Budaya adalah salah satu perkara yang menunjukkan keunikan identiti negara Malaysia.
Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai bangsa dan kemewahan budaya membuatkan ia menjadi negara yang sangat unik dan menjadi satu aset yang bernilai dan harus dipelihara sepanjang masa supaya ia dapat dikenali oleh generasi di masa akan datang.
Sarawak adalah salah satu negeri yang kaya dengan kebudayaan.
Di Sarawak sendiri, terdapat kampung yang mempunyai pelbagai penerangan tentang sesuatu budaya iaitu Kampung Budaya Sarawak.
Kampung Budaya Sarawak terletak di kawasan kaki Gunung Santubong yang mempunyai pelbagai mitos yang tersendiri, malah muzium yang terdapat di sini mempamerkan tradisi Sarawak yang kaya dengan pelbagai warisan budaya.
Terdapat pelbagai jenis paparan yang pengunjung boleh lihat di sini seperti pakaian, kraftangan, gaya hidup dan kediaman tradisional masyarakat etnik di negeri ini.
Pengujung juga turut disajikan dengan persembahan kebudayaan yang akan dipersembahkan dua kali sehari.
Dalam pada itu, kampung ini juga mempunyai pelbagai tempat yang menarik yang digunakan untuk acara-acara antarabangsa seperti Pesta Muzik Hutan Hujan Dunia atau Rainforest World Music Festival.
Secara tidak langsung kampung ini menjadi tempat yang ideal untuk orang dari luar negara yang ingin mengetahui budaya yang terdapat di Malaysia khususnya di Sarawak.
Pengujung boleh melihat rumah-rumah pelbagai bangsa seperti Rumah Panjang, Rumah Bidayuh, Rumah Iban, Rumah Orang Ulu, Rumah Penan, Rumah Melanau, Rumah Melayu dan Rumah Cina.
Kampung Budaya Sarawak telah dibuka secara rasmi pada tahun 1990 sehingga kini dan bagi sesiapa sahaja yang berada di sekitar bandar Kuching boleh sampai ke kawasan ini kira-kira 45 minit sahaja.
Oleh NICKELYSON LAKUN