SIBU: Sebanyak RM30,000 diperuntukan untuk kerja-kerja baikpulih SMK Sacred Heart yang rosak akibat kejadian ribut petir, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata terdapat tujuh blok sekolah mengalami kerosakan akibat kejadian tersebut dengan ada di antaranya mengalami kerosakan serius, selain bumbung yang rosak diterbangkan angin.
“Saya juga difahamkan perpustakaan sekolah turut terjejas, begitu juga fasiliti yang lain termasuk bahagian pendawaian elektriknya.
“Justeru, saya telah memperuntukan dana tersebut untuk kerja-kerja baikpulih sekolah terbabit,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan itu, petang semalam.
Beliau juga mencadangkan pihak sekolah agar memohon dana dari
Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) bagi menampung kerja-kerja baikpulih itu.
“Ini kerana SMK Sacred Heart merupakan sekolah mission dan layak untuk mendapatkan peruntukan UNIFOR.
“Selain itu, saya meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukan sejumlah dana kepada SMK Sacred Heart ini. Perkara ini wajar dipertimbanhkan memandangkan sekolah ini juga dibawah KPM,” katanya.
Chieng turut memohon jasa baik Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau untuk membantu sekolah ini dari segi pemberian dana.
“Pada Isnin ini, Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan datang ke sekolah ini untuk melakukan anggaran kos kerja-kerja baikpulih kerosakan.
“Kita memerlukan agensi kerajaan untuk membuat anggaran kos bagi menyokong permohonan dana kepada UNIFOR,” katanya sambil menambah kerja-kerja baikpulih bahagian bumbung sekolah sudahpun siap.
Presiden Persatuan Bekas Pelajar Sacred Heart (SHOSA), Penghulu Yong King Sung pula berkata pihak sekolah memerlukan RM100,000 lagi sebagai anggaran untuk menyiapkan perpustakaan sekolah yang paling teruk terjejas.
“Ini adalah termasuk lantai, bahagian pendawaian elektriknya, buku-buku dan fasiliti dalaman lain. Jika kita mahu membaikpulih perpustakaan seperti asalnya, saya rasa kami memerlukan ratusan ribu ringgit,” katanya.
Menurutnya, sebanyak RM90,000 telah dibelanjakan untuk menyiapkan baikpulih bumbung dan RM30,000 lagi untuk baikpulih pendawaian elektrik.
“Saya meminta agar bekas pelajar sekolah ini tampil memberikan sumbangan kerana sekolah memerlukan wang untuk kerja-kerja baikpulih,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN