CHANGWON: Ketua Pegawai Eksekutif Hankook Steel & Mill Co dijatuhi hukuman penjara setahun mulai Rabu berhubung kematian seorang pekerja di kilangnya, ketua korporat pertama yang dihukum penjara kerana kawalan aspek keselamatan industri yang lemah, lapor Yonhap.
Cawangan Mahkamah Daerah Changwon di bandar tenggara Masan, kira-kira 300 kilometer tenggara Seoul, mensabitkan kesalahan ke atas Ketua Pegawai Eksekutif itu kerana gagal menyediakan langkah keselamatan yang mencukupi berhubung kematian seorang pekerja pada Mac tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif itu ditahan di bilik mahkamah dan dibawa ke penjara selepas dijatuhkan hukuman.
Pekerja berusia 60-an itu meninggal dunia di kilang syarikat itu di daerah Haman berhampiran selepas kakinya dihempap plat keluli seberat 1.2 tan.
Ia merupakan kali pertama seorang ketua korporat dipenjarakan kerana melanggar Akta Hukuman Kemalangan Serius yang membolehkan pemilik perniagaan atau CEO syarikat yang mempunyai 50 atau lebih pekerja dikenakan penjara sekurang-kurangnya satu tahun atau denda sehingga 1 bilion won (AS$747,663) sekiranya berlaku bencana yang membawa maut semasa bertugas yang disebabkan oleh langkah keselamatan yang lemah di tempat kerja.
Undang-undang itu berkuat kuasa pada Januari 2022. – Bernama-Yonhap