KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dalam satu entri di laman media sosial Facebooknya hari ini memuji Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah atas inisiatif beliau dalam memperkenalkan Dokumen Sementara Bagi Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS).
“Saya mengucapkan tahniah kepada Fatimah kerana telah mencari jalan penyelesaian sementara ini,” katanya.
DSITKS dilaksanakan sejak 1 November lalu menjadikan Sarawak negeri pertama di Malaysia memperkenalkan inisiatif tersebut.
Fatimah berkata, matlamat utama inisiatif tersebut agar kanak-kanak yang sudah dikeluarkan dengan DSITKS diterima masuk ke institusi-institusi pendidikan milik kerajaan di Sarawak tanpa memenuhi syarat pas pelajar kerana kanak-kanak tersebut tidak layak untuk dikeluarkan dengan pas pelajar mengikut tafsiran dan peraturan Jabatan Imigresen Malaysia di Sarawak memandangkan mereka tidak memiliki sebarang pasport antarabangsa atau pengiktirafan kewarganegaraan dari mana-mana negara lain setelah dilahirkan di Sarawak.
Bagi menjayakan pengeluaran dan pemakaian DSITKS, kementerian beliau katanya akan berkolaborasi dengan Pejabat-Pejabat Residen dan Pejabat, agensi-agensi rakan strategik utama, iaitu Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia; Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak dan Unit Pentadbiran di Jabatan Premier Sarawak.
“Inisiatif pengeluaran DSITKS kepada mereka yang terlibat, khasnya kepada kanak-kanak, dapat meningkatkan keyakinkan masyarakat dunia tentang komitmen kita, khususnya terhadap United Nations Convention on the Rights of the Child (UNCRC) 1989 dan Sustainable Development Goals (SDG) 2030,” tambah beliau lagi.
“Dokumen sementara ini adalah untuk individu tanpa kewarganegaraan, untuk kanak-kanak bawah 21 tahun untuk membolehkan mereka mendapat akses kepada pendidikan dan juga kesihatan. Itu penting, sebab kita tahu bahawa pendidikan itu sangat penting.
“Ibu bapa sangat berharap anak-anak mereka dapat pendidikan jadi dengan adanya dokumen sementara ini kita berharap selepas ini bila mereka sudah mengisinya dan kemudian dokumen sementara itu dikeluarkan mereka akan dapat ke sekolah terutama sekali mereka mahu ke sekolah kerajaan,” ujarnya lagi.
Menurut Dato Sri Fatimah, Kerajaan Sarawak telah membuat keputusan pada 28 April 2022 untuk mengeluarkan dokumen tersebut bagi membolehkan mereka yang tanpa kewarganegaraan mendapat akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.
Kerajaan Sarawak akan mula mengeluarkan DSITKS mulai 1 November lalu.
Ujarnya, mereka yang layak adalah individu yang dilahirkan di Sarawak, di mana salah seorang daripada ibubapa kandung mereka adalah warganegara Malaysia bermastautin Sarawak dan memiliki sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak serta berstatus warganegara belum ditentukan, sudah memohon kewarganegaraan Malaysia menurut Perkara 15A, Perlembagaan Malaysia dan berumur 21 tahun ke bawah.
Tambah beliau, kementeriannya KPWK telah diamanahkan untuk menyelaras pelaksanaan dan pemakaian inisiatif ini dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan berkaitan, khususnya Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
“Satu mesyuarat penyelarasan awal yang turut dihadiri oleh Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Peguam Negeri, Jabatan Premier Sarawak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak juga diadakan pada 10 Ogos 2022 bagi membincangkan terma rujukan, SOP pelaksanaan dan pemakaian instrumen-instrumen DSITKS yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Sarawak pada 21 Julai 2022,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menyempurnakan Sambutan Hari Kanak-Kanak dan Ulangtahun Ke-10 Persatuan Destiny Untuk Kanak-Kanak Sibu di Sibu Lifecare Society pada 2 Oktober lalu.
Oleh NUR AIN OTSMAN