JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih menunggu laporan makmal berhubung keracunan ikan buntal yang mengakibatkan dua warga emas maut, baru-baru ini, yang dijangka diperoleh dalam dua hingga tiga minggu lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata ia bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum memutuskan tindakan seterusnya ke atas pembekal ikan tersebut.
Beliau berkata siasatan telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat, selain Polis Diraja Malaysia turut membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut.
“Kita sedang menunggu laporan daripada pihak makmal dan kita perlu berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan dan universiti tentang beberapa akta yang sedia ada ini, cukup tak sampai kita boleh dakwa pembekal tersebut.
“Siasatan masih dijalankan, harapnya dalam masa terdekat ini, kalau laporan (makmal) sudah keluar, kita akan umumkan perkembangan lanjut kepada pihak media,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dengan pengamal media di negeri ini, di sini, malam tadi.
Beliau menambah hasil laporan forensik menunjukkan kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat keracunan ikan buntal.
Ling berkata demikian ketika ditanya mengenai keluarga mangsa yang mahukan laporan daripada Jabatan Kesihatan Daerah mengenai kematian ahli keluarga mereka.
Menjawab pertanyaan pemberita sama ada penjualan ikan buntal boleh diharamkan di pasaran, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membeli ikan seumpama itu untuk dimakan.
Mengenai tindakan ke atas pembekal, Ling berkata JKNJ telah merampas ikan-ikan buntal yang dijual dan diambil sampel untuk siasatan lanjut.
Bulan lepas, sepasang suami isteri warga emas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang, selepas mengalami keracunan ikan buntal, yang bekalannya diperoleh daripada penjual secara dalam talian melalui Facebook.
Wanita berusia 83 tahun itu meninggal dunia di hospital berkenaan pada 25 Mac manakala suaminya, yang berusia 84 tahun meninggal dunia di hospital sama pada Sabtu lepas. – Bernama