KUCHING: Kerajaan Sarawak baru-baru ini mengambil inisiatif dengan menghantar pasukan daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) ke China.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pasukan yang dihantar bertujuan mempelajari teknologi berkaitan percetakan tiga dimensi (3D) untuk membina rumah.
“Jadi, kita belajar dari China, dan saya akan ubah cara kita (Sarawak) membina rumah. Ini cara baharu untuk membina rumah,” katanya.
“Dengan teknologi ini, Sarawak boleh membina rumah dengan lebih cepat dan kurang bergantung kepada pekerja asing.
“Sementara itu, bakat tempatan yang dilengkapi kemahiran berkaitan boleh dibayar lebih tinggi untuk kepakaran mereka.
“Jika anda boleh menguasai teknologi, sudah tentu mereka yang terlibat dalam pembinaan boleh dibayar lebih tinggi. Itu yang kita panggil ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan Sumbangsih Raya 2023 di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Oleh SHAHRUL QAIZAT