UMAI adalah antara makanan tradisional Melanau, Sarawak.
Terdapat pelbagai jenis umai iaitu Umai Ikan Pirang, Umai Obor-obor, Umai Udang, Umai Bubok (Udang Kecil), Umai Ikan Yu dan pelbagai jenis ikan lagi yang bersesuaian.
Pergi sahaja ke mana-mana restoran, makanan istimewa ini sememangnya tidak asing lagi walaupun bukan dalam kalangan etnik Melanau itu sendiri.
Makanan kebanggaan etnik Melanau ini sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi khasnya bagi penduduk yang tinggal di Bumi Kenyalang ini.
Namun, tidak ramai mengetahui akan asal-usul makanan ini yang sebenarnya dipelopori oleh golongan nelayan pada suatu masa dahulu.
Perkataan ‘umai’ itu sendiri sebenarnya dalam bahasa Melanau memberi makna sebagai makanan untuk alas perut.
Menurut salah seorang penjual umai segar di Mukah, Emma Luhu, 34, dia mengambil masa selama 12 jam untuk menghasilkan umai berkualiti.
“Saya menjual Umai Ikan Pirang, Umai Ikan Putih dan Umai Ikan Yu.
“Untuk menghasilkan umai yang berkualiti, saya mengambil masa selama 12 jam untuk siap sepenuhnya bergantung kepada berapa kilogram ikan yang dibeli,” katanya sambil memberitahu bahawa dia mampu menghasilkan 20 kilogram umai dalam masa satu hari.
Kata Emma, antara cara-cara untuk membuat umai ialah mula-mula siang ikan terlebih dahulu, belah ikan dan buang tulang, toskan isi ikan dan hiriskan halus-halus dan akhir sekali ialah dengan menimbang dan membungkus umai ikan tersebut.
“Saya mendapat tempahan sebanyak 50 hingga 80 kontena dalam masa sebulan. Umai ini akan dihantar ke kawasan Kuching, Miri, Sri Aman serta Mukah,” katanya sambil menambah bahawa dia turut menggunakan aplikasi media sosial untuk mempromosikan jualannya.
Selain menjual umai ikan, dia turut menjual Umai Obor-obor, sambal cicah umai dan sambal goreng.
Harga umai yang dijual olehnya antara RM5 hingga RM10 (sekontena).
“Kesemua bekalan ikan untuk membuat umai ini saya dapat dengan cara memborong ikan dari pasar atau penjual,” katanya sambil berkata dia turut dibantu oleh suaminya memandangkan perniagaan ini ialah sumber pendapatan utama keluarga dan untuk membesarkan tiga orang anak.
Oleh NUR AIN OTSMAN