KUCHING: Sebanyak 12,000 kotak Sumbangsih Raya 2023 diagihkan kepada 11 agensi penguatkuasaan sebagai tanda penghargaan kepada pegawai yang bertugas khususnya pada musim perayaan.
Antara agensi yang terlibat adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (Bomba), Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dan banyak lagi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, negeri ini mengakui peranan petugas barisan hadapan dalam memastikan keselamatan dan keselamatan rakyat dan negeri.
“Oleh itu, kita berharap pemberian ini dapat memberikan keceriaan kepada anggota yang bertugas demi masyarakat,” katanya pada majlis penyerahan Sumbangsih Raya 2023 (SR23) di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program Sumbangsih Raya yang dimulakan sejak 1990, 33 tahun lalu, berjaya dilaksanakan sehingga ke hari ini.
“Dari hanya 5,000 kotak sumbangan diberikan pada awalnya, kini meningkat kepada 12,000 kotak dan dijangka meningkat lagi pada tahun akan datang.
“Dalam kotak tersebut mengandungi tiga jenis makanan iaitu serunding daging, kek buah dan kacang botak.
” Program Sumbangsih Raya yang diadakan setiap tahun ini merupakan tanda keprihatinan dan pengiktirafan kerajaan negeri dalam menghargai jasa serta pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas pada hari lebaran.
“Kita yakin dan percaya sumbangan ini dapat menceriakan sambutan raya anggota penguat kuasa walaupun tidak dapat bersama-sama keluarga kerana perlu menjalankan tugas,” katanya.
Turut kelihatan isteri kepada Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr. Sim Kui Hian dan Pengarah serta Timbalan Pengarah agensi-agensi penguatkuasaan di Sarawak.
Oleh SHAHRUL QAIZAT