas lengannya dan masuk ke gawangnya sendiri untuk menjadikannya kedudukan 2-1 pada minit ke-68.
Leipzig baru sahaja bermain 10 orang setelah pemain pertahanan Marcel Halstenberg dibuang padang kerana dilayangkan kad kuning kedua setelah melakukan kesalahan lewat ke atas penyerang Bawah-23 Brazil, Cunha, yang bermain menentang kelab yang beliau tinggalkan pada bulan Januari.
Separuh masa pertama berakhir 1-1 setelah Hertha mendahului awal ketika Grujic menjaringkan gol pembukaan.
Tuan rumah kembali bangkit dan menyamakan kedudukan apabila pemain pertahanan, Lukas Klostermann, menanduk masuk sepakan sudut selepas 24 minit perlawanan belangsung.
Keputusan ini meninggalkan Leipzig di tangga ketiga, dua mata di belakang Dortmund, tewas 1-0 kepada pendahulu liga Bayern Munich yang mempunyai kelebihan tujuh mata dan dalam perjalanan untuk gelaran liga Jerman kelapan berturut-turut.
“Hari ini (tiga mata) berada di dalam tangan kami sendiri dan kami tidak menerimanya,” tambah Nagelsmann. – AFP