LABUAN: Tencent, penyedia perkhidmatan nilai tambah Internet utama di China, akan meninjau peluang kerjasama dengan China Construction Bank Corporation Labuan Branch (CCB Labuan) berikutan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini.
MoU itu, dimeterai melalui VooV Meeting Tencent, bertujuan meningkatkan pembangunan perbankan digital CCB Labuan selain menggalakkan pendigitalan dalam kalangan perusahaan tempatan di Malaysia dengan perkhidmatan yang selamat, dipercayai dan berprestasi tinggi Tencent Cloud.
“Sejajar dengan kerjasama tersebut, Tencent akan memanfaatkan teknologi awan kewangan dan keupayaan pembayaran mudah alihnya yang kukuh dan boleh dipercayai manakala CCB Labuan akan menyumbang pengaruh perniagaan dan rangkaiannya yang luas dalam pasaran kewangan Malaysia,” menurut syarikat tersebut dalam kenyataan bersama.
Pengurus Besar (Kumpulan Perniagaan Antarabangsa) Tencent Flying Wu berkata, transformasi digital tidak dapat dielak terutamanya dalam tempoh sukar ini apabila hampir setiap aspek kehidupan harian melalui dalam talian.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan CCB Labuan untuk memudahkan dan menjadi sebahagian daripada transformasi ini dalam kalangan perniagaan tempatan di Malaysia, menunjukkan komitmen kami kepada pasaran Malaysia.
“Dengan keupayaan teknologi, kepakaran operasi dan inovasi produk kami seperti teknologi awan dan ekosistem WeChat kami, kami berharap dapat bekerjasama dengan CCB Labuan untuk menyokong pembangunan digital di Malaysia,” katanya.
Pegawai Prinsipal CCB Labuan Felix Feng Qi berkata, institusi kewangan luar pesisir itu menyambut baik kerjasama dengan Tencent, yang akan memanfaatkan sumber dan kepakarannya untuk menawarkan penyelesaian perbankan digital yang akan memberi manfaat kepada pelanggannya.
“Melalui MoU tersebut, kami kini dapat menggabungkan rakan kongsi dan sumber ekosistem WeChat Pay Malaysia, disokong oleh WeChat, antara platform komunikasi sosial terbesar di dunia, untuk mencapai hubungan antara akaun perniagaan dan individu.
“Kami berharap kepada lebih banyak kerjasama dengan Tencent, bersama-sama memacu masa depan yang lebih digital di Malaysia,” katanya.
Tencent dan CCB Labuan akan meninjau peluang kerjasama antara produk Tencent seperti Awan Tencent, termasuk sistem perancangan sumber perusahaan untuk perusahaan kecil dan sederhana serta alat persidangan video; WeChat, termasuk WeChat Pay; dan perkhidmatan CCB Labuan, termasuk penyelesaian Blockchain dan platform SMART rentas sempadan.
Tencent, disenaraikan di bursa saham Hong Kong, banyak melabur dalam tenaga kerja dan inovasi teknologi, giat mempromosikan pembangunan industri Internet.
China Construction Bank, menubuhkan anak syarikatnya di Malaysia, China Construction Bank (M) Bhd pada 2016, membuka cawangannya di Labuan pada Oktober tahun lepas.- Bernama