KUCHING: Ketika orang lain bersama keluarga di rumah menyambut 1 Syawal, ada insan yang perlu melaksanakan tugas, khususnya anggota badan beruniform.
Bagi meraikan mereka, sebanyak 12,000 kotak Sumbangsih Raya akan diagihkan kepada anggota pasukan keselamatan dan penguatkuasaan yang bertugas di Sarawak menjelang Aidilfitri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penyediaan kotak Sumbangsih Raya meningkat pada tahun ini berbanding 11,500 kotak pada tahun lalu.
Antara agensi daripada pasukan keselamatan dan penguatkuasaan yang akan bertugas pada Aidilfitri yang telah disenaraikan sebagai penerima termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menyampaikan sumbangan tersebut secara simbolik kepada pengarah setiap agensi terbabit pada 14 April depan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Simbolik Pembungkusan Sumbangsih Raya 2023 di Wisma Wanita, hari ini.
Katanya lagi, selesai penyerahan secara simbolik oleh Abang Johari nanti, pihaknya akan menziarahi kesemua agensi tersebut pada 18 dan 19 April.
“Ini penting kerana ia menunjukkan penglibatan lebih mendalam di mana melalui ziarah tersebut bukan setakat menyampai sumbangan sahaja malahan kita juga dapat mengeratkan silaturahim.
“Kami akan bekerjasama dengan rakan strategik dalam mewujudkan keamanan, ketenteraman dan kesejahteraan dalam komuniti kita,” katanya.
Program Sumbangsih Raya merupakan inisiatif kerajaan Sarawak yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak ia diperkenalkan pada 1990.
Oleh NUR AIN OTSMAN